Budaya liberal tidak mampu menjamin kerukunan antara kaum dan agama


KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Dalam ceramah mingguan Hadis Tsulatsa' yang dilaksanakan oleh ISMA Kuala Terengganu semalam, Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali menolak dakwaan bahawa masyarakat berasaskan liberalisma mampu menjamin kerukunan kaum dan agama sebagaimana yang didakwa oleh pendokong-pendokong liberal. Pejuang liberal sering memomokkan bahawa hanya pemikiran dan masyarakat berteraskan liberal yang tidak memihak kepada mana-mana agama atau kaum mampu menaungi kepelbagaian agama dan kaum dan sebaliknya masyarakat berteraskan agama boleh menimbulkan rusuhan dan ketegangan antara agama atau kaum.

Beliau menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan tragedi penghinaan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. atas nama liberal membuktikan sebaliknya. Liberalisma langsung tidak menghormati sensitiviti agama. Dengan alasan kebebasan bersuara dan pandangan, mereka mempersendakan pegangan agama atau anutan orang lain. Maka, bagaimana hal ini boleh dikatakan sebagai menjaga keharmonian antara agama dan kaum?

Sebaliknya tegas beliau, masyarakat Islamlah merupakan satu-satunya yang mampu menjaga kerukunan antara agama dan kaum. Ini kerana Islam mengajar umatnya untuk menjaga sensitiviti agama lain. Dalam surah Al-An’am ayat 108, Allah S.W.T. melarang umat Islam daripada mencaci golongan kafir yang menyembah selain daripada Allah. Islam juga tidak melarang umatnya untuk berbuat baik kepada golongan kafir yang tidak memusuhi Islam dan umatnya (Al-Mumtahanah: 8).

Kejayaan Islam dalam memelihara kerukunan antara agama bukannya teori semata-mata, bahkan telah dibuktikan oleh sejarah di mana penganut agama lain dapat hidup aman sentosa di bawah naungan masyarakat muslim.

Beliau yang mengupas buku “Ciri-ciri Masyarakat Muslim Yang Kami Idamkan” karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi itu, turut menegaskan akan peri pentingnya sebuah masyarakat muslim. Masyarakat muslim ibarat sebuah kebun yang menaungi anak-anak pokok yang membesar di dalamnya. Meskipun, anak-anak benih atau pokok itu berbaka baik, ia tidak dapat membesar dengan baik jika tanah kebun itu tidak subur, tidak dibaja, rumput rampai tidak dicabut dan kebun tidak dipagari daripada dimasuki lembu kambing.

Masyarakat muslim bukan sahaja membantu pembentukan individu muslim yang baik, bahkan diperlukan untuk menjamin segala kewajipan Islam disempurnakan. Antara isi lain yang dihuraikan, beliau memberi contoh bagaimana timbul isu sama ada atlit muslim perlu berbuka puasa Ramadhan kerana terlibat dengan sukan Olimpik atau tidak. Isu ini tidak akan timbul jika penganjur sensitif dan menghormati bulan Ramadhan dengan menganjurkan acara tersebut di bulan-bulan yang lain. Oleh itu, puasa hanya dapat disempurnakan dengan baik apabila masyarakat memang menghormati bulan Ramadhan contohnya dengan kedai-kedai makan ditutup pada siang hari dan sebagainya.

Justeru itu, menjadi kewajipan untuk mewujudkan masyarakat muslim yang sebenar. Dan ini berkait rapat dengan pembentukan individu muslim cemerlang. Kerana individu muslim ibarat batu bata. Sebuah bangunan tidak kukuh jika batu batanya rapuh.

Ceramah Hadis Tsulatsa' ISMA Kuala Terengganu ini dijalankan pada setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian