Budaya hedonisme yang merosakkan umat

Islam meletakkan garis panduan dalam seluruh aspek kehidupan. Adakah bertujuan mengongkong manusia? Tidak! Bahkan sebagai panduan agar tidak terbabas.

Umpama papan tanda di jalan raya yang memberi panduan kepada perjalanan kita menuju destinasi.

Manusia yang hidup tanpa panduan, perjalanannya tidak terarah. Terkadang di landasan yang betul, tapi seringkali menyimpang dari jalan yang benar.

Manusia yang rasa terkongkong dengan panduan-panduan agama adalah kerana dia tidak memahami tujuan hidup dan tujuan dia diciptakan. Sepanjang waktunya hanya berusaha memuaskan hawa nafsu yang tidak akan pernah puas, sehingga akal dan rohaninya tidak terpimpin dan akhirnya “mati” walaupun jasadnya masih bernyawa.

Golongan yang cintakan hiburan berlebihan, akan berusaha mempertahankan subjek kecintaannya walau dengan pelbagai hujah falasi yang kebudak-budakan.

Budaya hedonisme yang tidak dikekang lambat laun akan memberi saham kepada kerosakan institusi kekeluargaan yang merupakan asas paling penting dalam sebuah komuniti masyarakat. Lahirlah anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan agama, anak-anak yang ternormalisasi dengan budaya sambutan maksiat secara besar-besaran, yang sanggup berhabis wang ringgit demi memuaskan nafsu untuk berhibur. Kelak apabila mereka telah dewasa dan melahirkan anak pula, bagaimana bentuk didikan yang akan mereka terapkan kepada anak-anak mereka?

Akhirnya kesan ini tidak terhenti pada satu generasi, bahkan akan berlanjutan untuk generasi-generasi seterusnya, wal ‘iyadzu billah.

 

Dan di kalangan manusia ada yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

(surah Luqman; 31:6-7)

 

 

Mengekang hedonisme tidak mudah tapi tidak juga mustahil. Memahami tujuan penciptaan manusia di dunia adalah permulaan yang perlu ditanamkan kepada masyarakat terutama anak-anak muda yang lebih mudah terjebak kepada unsur ini.

Tiadalah manusia diciptakan melainkan perlu berusaha menjadikan setiap aspek kehidupannya mematuhi syariat Allah, kemudian berusaha mentadbir bumi ini atas asas yang sama;

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan tiadalah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (surah adz-Dzariyaat; 51:56)

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. (surah al-Baqarah; 2:31)

 

Ustaz Ahmad Hisyam Sabrani
Ahli Jawatankuasa ISMA Kuala Lumpur

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian