Manfaatkan Ramadan kali ini sepenuhnya

Oleh: Ustazah Fauziah Ibrahim

Secara tidak sedar,kita telah berada di bulan Ramadan, masa berlalu begitu pantas, setahun yang berlalu tanpa disedari hanya sekejap sahaja. Sekiranya kita tidak memanfaatkan masa untuk kerja yang berfaedah, pasti kita akan rugi.

Bulan Ramadan adalan bulan yang dirindui oleh mereka yang ingin melakukan kebaikan.Ia merupakan bulan yang dirindui oleh Rasulullah dan para sahabat serta para hamba Allah yang soleh kerana mereka boleh menambah amalan kebajikan bagi bekalan hari selepas kematian. Ia sentiasa dinantikan oleh orang yang beriman malahan mereka sentiasa mendoakan seperti yang diajar oleh Rasulullah ketika berada di bulan Rejab lagi.

Rasulullah bersabda:
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
Maksudnya : Ya Allah ,berkatilah kami dibulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.(alTabrani, alBaihaqi)

Doa inilah yang diulang-ulang oleh Rasulullah apabila mendekati bulan yang mulia ini. Baginda telah mendidik para sahabatnya mengungkapkan doa yang mulia ini bagi mendidik hati dan jiwa mereka agar menyambut Ramadan dengan penuh kerinduan dan kecintaan.
Sebenarnya ,doa sebelum Ramadan ini merupakan persediaan mental agar kita dapat menghadapi bulan Ramadan ini dengan penuh penghayatan ,kesediaan dan kesedaran. Persediaan ini dilakukan untuk menyediakan hati yang sedia untuk dididik, nafsu yang sedia dilentur dan jiwa yang sedia dibentuk dengan acuan keimanan.

Doa ini juga merupakan impian dan harapan bagi hamba-hamba yang menginginkan limpahan rahmat Allah pada bulan ini. Banyak kurniaan dan limpahan rahmat namun hanya manusia yang ada iman yang kuat sahaja nampak semua itu. Ramai yang melihat tetapi orang yang melihat dengan mata hatinya sahaja yang akan menghargai Ramadan.

Apabila Ramadan menjelma tiba,sepatutnya kita bertanya kepada diri kita,”Adakah kita benar-benar gembira dengan kedatangan Ramadan ini? Adakah kita benar-benar seronok dan teruja  dengan menjelangnya Ramadan? Atau kita gembira kerana teruja dengan kehadiran Aidilfitri pada satu Syawal nanti?

Bersediakah kita dengan Ramadan pada tahun ini? Orang yang bersedia dengan Ramadan boleh dikenalpasti menerusi tuturbicaranya. Apa yang kita sering bicarakan? Sekiranya tajuk perbicaraan kita tidak menyentuh lansung tentang persiapan diri, aktiviti yang meningkatkan keimanan, maka kita sebenarnya masih belum bersedia lagi. Topik perbicaaraan kita lebih berkisar tentang persediaan menghadapi hari raya, berapa helai baju raya kita tahun ini, kita telah siap menempah baju raya untuk keluarga mengikut warna tema dan sebagainya. Ini menunjukkan kita lebih bersedia menghadapi satu Syawal berbanding Ramadan yang mulia.



Sesungguhnya Ramadan bulan yang mulia, yang diturunkan di dalamnya Al-Quran. Di dalamnya terdapat pelbagai kelebihan yang harus dikejar oleh setiap umat islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan. 

Allah berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 183:

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون.
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa.

Apa yang penting buat masa ini ialah membuat persediaan yang sesuai agar kita dapat mendidik diri dengan cara yang terbaik dan akan menjulang piala taqwa di akhir bulan Ramadan nanti.

Rebutlah ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam bulan Ramadan seperti berpuasa sebulan Ramadan, solat sunat Tarawih, Qiamullail, malam Lailatul qadr dan sebagainya.

Kita janganlah melepaskan peluang ini kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita akan dapat bersama pada Ramadan akan datang. Terdapat sekurang-kurangnya lima persediaan penting untuk menyambut bulan Ramadan.

Pertama: Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sihat sejahtera, supaya kita boleh melakukan ibadah dengan sempurna.

Kedua : Timbulkan rasa ghairah dan bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan. Wujudkan suasana ceria di dalam rumah untuk menghadapi Ramadan dengan melekatkan poster-poster galakan ibadah dan kelebihan Ramadan di dinding dan pintu, memasang CD AlQuran atau kita menukar langsir baru menjelangnya Ramadan berbeza dengan  sebelum –sebelum ini yang dilakukan menjelang hari raya.

Ketiga : Rancang kegiatan yang memberikan manfaat sebesar mungkin daripada bulan Ramadan . Ini kerana Ramadan amat singkat , hanya sebulan sahaja, maka penuhi setiap detiknya dengan amalan yang berharga yang dapat membersihkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seterusnya sambut Ramadan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk seperti perbuatan mengumpat,berbobong dan menfitnah.

Keempat: Mempelajari tentang hukum- hakam puasa seperti  rukun – rukunnya, syarat wajibnya ,perkara-perkara yang makruh dilakukan dan perkara- perkara yang sunat dilaksanakan ketika berpuasa supaya ibadah puasa yang kita lakukan benar –benar menepati syariat dan diterima Allah.
Kelima: Persiapan hati dan jiwa. Persiapan ini yang akan mengatasi persiapan yang lain kerana hati dan jiwa yang bersih akan melahirkan jiwa yang benar-benar insaf dan mampu membuat perubahan. Muhasabah diri, kenalpasti kelemahan diri sendiri, timbulkan perasaan untuk memperbaiki diri sepanjang Ramadan. Justru, Ramadan ini akan menghasilkan buah keimanan yang akan disambut dalam bulan Syawal nanti.

Kesimpulannya, permulaan yang baik dari jiwa yang baik. Kita mesti sentiasa dan merebut peluang ini dengan semaksima mungkin. Jangan sia-siakan peluang ini dan jangan pula membiarkannya berlalu tanpa dimanfaatkan, kelak ia akan membawa kerugian kepada kita.  



     
  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian