Mahasiswa, ambil tahu hak anda!

 

CHERAS, 7 Jan – “Sekiranya kita terlibat dengan mana-mana kemalangan jalan raya atau mengalami apa-apa kecederaan yang bukan disebabkan dari ‘pre-existing conditions’, kita sebagai pelajar di New Zealand berhak menuntut insurans dari Accident Compensation Corporation (ACC) untuk membantu pembiayaan rawatan disana.” Berikut merupakan antara pengisian yang disampaikan oleh Dr Mastura Ahmad Kamil, graduan perubatan Universiti of Otago yang telah menetap di sana selama enam tahun. Ujarnya lagi, kita sebagai pelajar luar negara perlu mengambil tahu tentang insurans perlindungan yang diambil agar tidak terbeban dengan pembiayaan rawatan yang agak tinggi di New Zealand mahupun Australia.

Perkongsian yang diselitkan antara slot-slot menarik lain dalam program persediaan pelajar luar negara Australia dan New Zealand, Kiwiroo 2019 mengumpulkan para mahasiswa muslim dari pelbagai kolej yang akan melanjutkan pengajian seawal Februari tahun ini. Program sebegini selain dapat menghubungkan para mahasiswa antara kolej turut memberi peluang kepada mereka berjumpa sendiri dengan para fasilitator dari universiti-universiti sekitar Australia dan New Zealand yang sedang balik bercuti sempena musim panas disana.

Kiwiroo kali ini diadakan di International Youth Centre (IYC) Cheras berlangsung Sabtu lepas selama 2 hari 1 malam bagi memberi ruang kepada para peserta untuk menyelesaikan isu rumah sewa, fiqh musafir, penyesuaian diri dan persiapan-persiapan lain sebagai mahasiswa baru di negara asing. Juga ditampilkan dalam program ini, para graduan yang telah pun selesai pengajian dan sedang bergiat aktif dalam bidang kerjaya masing-masing sebagai tokoh dan inspirasi positif seperti Alwi Adam, Dr Sarifah Hanum, Hanan Othman, Ust Shahier, Fauzan Azmi, Ustazah Fatin Halil dan Hazim Abdul Rahman.

Program anjuran Biro Luar Negara (BLN) tahun ini merupakan program yang ke-19 dan telah pun dijalankan setiap tahun sejak 2001, di bawah nama Program Semai Mesra (PSM). BLN sangat komited dalam membantu adik-adik mempersiap diri sebelum berlepas ke negara orang dan akan terus membantu mereka di sana dengan bantuan jaringan-jaringan mahasiswa luar negara yang lain. Diharapkan agar, pengisian sepanjang program dapat mempersiap adik-adik disamping mengekalkan jati diri dan identiti sepanjang bergelar mahasiswa muslim di Australia dan New Zealand.

 

Disediakan oleh;
Alia Nurfarahain Mohd Rujhan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian