Laporan polis, Kenyataan Kulasegaran boleh cetus ketegangan kaum

IPOH, 1 Ogos 2018 – Satu laporan polis telah dibuat ke atas kenyataan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran yang mendakwa bahawa bangsa Melayu adalah pendatang.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Syed Salahuddin bin Syed Ayob, yang juga merupakan seorang aktivis NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ipoh, semalam, di Balai Polis Kg. Rapat.

Menurut Syed, kenyataan Menteri Tenaga Manusia itu adalah tidak tepat, dan merupakan satu hasutan yang boleh membawa kepada perpecahan kaum. Adalah tidak patut bagi seorang menteri kabinet yang baru dilantik mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan seperti itu, ujarnya.

“Bangsa Melayu bukan pendatang. Kami adalah bangsa yang merupakan penduduk asal tanah ini. Ini adalah fakta sejarah” jelas Syed.

“Walaupun beliau telah meminta maaf, tetapi ianya tidak memadai. Beliau sewajarnya meletakkan jawatan daripada kabinet sebagai tanda penyesalan dan beliau perlu bertanggung jawab atas kenyataan beliau itu” tegasnya lagi.

Sebagai mengulas, Setiausaha ISMA Ipoh, Rosidi bin Shahari berkata, ISMA Ipoh menyokong penuh tindakan Syed melaporkan kes ini kepada pihak polis.

Ini kerana ISMA sangat mementingkan perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia, justeru, apa-apa perkara yang dilihat boleh memecah belahkan keharmonian tersebut perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya, ujar Rosidi.

“Kami minta agar pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan yang sepatutnya kepada beliau. Kami juga harap agar tiada double standard yang berlaku dalam isu ini, kerana beliau terang-terang melanggar peraturan yang termaktub dalam perlembagaan negara kita” tegas Rosidi lagi.

Kulasegaran dalam sebuah majlis agama Hindu di Nilai tempoh hari telah mengeluarkan kenyataan bahawa kaum Melayu juga adalah pendatang, sama seperti kaum India. Kenyataan itu telah mengundang kecaman pelbagai pihak, yang seterusnya dinafikan oleh Kulasegaran.

Walau bagaimanapun, beliau sekali lagi dikecam hebat apabila video ucapan beliau tular di media sosial, yang membuktikan penafian beliau itu sebagai menipu.

Oleh: Nor Liyana binti Mohamad Rosly

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian