JAMBORI 2019 – KRIM Kuantan asah peserta bijak berbicara
KUANTAN, 3 Mei – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Kuantan telah berjaya menganjurkan Kem Jatidiri dan Kepimpinan Remaja Muslim (JAMBORI) 2019 bagi mengasah bakat para peserta dalam pengucapan awam iaitu bakat bijak berbicara.
Menurut Pengarah Program, Puan Rosazura Jasmi, kem JAMBORI kali ini menekankan aspek pengucapan awam dalam kalangan remaja kerana mereka adalah pewaris kepada tonggak kepimpinan negara pada masa akan datang.
“Kemahiran pengucapan awam ini sangat penting kerana corak pembangunan negara pada masa hadapan adalah bergantung sepenuhnya kepada corak keperibadian belia pada masa kini.
“Sehubungan dengan itu, penanaman aspek jatidiri untuk tampil ke hadapan dalam memberi pendapat atau pandangan perlulah diperkasakan sebaiknya dalam diri setiap remaja,” jelasnya.
Demikian menurut beliau ketika ditemui di Kem Akademi Azam di sini baru-baru ini.
Harapan beliau agar para peserta dapat menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang kem ini sebaiknya.
“Biarlah ia sentiasa tersemat diminda dan diaplikasi dalam kehidupan mereka setiap masa,” tambah beliau yang juga memegang jawatan sebagai Setiausaha KRIM Kuantan.
Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui, memberi respon positif sepanjang mengikuti program JAMBORI ini.
Muhammad Danial Asyraf Mohd Yusri ketika ditemui, berkata beliau sebelum ini merupakan seorang yang sedikit pemalu untuk bercakap di hadapan orang ramai, tetapi kini semakin berani dalam mengeluarkan pendapat kepada orang di sekelilingnya.
“Program ini juga sangat menarik kerana mengandungi pelbagai aktiviti yang sangat menyeronokkan termasuklah bermain bola sambil memakai kain pelikat ketika slot Team Building,” ujar beliau yang merupakan pelajar SMK Sungai Isap, Kuantan.
Selain itu, Adam Azmin Azram Aznan, yang juga merupakan pelajar SMK Sungai Isap bersetuju bahawa JAMBORI 2019 ini memberi impak yang positif terhadap dirinya, kerana selain dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru, kem ini melatih beliau untuk lebih yakin semasa berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali disekelilingnya.
“Perasaan malu untuk bercakap juga semakin hilang setelah dilatih oleh fasilitator terlatih di dalam program ini,” kata beliau.
Di samping itu, Nur Arina Alia Mohd Salehin dari SMA Al-Irsyad berkata, beliau belajar teknik-teknik untuk hilangkan perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai semasa sesi bimbingan bagi slot Bijak Berbicara.
“Saya juga belajar perkara-perkara yang positif sepanjang berada di sini dan ingin mengajak rakan-rakan yang lain untuk menyertai kem-kem sebegini lagi.
“Harapan saya agar program ini akan diadakan secara berterusan dan dapat dilaksanakan setiap tahun,” katanya yang kini sedang belajar di Tingkatan 4.
Program JAMBORI merupakan program tahunan anjuran KRIM yang dilaksanakan khas untuk membantu meningkatkan jatidiri dan kepimpinan dalam kalangan remaja terutamanya di kalangan pelajar sekolah menengah.
Bagi tahun 2019, KRIM Kuantan julung-julung kalinya bekerjasama dengan Akademi Membangun Potensi Anak Cemerlang (AMPAC), sebuah agensi terlatih yang membimbing anak-anak dalam pengucapan awam.
Melalui penganjuran JAMBORI 2019 ini, KRIM Kuantan berjaya menarik seramai 40 orang pelajar lelaki dan perempuan dari sekolah-sekolah sekitar Daerah Kuantan.
Kem yang diadakan selama 2 hari 1 malam ini turut mengetengahkan beberapa aktiviti termasuklah perkongsian slot ‘Born to lead’, ‘Youth conference: What Works Well’, ‘Team Building’ dan juga slot ‘KRIM Got Talent’.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan