Cara menghadirkan hati di setiap syarat solat
KUALA TERENGGANU, 24 Disember - Dalam membincangkan proses dan langkah-langkah penyucian jiwa sebagai asas membangunkan kembali umat Islam yang gemilang serta menyambung kembali pengulasan kitab Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah An-Nufus, Dr. Razali Musa, YDP ISMA Kuala Terengganu telah mengupas dengan panjang lebar tentang bagaimana untuk menghadirkan hati di setiap syarat solat.
"Menghadirkan hati di dalam setiap syarat solat merupakan elemen yang penting dalam melahirkan ketenangan dan kekhusyukan solat," tegas beliau. Antara syarat-syarat solat yang dihuraikan ialah; syarat pertama iaitu azan. Menurut beliau, apabila mendengar azan, maka hadirkanlah hati sebagaimana susahnya hari Kiamat. "Orang yang cepat menyahut seruan azan, mereka akan dipanggil dengan baik dan lembut di padang Mahsyar nanti," ujar beliau lagi.
Kedua, iaitu membersihkan diri daripada hadas kecil dan besar. Tambah beliau, syarat taharah ini dapat menghadirkan hati dengan cara menyucikan diri melalui wudhuk, pakaian yang menutup aurat dan juga aspek dalaman diri muslim sendiri yakni hati mereka. Ini merupakan manifestasi yang penting di dalam menghuraikan bagaimana untuk menghadirkan hati dalam konsep taharah.
Ketiga, iaitu menutup aurat. Aurat boleh dibahagikan kepada dua iaitu luaran dan batin, namun faktor dalaman dilihat lebih penting dalam menghadirkan hati kerana ia dilihat oleh Allah S.W.T.
Keempat, menghadap kiblat. Menurut beliau, bagaimana hendak menghadirkan hati ketika mengadap kiblat ialah dengan meletakkan wajah hati kamu dengan wajah badan.
Kelima, iaitu berdiri tegak. Tegas beliau, walaupun jasad berdiri tegak, hati kita juga berdiri dan kita juga perlu berfikir akan pemberian Allah S.W.T. semasa berdiri dan juga fikirkan betapa sukarnya situasi begini semasa kita berjalan. Inilah merupakan faktor penolong dalam menghadirkan hati ketikamana kita dalam keadan berdiri tegak.
Seterusnya, perlunya menghadirkan hati di dalam niat solat. Menurut beliau, kita seharusnya menyahut seruan Allah S.W.T. dan menjaga hak Allah S.W.T. dengan membesarkan Allah S.W.T. di dalam jiwa kita. Ujar beliau lagi, walaupun kita banyak melakukan kesalahan kepada Allah S.W.T., kita perlu bertaubat daripada kesalahan pada Allah S.W.T.
Keenam, iaitu takbir. Seorang muslim itu, apabila menyebut dengan lidah sepatutnya tidak mendustakan lisan mereka. Justeru, jika di dalam hati ada sesuatu yang lebih besar daripada Allah S.W.T., maka dia telah mendustakan lisannya. Oleh sebab itu, perlunya menghadirkan hati ketika melaungkan takbir.
Yang terakhir ialah ketika doa iftitah, yang mana dalam kalimah 'wajjahtu' menunjukkan perlunya menghadap wajah ke arah kiblat dari sudut zahirnya dan menghadapkan wajah hati kepada Allah S.W.T. yang telah menciptakan langit dan bumi. "Seharusnya apa yang disebut oleh lidah selari dengan hati kita," tegas beliau lagi.
Justeru, menghadirkan hati dalam setiap syarat solat merupakan sesuatu yang amat penting dalam melahirkan kekhusyukkan di dalam solat itu sendiri.
Hadits Tsulatsa' ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.
Hadits Tsulatsa' ISMA Kuala Terengganu ini diadakan selepas solat Maghrib setiap Isnin malam Selasa di Masjid Lama Kg. Tok Jembal, Kuala Terengganu. Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.
Ulasan
Catat Ulasan