Masyarakat perlu berubah, bukannya Islam diubah
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - "Masyarakat yang perlu berubah agar selari dengan sistem kehidupan Islam, bukannya Islam yang dirombak mengikut suasana masyarakat," tegas Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali ketika mengupas buku, “Ciri-ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan” karangan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi kelmarin.
Beliau ketika menyampaikan Kuliah Mingguan Hadis Tsulatsa' anjuran ISMA Kuala Terengganu itu, menegur sikap sesetengah pihak yang cuba mengubah sistem peraturan Islam yang ditetapkan, dengan alasan keadaan dan suasana masyarakat telah berubah.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan, terdapat sesetengah pihak menuntut agar pembahagian harta pusaka diagihkan sama rata antara lelaki dan wanita dengan alasan suasana kini telah berubah (bukan sebagaimana dahulu) di mana wanita turut memainkan peranan menanggung perbelanjaan kehidupan dan rumahtangga di samping lelaki. Mereka juga cuba menolak kedudukan lelaki sebagai pemimpin rumahtangga (An-Nisaa': 34) dengan alasan yang sama.
"Sepatutnya, masyarakat yang perlu diubah agar bertepatan dengan peraturan dan ajaran Islam, bukannya Islam itu diubah mengikut keadaan masyarakat," tegas beliau. Masyarakat seharusnya dididik akan kewajipan dan tanggungjawab mereka. Ayah, suami, datuk dan adik beradik lelaki seharusnya disedarkan akan kewajipan mereka terhadap anak, isteri, cucu dan adik-beradik perempuan mereka. Tindakan ke atas mereka perlu diambil jika gagal berbuat demikian.
Kecenderungan untuk merombak dan mengubah peraturan Islam akan hanya menjauhkan lagi masyarakat daripada kehidupan Islam yang sebenar. Padahal masyarakat sepatutnya didekatkan dengan sistem peraturan Islam.
"Adakah apabila masyarakat tidak menghormati lampu isyarat merah, maka kita perlu mencabut lampu isyarat?" soal beliau. "Kita sepatutnya menguatkuasakan peraturan agar lampu isyarat dihormati, bukannya membuang lampu isyarat," ulas beliau lagi.
Selain daripada itu, Ustaz Engku Omar turut menegaskan kewajipan untuk membina kembali masyarakat muslim. Ini kerana banyak kewajipan agama hanya dapat disempurnakan apabila wujud masyarakat muslim yang hidup dengan peraturan Islam. Sedangkan masyarakat kini banyak mengabaikan tunjuk ajar Islam.
"Peri pentingnya sebuah masyarakat muslim boleh dilihat daripada penghijrahan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat ke Madinah," ujar beliau. "Rasulullah S.A.W. dan para sahabat diwajibkan berhijrah kerana di Madinah membolehkan mereka membina sebuah masyarakat muslim. Di Madinah segala peraturan Islam mula dilaksanakan, sedangkan ketika di Mekah, ia tidak dapat dilaksanakan. Rasulullah S.A.W. dan para sahabat terpaksa pergi ke lereng-lereng bukit di luar Mekah demi menunaikan solat," ulas beliau lagi.
Kuliah Mingguan Hadis Tsulatsa' anjuran ISMA Kuala Terengganu ini dianjurkan selepas Maghrib, setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.
Ulasan
Catat Ulasan