Beruntunglah Mereka yang Mempunyai Anak Perempuan!

 

 

“Sesiapa yang mempunyai seorang anak perempuan, lalu dia tidak menanamnya hidup-hidup, tidak menghina atau meremehkannya, dan tidak mengutamakan anak lelaki ke atas anak perempuan tersebut, maka Allah akan memasukkannya ke syurga.”

Sabda Rasulullah di atas diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra yang berbicara dan memberi gambaran kepada kita tentang betapa tradisi jahiliyah suatu ketika dahulu sangat tidak memandang seseorang yang bergelar perempuan atau wanita sebagai sebahagian manusia yang patut dipelihara.

Firman Allah yang bermaksud;

“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia (Allah) menciptakan apa yang dikehendakiNya, Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya” (Surah Asy-Syuara ayat 49)

Islam mengangkat darjat seorang wanita pada satu tahap yang sebelumnya tidak mendapat penghormatan dan perlindungan yang sewajarnya. Garis panduan yang jelas dalam Islam yang menyatakan hak-hak anak perempuan oleh ibu bapa adalah sama dengan hak-hak anak lelaki, yang mana antara lainnya;

  • Hak untuk diazankan, diiqamatkan dan ditahnik selepas dilahirkan.
  • Hak untuk diberikan nama yang baik.
  • Hak untuk diakikahkan.
  • Hak untuk dikhatankan.
  • Hak untuk diasingkan tempat tidur daripada adik-beradik lelaki.
  • Hak untuk diberikan pendidikan yang sempurna termasuklah pendidikan akidah dan akhlak.
  • Hak dalam pemilikan harta.
  • Hak untuk menyatakan persetujuan dalam soal jodoh.

“Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah mereka, kesusahan dan kesenangan dalam membesarkan mereka, maka Allah memasukkannya ke syurga kerana rahmatNya kepada mereka.” Lantas seorang lelaki bertanya, “Bagaimana kalau hanya dua orang wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Sekalipun hanya dua orang. Seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sekiranya hanya seorang? Jawab Baginda, “Dan seorang”. (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

 Kelebihan yang disediakan oleh Allah Taala bagi ibu bapa yang tabah dan berlapang dada dalam menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak perempuan dengan baik adalah ganjaran syurga yang tiada tolok bandingnya. Sama ada anak lelaki mahupun anak perempuan, kedua-duanya merupakan pemberian dan nikmat Allah kepada sepasang suami isteri yang berkahwin untuk mencari keredhaanNya.

Doa yang terkandung di dalam surah Al-Furqan ayat 74 ini adalah panduan yang sangat baik untuk sama-sama kita amalkan.

“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

Pelbagai pihak di dunia masa kini yang mengecam ajaran Islam serta ingin menegakkan hak asasi manusia yang sangat melampaui batas malah menuduh Islam sebagai merendah-rendahkan kedudukan wanita.

Tidak lupa juga isu yang terbaru apabila ada pihak yang melebih-lebihkan kemahuan jantina yang ingin melazimi kehidupan jenis kelamin yang berlawanan sehingga sanggup menjalani pembedahan dan kaedah perubatan tertentu untuk kelihatan seperti “orang baru”.

Kebahagiaan yang dicari yang hanya dari sudut lahiriah semata-mata tetapi tidak mengendahkan ajaran agama ini benar-benar memberi cabaran besar dalam institusi kekeluargaan pada masa hadapan.

Oleh itu, mari sama-sama kita amalkan doa Nabi Muhammad;

“Wahai Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu dan di atas ketaatan kepadaMu”

Semoga kita diberi keteguhan iman dan tetap istiqamah dalam perjuangan kita sebagai para dai.

 

Nur Zawati Mohamed Fauzi

Aktivis ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian