Hilangnya golongan berwudhu’



KUALA TERENGGANU, 5 November - "Sesungguhnya solat dapat menghindarkan seseorang itu daripada sifat mungkar. Dewasa ini, umat Islam dilihat walaupun bersembahyang namun mereka tetap melakukan kemungkaran. Hal ini menyebabkan ramai kalangan masyarakat mempertikaikan tentang keampuhan solat, namun persoalannya sejauh mana kita benar-benar mengkaji bagaimana solat kita. Oleh yang demikian, kehadiran golongan yang berwudhu’ di dalam masyarakat dilihat penting bagi membangunkan kembali masyarakat yang kian runtuh," ulas Dr. Razali Musa, YDP ISMA Kuala Terengganu yang juga ketua Jabatan Usuluddin, UniSZA, dalam kuliah mingguan Hadis Tsulatsa` hari ini. Beliau berkata demikian ketika menekankan kepentingan khusyu' di dalam solat.

"Kehadiran hati dalam solat merupakan aspek yang amat  penting dalam melahirkan khusyu' dalam solat. Manusia yang tak berakal semasa solat akan termakan dengan hasutan syaitan supaya lalai dan tidak khusyu'  di dalam solat, tegas beliau. Beliau turut menyatakan, walaupun hakikatnya manusia lemah, janganlah tidak menghadirkan hati semuanya sewaktu sembahyang kerana natijah daripada hadirnya hati maka hadirlah roh dalam solat. Tanpa roh, maka matilah manusia itu seperti tubuh badan yang tidak bernyawa. Paling kurang manusia perlu menghadirkan hati mereka sewaktu takbir, namun jika kurang daripada ini maka ia adalah kebinasaan.

"Mengulas tentang langkah-langkah untuk mencapai khusyu' di dalam solat, Imam Al-Ghazali telah membahagikannya kepada enam peringkat iaitu yang pertama adalah menghadirkan hati ketika solat yang bermaksud mengosongkan hati atau jiwa daripada masalah. Kedua ialah memahami sesuatu di sebalik kehadiran hati. Umat Islam disarankan supaya berusaha memahami maksud bacaan yang dibacanya ketika solat. Dengan memahami makna-makna bacaan maka akan sempurnalah solat," ujar beliau lagi.

"Ketiga ialah membesarkan iaitu membesarkan setiap kalimah yang dibaca dalam sembahyang. Seterusnya, merasa hebat yakni merasa takut yang lahir dari perasaan membesarkan kekuasaan Allah. Kelima ialah mengharap iaitu mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. dalam solatnya dan yang terakhir ialah malu yang bermaksud merasa kurang, lemah, berdosa dan tidak dapat membalas segala nikmat-nikmat yang telah Allah S.W.T. kurniakan kepadanya. Dengan mencapai keenam-enam langkah ini maka akan tercapailah khusyu' di dalam solat.

"Ironinya, hari ini terdapat  ramai orang Islam yang bersembahyang tetapi malas, ramai yang bersembahyang namun masih lagi mengambil rasuah dan juga ramai yang bersembahyang namun tidak menepati waktu. Oleh itu, perlunya lahir golongan berwudhu' agar dapat membangunkan kembali masyarakat, agama dan negara yang semakin runtuh kembali ampuh."

Perbincangan khusyu' di dalam solat ini merupakan salah satu siri perbincangan Hadits Tsulatsa` yang mengupas kitab, Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah An-Nufus karangan Ustaz Sa’id Hawwa. Buku ini membincangkan proses dan langkah-langkah penyucian jiwa sebagai asas membangunkan kembali umat Islam yang gemilang.

Hadits Tsulatsa` ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?