Perutusan Ramadhan Oleh iPeguam

Ramadhan Kareem.

Pertama sekali, iPeguam bersama-sama dengan umat Islam di seluruh Malaysia turut mengalu-alukan ketibaan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.

Ahlan Ya Ramadhan!

Kami di iPeguam juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan yang mulia dan diberkati ini kepada seluruh umat Islam khususnya para pembaca dan Netizen yang mengikuti laman FB kami dengan setia.

Kami ingin mengajak para pembaca semua untuk mengambil satu pendekatan yang agak berbeza sedikit daripada kelaziman yang biasa disaksikan setiap tibanya Ramadhan. Kita semua sudah maklum akan fadhilat, kelebihan, rahsia, keutamaan dan amalan-amalan Sunnah sepertimana yang biasa difahami dan dilakukan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja.

iPeguam ingin mengingatkan bahawa bulan Ramadhan adalah lebih dari semua itu. Tujuan untuk mencapai Ketaqwaan menuntut perhatian, kesedaran, kefahaman dan keinsafahan yang tidak berhenti setakat tamar, lapar dan bazaar semata-mata. Puasa dalam bulan Ramadhan tidak difardhukan semata-mata untuk memenuhi kehendak-kehendak lahiriah umat Islam.

Terdapat satu hakikat lain yang jarang diperhatikan oleh sebahagian besar umat Islam iaitu sudut Sabar, Badar dan Al Qadar pada bulan Ramadhan. Iaitu ia adalah bulan yang di dalamnya terkandung peristiwa-peristiwa besar yang telah memberi kesan yang berpanjangan ke atas masa halatuju manusia dan masa depan yang bakal dilaluinya.

Ketiga-tiga sudut di atas membawa pengertian nilai-nilai bukan fizikal atau lahiriyah, tetapi nilai-nilai Syara’ yang datang dari Maha Pencipta dalam bentuk Din Islam yang mata rantainya bermula dari saat terciptanya Nabi Adam ‘a.s hinggalah kepada perutusan Nabi Muhammad s.’a.w. Sejarah Islam dan sejarah para Rasul adalah sejarah pertembungan antara Islam dan Jahiliyah, antara nilai-nilai Rabbani dengan runtunan-runtunan Hawanafsu.

Umat Islam di zaman silam telah menghadapi musuh yang nyata dan dapat dilihat di depan mata. Musuh umat ketika itu memiliki rupabentuk fizikal. Akan tetapi, musuh umat Islam hari ini tidak kelihatan secara nyata tetapi kesan serangannya amat dirasai. Ia berupa serangan fikiran dan ideologi, institusi dan pusat-pusat penyelidikan, think tank dan pertubuhan atau gerakan-gerakan sivil. Ia juga mempunyai penyokong, pendokong dan sekutu di pelbagai tempat dan kedudukan.

Ajaran-ajaran dan ideologi-ideologi menyeleweng seperti Syi’ah, Liberalisma, LGBT, Evangelisma, Pluralisma, Sekularisma dan seumpamanya, yang turut dipelopori oleh orang perseorangan, tokoh-tokoh politik, media massa, gerakan-gerakan sivil, kalau dahulunya mereka tidak menonjolkan diri dengan begitu berani dan lantang, kini terdapat ruang dan peluang untuk mereka menjadi lebih aktif dan bersemangat.

Para pembaca jangan terkejut seandainya satu hari nanti, mereka akan mendapat perlindungan dan pemeliharaan dari sudut undang-undang.

Justeru itu, iPeguam mengajak para pembaca semua supaya sedar dan berwaspada terhadap ancaman-ancaman di atas. Umat perlu sentiasa peka dan sensitif dengan perkembangan ini. Umat perlu memberi pesanan dan amaran kepada sesiapa sahaja yang dilantik (termasuk pihak pemerintah dan ahli-ahli Parlimen Melayu/Muslim) supaya mempastikan perkara ini tidak berlaku. Kebimbangan dan kekhuatiran ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Mereka perlu diingatkan bahawa mandat dan amanah yang telah diberikan hendaklah digunakan demi menjaga dan mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam. Umat Islam perlu berani mempamerkan pendirian yang tegas dan berprinsip ketika menyuarakannya.

Taqwa juga boleh dicapai dengan memperjuangkan kebenaran dan mempertahankan Islam.

Akhirnya, iPeguam menyeru supaya umat Islam kembali menghayati pengertian dan nilai-nilai yang ingin dibawa oleh bulan Ramadhan ini, menyusuri sejarah perjuangan dan pertembungan yang berlaku di dalam bulan Ramadhan dan tanggungjawab yang dituntut daripada setiap Muslim.

Mudah-mudahan Ramadhan kita kali ini lebih bermakna dan mencapai maksudnya.

Selamat menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan yang penuh berkah.

 

Muhammad Luttfi Bin Abdul Khalid
Pengerusi
Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

(iPeguam)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian