Isu murtad mampu menggugat aqidah umat Islam




KUALA TERENGGANU, 26 November - Tugas masyarakat muslim yang pertama adalah kewajipan untuk memelihara, memperkukuhkan dan menyampaikan aqidahnya sehingga tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Ini merupakan kesinambungan daripada kuliah yang sebelum ini berkenaan asas pembentukan masyarakat muslim iaitu aqidah dan keimanan kepada Allah S.W.T.  yang dikupas daripada buku “Ciri-ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan” karangan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

Ketika mengupas berkenaan tajuk ini, Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali telah menyentuh berkenaan isu terkini iaitu isu kebebasan beragama dalam agama Islam. Agama Islam sememangnya unik dan berlainan daripada agama-agama yang lain iaitu Islam terdiri daripada dua unsur iaitu Aqidah dan Syariah. Dalam erti yang lain Islam meliputi hubungan manusia dengan pencipta-Nya dan hubungan manusia sesama manusia. Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan agama yang lain yang hanya meliputi hubungan antara manusia dengan tuhan sahaja tanpa penerangan berkenaan hubungan manusia sesama manusia.

Ulas beliau lagi, umat Islam sepatutnya faham bahawa apabila adanya usaha untuk memurtadkan umat Islam maka ia boleh menyebabkan runtuhnya aqidah umat Islam. Apabila aqidah umat Islam telah runtuh maka ia akan membawa kepada runtuhnya syariat Islam, runtuhnya masyarakat Islam dan akhirnya akan menyebabkan runtuhnya negara Islam. Oleh yang demikian, perlu wujudnya undang- undang berkenaan isu murtad supaya tiada unsur- unsur yang boleh menggugat aqidah umat Islam. 

Jika kita perhatikan, golongan yang menyokong kebebasan beragama sekalipun akan cuba mengawal unsur-unsur yang boleh menggugat kedudukannya dalam negara. Sebagai contoh seperti di Perancis walaupun negaranya mengamalkan kebebasan beragama tetapi apabila mereka berasa terancam, mereka telah mengambil tindakan dengan mengenakan undang-undang yang tidak membenarkan wanita Islam memakai purdah. Bahkan setiap negara yang wujud sebenarnya adalah negara ideologi dan akan cuba untuk memelihara ideologi yang dibawanya.

Oleh yang demikian, kita sepatutnya mengetahui cara-cara untuk  memelihara aqidah kita daripada tersasar. Ujar beliau perkara pertama adalah melalui pendidikan, iaitu  berdasarkan hadits Nabi S.A.W. yang menjelaskan bahawa anak yang baru lahir ibarat kain putih, maka ibu bapanyalah yang akan mencorakkannya.  Jelas di sini, Islam mengajar kita supaya menerapkan unsur-unsur aqidah sejak dari lahir lagi, iaitu apabila kelahiran bayi kita disunatkan untuk melaungkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri dan apabila anak kecil sudah boleh berkata-kata kita digalakkan untuk mengajarkannya untuk menyebut kalimah “Lailahaillallah”.

Selain daripada itu, terdapat satu lagi cara yang boleh kita lakukan dalam memelihara aqidah kita sebagai muslim. Namun tegas beliau, cara ini kurang diberi perhatian oleh setiap individu dan kurang disentuh dalam mata pelajaran di sekolah. Cara yang dimaksudkan adalah dengan mengetahui perkara-perkara yang boleh membatalkan iman. Terang beliau lagi, sepertimana kita bersungguh-sungguh untuk mengetahui perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ atau solat, sepatutnya lebih perlu untuk setiap muslim mengetahui perkara-perkara yang membatalkan iman. 

Ini kerana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, "Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada ummatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita." Para sahabat bertanya, "Apakah fitnah terbesar itu ya Rasulullah?" Rasulullah S.A.W. menjawab, "Fitnah itu adalah kamu akan lihat ummatku di hari itu, di waktu itu, pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir semula." Sahabat bertanya lagi, "Mengapa begitu ya Rasulullah?" Baginda S.A.W. menjawab,"Kerana dia menjual agamanya dengan nilai dunia."

Oleh kerana kurangnya ilmu berkenaan perkara-perkara yang boleh membatalkan iman maka ada antara umat Islam yang mungkin tidak sedar yang pada paginya dia Islam tetapi pada petangnya dia telah kufur kerana dia telah melakukan perkara yang membatalkan imannya, ulas beliau lagi. Menurut beliau, perkara yang boleh membatalkan iman boleh terjadi melalui tiga saluran iaitu melalui keyakinan, perkataan dan perbuatan. Penerangan lanjut berkenaan hal tersebut akan diteruskan  dalam kuliah yang akan datang.

Hadits Tsulatsa` ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?