Kampung Baru – Warisan Yang Diancam Pembangunan

Kredit foto : Derrick Chang

Rumah Degil?

Beberapa tahun yang lalu, sebuah Rumah Degil telah terpaksa dirobohkan setelah lebih 70 tahun ianya didiami oleh seorang pewaris pusaka. Ianya terletak di Chow Kit di tengah-tengah pusat tumpuan ibu kota Kuala Lumpur.

Ramai yang tidak tahu tentang kewujudkan dan nilai sentimental yang ada pada rumah tersebut. Ianya dimiliki dan diwarisi oleh seorang nenek yang dikenali sebagai Nenek Norma. Banyak versi cerita berkenaan rumah ini yang tuan rumahnya “degil” tidak mahu menjual rumahnya kepada pihak pemaju di kawasan tersebut sehinggakan naik bangunan-bangunan tinggi disekelilingnya dan hanya rumah beliau sahaja yang masih kayu dan utuh.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pemaju dan pihak berkuasa untuk memujuk Nenek Norma menjual rumah itu bertahun-tahun lamanya sehingga beliau meninggal dunia.

Lalu, pada tahun 2013 akhirnya rumah ini terpaksa juga dilepaskan. Namun begitu, ramai orang yang mungkin tidak tahu, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah melaksanakan projek di mana struktur asli rumah itu telah dipindahkan ke Balai Seni Negara terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kini untuk menjadi tatapan umum sejarah tentang Rumah Degil ini.

Mengapa rumah tersebut begitu istimewa sehingga dijadikan sebagai bahan sejarah? Sebenarnya, ia bertujuan untuk menjadi iktibar buat kita khususnya masyarakat Melayu. Iktibar berkenaan polemik yang berlaku baru-baru ini terhadap isu Kampung Baru.

Kredit Foto : Berita Harian

Kampung Baru, mampukah dipertahankan?

Wajarkah sebuah kampung berada di tengah-tengah ibukota? Bagaimana mungkin dibiarkan pembangunan negara yang pesat dicacatkan dengan pengekalan sebuah kampung di Kuala Lumpur ini. Mungkin persoalan ini pernah tersasul dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang tiada sensitiviti terhadap warisan negara.

Polemik yang berlaku terhadap Kampung Baru amat menggemparkan. Kerajaan telah bercadang untuk menggantikan Kampung Baru dengan pembangunan lain yang lebih moden dan urban persis seperti negara maju. Cadangan penghapusan Kampung Baru ini dikira amat tidak sensitif terhadap keluhuran warisan bangsa Melayu di Malaysia.

Kampung Baru merupakan sebahagian daripada warisan ‘intangible’ atau didefinisikan sebagai warisan bukan fizikal atau “warisan tidak ketara” sepertimana di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005. Warisan intangible merupakan ciri-ciri budaya yang khusus kepada bangsa atau masyarakat. Sepertimana Kampung Baru, ia terkenal dengan lokasi untuk mendapatkan makanan tradisional Melayu yang pelbagai dan menjadi tempat yang sangat popular di kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum. Itulah keistimewaannya sehingga menjadi identiti kepada kampung itu sendiri.

Sama keadaannya dengan pengekalan Kampung Morten di Melaka telah menjadi identiti untuk masyarakat Melayu Melaka dan secara khususnya menjadi living culture kepada para pengunjung di tempat tersebut.

Pembangunan seharusnya melengkapkan budaya dan warisan rakyat Malaysia, bukannya memusnahkannya. Jika ianya musnah, di mana identiti negara kita? Bukankah Malaysia itu pada asalnya merupakan Tanah Melayu?

Kredit foto : Badan Warisan Malaysia

 

Oleh :

Noor Ruzaini Adam

Arkitek Jabatan Warisan Negara

Nurul Hajar Atan

Penolong Pengarang Biro Komunikasi dan Korporat Isma

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian