Bentuklah Jati Diri Sebagai Remaja Muslim Yang Hebat
Sejarah ketamadunan Islam dan sirah nabawiyyah mencatatkan banyak kisah kejayaan Rasulullah s.a.w dalam membentuk figura hebat seperti Zubair bin al-Awwam, Talhah bin Ubaidullah serta ramai lagi yang memiliki identiti remaja hebat. Remaja muslim adalah aset negara yang perlu dibangunkan dan diperkukuhkan identiti serta jati dirinya sesuai dengan prinsip Islam.
Kejayaan sesebuah negara dan kebelangsungan ketamadunan manusia terletak kepada kualiti dan daya tahan generasi remaja dalam memimpin dan membangun ummah.
Generasi remaja kini membesar dalam belenggu budaya hedonistik yang membimbangkan dan terpesona dengan pemikiran barat yang melalaikan sehingga mereka diserat jauh ke kancah kemaksiatan dan kepincangan akhlak. Gelagat dan perilaku remaja yang sekerat muslim, sekerat sekular amat membimbangkan.
Hiburan dan materialistik menjadi pujaan mereka asbab ketempangan daya tahan diri dan kecairan identiti lantaran serangan liberalisasi dan sekularasi yang bertali arus. Tidak dinafikan, ramai remaja yang masih berakhlak baik dan cemerlang peribadi, namun disebabkan fitnah yang melata di muka bumi ini mereka masih berpotensi untuk tersasar dari laluan.
Pembangunan identiti remaja muslim adalah sangat penting dan semua pihak perlu terlibat dalam merealisasikannya. Namun, peranan setiap pihak tersebut tidak akan diulas di sini dan penulis hanya fokus kepada diri remaja sahaja. Secara psikologinya, setiap manusia akan melalui perkembangan kendiri, iaitu kesedaran kendiri bermaksud keadaan di mana seseorang mempunyai pengetahuan mengenai kesedaran, kefahaman mengenai dirinya, persekitarannya dan penciptanya.
Perkembangan kendiri manusia akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang seterusnya mampu mempengaruhi identiti diri mereka. Sekiranya remaja terpengaruh dengan fahaman yang salah, maka fahaman yang salah ini akan memcorakkan remaja mengikut kehendak fahaman tersebut sehingga mereka terdedah dengan kecelaruan dan kecairan identiti sebagai remaja muslim, dan sebaliknya.
Semua maklum bahawasanya acapkali bulan November datang menjengah, rata-rata pelajar akan merasa debaran, terutamanya pelajar tingkatan lima asbab peperiksaan SPM yang semakin tiba. Semua pelajar inginkan kecemerlangan dalam SPM, dapat mengambil jurusan yang diidamkan ataupun dapat belajar di universiti terhebat di serata dunia. Tidak kurang juga, mungkin ada sebahagian yang lebih suka untuk bekerja selepas SPM atau mengambil sijil-sijil kemahiran atau menceburkan diri dalam perniagaan, dalam erti kata lain tidak mahu memasuki universiti atau kolej.
Buatlah pilihan yang terbaik yang selari dengan matlamat dan bergeraklah ke halatuju masing-masing. Akan tetapi berusahalah dengan sebaik mungkin terlebih dahulu untuk menggapai kejayaan dalam SPM.
Namun, penulis ingin sampaikan kepada remaja muslim bahawa tidak bermakna kejayaan dunia tanpa kejayaan akhirat. Di saat remaja melalui fasa perkembangan kendiri, bentuklah jati diri sebagai remaja muslim yang berwibawa dan unggul. Kajilah sirah Rasulullah dan teladanilah remaja hebat zaman tersebut hasil didikan Rasulullah.
Fahami dan amalkanlah Al-Quran dan hadith kerana hakikatnya semua inilah yang akan membawa remaja kepada kejayaan akhirat. Tuntutlah ilmu dunia dan amalkannya selaras dengan syariah agama, gapailah kejayaan dunia supaya kelak nanti kalian menjadi seseorang yang berpengaruh, gunakanlah pengaruh tersebut untuk menegakkan Islam. Remaja adalah agen perubahan dan remaja adalah bakal pewaris kepimpinan negara.
Jadilah remaja yang cemerlang akademik, cemerlang akhirat, kukuh dan mantap jati dirinya sebagai muslim.
Jadilah pemimipin yang soleh untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Wahai remaja, berubahlah!
Semat dalam hati, remaja muslim perlu cemerlang dunia, cemerlang akhirat!
Dr. Siti Nur Haslinda Mohd Daud,
Aktivis KRIM KL
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan