Di Sebalik Harapan – Presiden ISMA

Kejatuhan UMNO bukanlah sesuatu yang tidak dijangka, cuma masa sahaja yang menjadi teka-teki. Yang tidak dijangka ialah kejatuhan yang begini teruk oleh bekas hulubalang-hulubalangnya sendiri. Ia kelihatan pengakhiran yang mudah berbanding rejim-rejim nasionalis sekular lain seluruh dunia yang liat untuk mengaku kalah.

Semua orang tahu UMNO telah lama reput dari dalam. Pemimpin memperdagangkan perjuangan bangsa dan agama, rasuah dan mengambil kesempatan atas kemiskinan bangsa sendiri. Sebagaimana rasuah, salah guna kuasa telah memusnahkan rejim-rejim seperti GOLKAR, Parti Watani di Mesir, pati Ba’ath dan sebagainya, begitulah UMNO bakal menerima nasib yang sama.

Hari ini UMNO menerima gilirannya. Hati saya memang cenderung kepada keputusan seperti ini tetapi melihat keyakinan luar biasa Dato’ Seri Najib dan agensi-agensinya, hati ini berkata kalau tidak kali ini, PRU15 barang tentu. Apa lagi segala karenah menunjukkan tiada tanda pemimpin UMNO akan berubah dan mendengar nasihat.

Sebenarnya yang inginkan kejatuhan UMNO ni bukan musuh-musuh politik tempatan sahaja, tetapi juga keinginan kuasa besar. Walaupun UMNO dipelopori oleh para anglophile melayu yang dididik oleh penjajah Inggeris dan memilik acuan pemikiran dan inspirasi seperti yang dikehendaki oleh penjajah, tetapi peranan mereka sudah tamat dan ia telah luput tarikh sah lakunya.

Era telah berubah, khususnya selepas tamatnya perang dingin. Negara kuasa besar mahu dunia dengan format baharu, rejim-rejim lama perlu diubah. Mereka cipta satu gerakan yang dinamakan gerakan masyarakat sivil.

Mereka telah melatih kawadir dari seluruh dunia dan membiayai gerakan ini untuk melaksanakan tanggungjawab merubah. Dengan mengeksploitasi kelemahan-kelemahan yang sedia parah dan slogan-slogan yang bergemerlapan dengan mudah mereka mobilisasi rakyat menyokong mereka.

Kita dapat lihat kesan gerakan ini disebalik revolusi-revolusi yang berlaku di dunia arab dan begitulah yang cuba dilakukan di negara kita Malaysia. Gerakan ini berkembang dengan pesat dengan dibantu oleh agensi dari barat yang memberi latihan kepada kawadir mereka dan membiayai kegiatan mereka.

Namun gerakan ini tidak manpu menamatkan perjuangan mereka dengan kejayaan oleh sebab penerimaan masyarakat Malaysia khususnya orang melayu berbelah bagi sehingga penyertaan Tun Mahathir ke dalam kem ini menjelang PRU ke-13 yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan UMNO-BN yang mengejutkan.

Dalam pada menyedari senario yang sedang berlaku dan natijah yang pasti ini, ISMA cuba memainkan peranan untuk mempertahankan kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia. ISMA tidak mahu agenda kedaulatan agama dan bangsa tewas di tengah-tengah pertarungan. ISMA secara jelas mahu mempertahan intima’ Islami (identiti) negara Malaysia sebagai negara Islam dan menolak pengalaman Barat Kristian untuk diadaptasi dalam sistem perintahan di negara ini. Demikianlah pertimbangan yang dibuat ISMA dalam memainkan peranan politiknya sepanjang tempoh PRU13 sehingga PRU14 dan insya-Allah berterusan pada masa akan datang.

ISMA tahu sepenuhnya bahawa senario semasa tidak menuju ke arah memenangkan agenda perjuangan Islam. Pihak yang disokong oleh Amerika dan barat mempunyai objektif tersendiri bagi memenuhi kehendak tuan mereka yang menguasai era baru dunia. Orde baru yang mahukan satu komuniti antarabangsa yang berasakan “liberty”, “equality” dan “fratenity”. Masyarakat atheis yang liberal dan demokratik. Negara sivil yang tidak berasaskan agama mahupun bangsa.

Mereka perlukan wakil baru di kalangan ummat yang boleh memainkan peranan di negara umat Islam. Untuk tujuan itu mereka merekrut di kalangan agamawan, tokoh masyarakat, pimpinan parti, gerakan dan NGO Islam dengan fahaman Islam ala Amerika atau disebut juga sebagai Islam Amerika. Islam inilah yang kini dikenali sebagai ‘Islam liberal’ dan pendokongnya diangkat sebagai moderate muslim. Islam ini tentu sekali bukan Islam seperti yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad s a w tetapi Islam dengan tafsiran pengikut prinsip-prinsip liberal. Guru mereka sebenarnya ialah John Lock, John Hick, Auguste Comte dan seumpama dengan mereka.

ISMA walaubagaimana pun akan bersikap positif menunggu janji-janji pilihanraya, kita berharap kelemahan-kelemahan pentadbiran, salah urus tadbir negara, salah guna wang rakyat dan ketirisan dapat diperbetulkan. Taraf hidup rakyat diperbaiki. Kita akan mempertahankan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan akan terus berjuang menegakkan kedaulatan Islam dan ketuanan bangsa Melayu di negara ini.

Kita juga ingin menyaksikan kebebasan dan hak samarata diberi kepada perjuangan Islam tanpa diskriminasi dalam Malaysia yang lebih segar dan maju.

Abdullah Zaik Abd Rahman (S.M.T)
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian