Kegagalan DEB berpunca faktor manusia


KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Kegagalan DEB mencapai sasarannya adalah lebih berpunca daripada kegagalan manusia atau pelaksana dasar dan bukannya dasar itu sendiri, ujar Dr. Razali Musa, Ketua Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA, merangkap YDP ISMA Kuala Terengganu.

Membuat dasar baru, tanpa membaiki faktor manusia atau pelaksana dasar, akan menempah natijah atau kegagalan yang sama, tambah beliau semasa pembentangan Kuliah Mingguan Hadis Tsulatsa’ semalam.

Beliau yang juga salah seorang ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkata demikian ketika mengulas tentang kepentingan pembangunan sumber manusia sebagai asas pembangunan ummah sebelum pembangunan fizikal. Menyentuh perkara ini, beliau membawa sepotong kata-kata hikmah, “Al-Insan qabla al-Bunyan, as-Sajid qabla al-Masajid” (Manusia sebelum bangunan, manusia yang sujud bersembahyang sebelum pembinaan masjid).

Menghuraikan kenyataan ini, beliau berkata, tanpa pembinaan modal insan, sering berlaku fenomena masjid indah tersergam, tetapi hampir-hampir kosong tanpa orang yang bersembahyang. Keadaannya berbeza dengan Masjid An-Nabawi. Meskipun hanya dibina dengan pelepah dan batang tamar, dalam masa 50 tahun, ia berjaya menghasilkan manusia yang mampu menumbangkan Empayar Rom dan Parsi. Oleh kerana itulah, menjadi langkah utama untuk manusia dididik dan diasuh.

Semasa mengupas tentang proses asuhan dan pendidikan insan ini, beliau yang mengupas buku, “Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah Al-Anfus”, karangan Ustaz Sa’id Hawwa, menekankan tentang kepentingan solat sebagai wahana paling utama pendidikan manusia.

"Solat akan memperdalamkan nilai ubudiyyah, tauhid dan syukur kepada Allah S.W.T.," tegas beliau. Namun untuk mencapai tujuan ini, setiap muslim perlu memelihara kesempurnaan solat dari segi zahir mahupun batin.

Untuk itu, setelah rukun dan syarat sembahyang disempurnakan dengan baik, khusyuk di dalam solat adalah amat penting. Allah S.W.T. telah menjadikan khusyuk ciri pertama golongan yang berjaya (Al-Mukminun: 1-2).

"Tanpa khusyuk, ia menandakan hati muslim telah rosak. Tanpa khusyuk, hati terdedah kepada penyakit-penyakit hati seperti cintakan dunia. Mereka yang cintakan dunia, bukan sahaja akan bertindak merosakkan kehidupan akhiratnya bahkan juga kehidupan dunianya," ulas Dr. Razali lagi.

"Ia juga menyebabkan hati tidak lagi terkesan dengan tunjuk ajar atau nasihat. Ia seumpama manusia yang diserang selsema. Dia tidak dapat lagi membezakan bau yang wangi dan bau yang busuk."

Kuliah Mingguan Hadis Tsulatsa’ anjuran ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib, pada setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?