Doktor, suami saya kena solat ke kalau dia tak sedarkan diri ni..?
“Doktor, suami saya ni kena solat ke kalau dia tengah ditiub dengan tak sedarkan diri ni”
“Owh, panjang nak bercerita kalau macam ni”..
===========================
ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah An-Nisa’: Ayat 103)
Antara cabaran bagi pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi adalah melaksanakan solat dalam waktunya. Bagi sebahagian pesakit, mereka ini ditidurkan atau ditenangkan dengan menggunakan ubat penenang (sedation) yang mana akan merendahkan tahap sedar mereka.
Di dalam bidang perubatan, tahap sedar seseorang diukur menggunakan Glascow Coma Scale, di mana tiga bahagian diberikan markah, tahap pembukaan mata, secara spontan, dengan panggilan atau dengan mengenakan kesakitan. Selain itu pemarkahan dari sudut percakapan, mampu bercakap, percakapan yang melalut atau sekadar bunyi sahaja. Tahap sedar juga diukur dengan tahap pergerakan anggota, mampu mengikut arahan atau pergerakan abnormal.
Bagi mereka yang tidak penuh tahap sedarnya, mereka ini boleh digolongan dalam golongan yang disebutkan di dalam Al-Quran.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakana. (Surah An-Nisa’: Ayat 43)
..dan boleh juga digolongkan dalam golongan yang dinyatakan dalam Hadits Nabi;
Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)
Bagi golongan ini, masa wajib solat mereka adalah ketika tahap sedar mereka penuh. Antara ubat sedation dihentikan atau kesan kecederaan dalam kepala susut. Barulah mereka dibantu untuk mengerjakan solat sekadar kemampuan badan mereka
Persoalannya, adakah mereka ini perlu menggantikan solat ketika mereka tidak sedar.
Pandangan ulama’ mengenai masalah ini adalah berbeza.
Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, tidak perlu qadha’ kerana ia tidak termasuk dalam mukallaf, dalam keadaan pengsan atau koma.
Mazhab Hanbali berpendapat, perlu qadha’.
Mazhab Hanafi berpendapat, perlu qadha’ jika tidak melebihi enam waktu solat.
Saya pernah mendapat jawapan yang membuatkan kita tidak terlalu keras tetapi terbuka kepada situasi pesakit itu sendiri.
Jika pesakit itu adalah dari kalangan mereka yang sentiasa menjaga solat, bagi mereka kita katakan untuk menggantikan solat yang tertinggal, tetapi jika pesakit itu dari kalangan mereka yang solatnya tunggang langgang dan ada kemungkin jika kita wajibkan untuk diganti akan menyebabkan dia lebih jauh dalam meninggalkan solat maka bukalah ruang untuknya dengan mengambil pandangan yang mengatakan tidak perlu diganti solatnya.
Apa yang lebih penting, baik bagi pengamal perubatan mahupun mereka yang menziarahi orang sakit, bantulah dan bimbinglah pesakit untuk mengerjakan solat. Kerana inilah pembeda seorang muslim dan seorang kafir.
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Surah Al-Baqarah, Ayat 45)
Wallahu a’lam.
Dr. Muhammad Irfan Salmi,
Ikon Profazz
Pensyarah Pelatih UIAM
Aktivis Isma Kuantan
——
Rujukan:
https://ift.tt/2oAUkSZ
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan