Jadikan masalah hidup sebagai munajat
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Manusia tidak dapat lari daripada masalah hidup. Untuk itu mereka sepatutnya meluahkan masalah tersebut kepada Allah. Mereka perlu menukarkan segala kerunsingan yang sering mengganggu kekhusyukan semasa solat sebagai munajat (perbualan) dan pengaduan kepada Allah. Dengan itu, hati terdidik untuk sentiasa terpaut dan mengingati Allah, ulas Dr. Razali Musa, YDP ISMA Kuala Terengganu yang juga Ketua Jabatan Usuluddin, UniSZA, dalam kuliah mingguan Hadis Tsulatsa' baru-baru ini. Beliau berkata demikian ketika menekankan kepentingan khusyuk di dalam solat.
"Lalai di dalam solat, bererti tujuan solat tidak akan tercapai. Ini adalah kerana solat disyariatkan untuk mengingati Allah (Thoha: 14)," tegas beliau. Ini agak berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain, ujar beliau. Ibadat puasa, sebagai contoh, masih mencapai tujuannya kerana kelaparan yang dilalui masih boleh mendidik nafsu sekalipun orang yang berpuasa lalai. Demikian juga zakat, ia masih mampu mendidik jiwa untuk tidak kedekut atau terlalu sayangkan harta (di samping prihatin kepada golongan tak bernasib baik), sama ada hati hadir mengingati Allah mahu pun tidak. Tetapi berbeza dengan solat.
Mengingati Allah ibarat nyawa kepada solat. Tanpa kehadiran hati mengingatkan Allah maka solat tidak lebih hanyalah perbuatan berdiri, rukuk, sujud dan lain-lain. Apakah yang membezakan antara seseorang yang sujud kepada Allah dengan seseorang yang sujud kepada dinding atau tiang? Jawapannya ialah hati yang ber-tawajjuh (menghadapkan dirinya) kepada Allah S.W.T., kata beliau lagi.
Untuk itu Dr. Razali menyeru hadirin yang hadir untuk berusaha menghadirkan hati dan mengingati Allah semasa solat. Antara saranan lain ialah beliau menyarankan agar mereka berusaha memahami maksud bacaan yang dibacanya ketika solat. Memahami bacaan dalam solat boleh membantu seseorang untuk mengingati Allah dan menghindarkan fikiran seseorang daripada menerawang. Setidak-tidaknya, seseorang itu perlu faham erti Al-Fatihah yang dibacanya, ujar beliau lagi.
Perbincangan khusyuk di dalam solat ini merupakan salah satu siri perbincangan Hadits Tsulatsa` yang mengupas kitab, Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah An-Nufus karangan Ustaz Sa’id Hawwa. Buku ini membincangkan proses dan langkah-langkah penyucian jiwa sebagai asas membangunkan kembali umat Islam yang gemilang.
Hadits Tsulatsa` ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.
Ulasan
Catat Ulasan