Sedekad JUMS: Menjalin Ukhuwah, Membangun Mahasiswa Beragenda

Derby, 24 Dis- Pehimpunan musim sejuk tahunan, Jalinan Ukhuwwah Musim Sejuk (JUMS) anjuran ISMA UK-Eire telah berlangsung pada 21-24 Disember 2018 yang membawakan tema “Engage, Inspire, Embolden” bertempat di Kem Lea Green, Matlock yang penuh dengan kehijauan dan suasana yang mendamaikan.

JUMS tahun ini telah berjaya mengumpulkan hampir 100 mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di seluruh Eropah; United Kingdom, Ireland, German, dan Sepanyol untuk beraktiviti dan berukhuwah selama 4 hari 3 malam.

Pihak JUMS pada kali ini amat berbesar hati dengan kehadiran penceramah jemputan khas, iaitu Ir Tuan Hj Muhammad Lukman Al-Hakim, Ketua Biro Luar Negara (BLN) Ikatan Muslimin Malaysia yang juga merupakan pemilik dan konsultan di Ultra Mind Academy. Tuan Hj Lukman telah mengendalikan beberapa slot yang menarik seperti ‘Kenali Personaliti Anda’ dan ‘First Class Ummah’ yang telah mendapat maklumbalas yang cukup positif daripada para peserta.

Melalui kedua-dua slot tersebut, penceramah telah menegaskan bahawa setiap manusia terutamanya mahasiswa dan mahasiswi perlu mengenali personaliti diri masing-masing supaya ianya boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk memimpin di posisi masing-masing mengikut kemampuan dan kapasiti peribadi demi membawa agenda yang besar, iaitu untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini.

Selain itu, kelainan JUMS pada tahun ini juga telah membuka ruang kepada para peserta untuk mengasah dan mencungkil ‘soft-skill’ masing-masing melalui kemahiran komunikasi dan mempengaruhi menerusi aktiviti ‘Debat Pemuda’ ala Parlimen yang mengetengahkan usul-usul intelektual yang berkaitan dengan isu semasa yang melibatkan umat Islam di Malaysia. Sebelum pertandingan antara kumpulan diadakan pada malam penutup JUMS 2018, para peserta terlebih dahulu diberikan peluang untuk mengikuti bengkel ringkas debat yang dikelolai oleh Saudara Rijal Zuki yang telah hampir 10 tahun berpengalaman dalam dunia perdebatan.

 

“Aktiviti Debat Pemuda telah membuka mata saya kepada isu semasa dan memberi platform untuk saya berlatih skil yang baru. Saya kini lebih yakin untuk memainkan peranan sebagai seorang muslimah untuk mempertahankan Islam dalam isu-isu semasa yang seringkali dibincangkan di media sosial,” jelas salah seorang peserta, saudari Marsya Mat Noor yang juga merupakan peserta terbaik perempuan JUMS 2018.

Selain daripada pertandingan debat, JUMS Intergames Futsal/Bola Baling anjuran agensi I-Fitness juga merupakan salah satu kelainan besar dalam sejarah sepanjang 10 tahun JUMS diadakan di sini. Selain menggalakkan gaya hidup yang cergas dan sihat dalam kalangan peserta, penganjur juga meletakkan harapan sekurang-kurangnya untuk menghantar sebuah kumpulan mewakili ISMA UK-Eire ke mana-mana perlawanan Malaysian Games yang diadakan di sekitar United Kingdom.

Majlis penutupan JUMS 2018 telah disempurnakan oleh Pengerusi ISMA UK-Eire, Saudara Mohammad Saiful Bin Abdul Karim, yang dalam ucapannya turut mengajak seluruh mahasiswa di Eropah untuk bersama-sama mengenali potensi diri dan menyumbang kepada ummah melalui agensi-agensi yang ditawarkan di bawah ISMA UK-Eire seperti I-Fitness, Warming The Souls, I-Medik dan Beliawanis Eropah.

Penutupan JUMS pada kali ini juga telah dirancakkan lagi dengan pelancaran ISMA Jerman oleh Ketua Biro Luar Negara, Ir Tuan Hj Muhammad Lukman Al-Hakim.

Sekalung tahniah dan jutaan penghargan diucapkan kepada pihak jawatankuasa dan seluruh peserta yang telah menjayakan Jalinan Ukhuwah Musim Sejuk (JUMS) pada kali ini. Semoga ukhuwah yang terjalin ini akan terus tersemat dalam diri setiap peserta dan semoga JUMS menjadi satu titik permulaan bagi setiap peserta selari dengan seruan ISMA UK-Eire untuk melahirkan mahasiswa yang beragenda.

#EngageInspireEmbolden
#JUMS2018

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?