Kehidupan satu perjuangan

Apabila dikaji sejarah kemenangan Islam didapati masa persediaan untuk mencapai kemenangan memakan masa yang lama. Sementara tempoh kemenangan hanyalah beberapa ketika sahaja. Contohnya, umat Islam berusaha keras melebihi 80 tahun menyediakan kekuatan tentera untuk menentang kekuatan tentera Salib di Palestin. Mereka terdiri daripada para ulama dan ketua-ketua tentera. Antaranya seperti Imad Al-Din Zinki, Nur Al-Din Mahmud dan Solah Al-Din Al-Ayubi. Umat Islam memperolehi kemenangan di medan perang Hittin dan membebaskan bandar-bandar yang telah ditawan musuh. Mereka diberi kekuasaan memerintah negara yang terbentang luas. Namun begitu, sungguh menakjubkan tempoh kemenangan itu mampu bertahan selama enam tahun. Selepas kematian Solah Al-Din Al-Ayubi, negara yang luas menjadi negara-negara kecil. Bahkan ada yang menyerahkan Al-Quds kepada tentera Salib tanpa bayaran.

Apabila diperhalus dan ditelusur dengan cermat dapat difahami bahawa tujuan kehidupan ini bukan untuk mencapai kemenangan dan memimpin dunia. Walaupun kedua-duanya salah satu tujuan yang wajib diusahakan bersungguh-sungguh, namun tujuan hakiki ialah beribadat kepada Allah S.W.T. Kita akan beribadat dengan betul pada zaman kesusahan dan kesukaran. Justeru itu, antara rahmat Allah S.W.T. ialah memanjangkan masa ujian dan fitnah. Lebih lama daripada zaman kemenangan dan kekuasaan. Dengan itu kita sentiasa dekat dengan Allah S.W.T. Sebaliknya, ketika berada pada zaman kekuasaan dan kemenangan kita lupa ibadat. Kita berasa ada kemampuan untuk melakukan segala-galanya.

Sudah tentu makna ibadat bukan sahaja solat dan puasa. Hakikat ibadat lebih luas daripada itu semua. Ibadat ialah cara hidup (the way of life). Ibadat yang dimaksudkan ialah keikhlasan niat, perasaan memerlukan Allah S.W.T., cinta untuk beramal, takut kalau tidak beramal, kuat mengharapkan-Nya dan sentiasa takut kepada-Nya. Ia juga bermaksud hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah S.W.T., berkasih sayang dan benci kerana-Nya. Ia adalah keadaan iman yang melihat nilai dunia lebih ringan daripada sehelai sayap nyamuk. Berapa ramai yang mencapai keadaan tersebut semasa zaman kemenangan dan kekuasaan. Bilangannya amat sedikit.

Bukan maksud di sini kita berusaha untuk kelemahan, kemiskinan dan kematian. Tidak sekali-kali. Kita diperintah untuk menyediakan kekuatan, mencari kekayaan dan menjaga kesihatan. Hakikatnya kita perlu memahami tujuan kehidupan iaitu ibadat, kemudian ibadat dan selepas itu ibadat. Oleh itu kita tidak berputus asa ketika lemah. Tiada istilah ‘tiada harapan’ ketika zaman kelemahan. Tidak sedih dan keluh kesah ketika miskin atau sakit. Lihatlah kisah Nabi Nuh A.S. dan juga Nabi Muhamad S.A.W. Berapa lama Nabi S.A.W. hidup selepas kemenangan? Begitu juga kisah khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau berada lebih kurang dua tahun di puncak kekuasaan. Allah S.W.T. mematikan mereka ketika berada di kemuncak ‘ibadat’ mereka.

Dengan merenung dan mengamati noktah-noktah di atas, maka kita akan lebih memahami lagi tentang perjuangan dakwah ini. Kenapa kita sentiasa menghadapi kesukaran dan kepayahan. Bahkan sampai kutukan dan cacian. Kadangkala timbul perasaan lemah untuk meneruskan keyakinan yang mendasari perjuangan suci ini. Sebenarnya Allah S.W.T. mahukan kita lebih ‘dekat’ dengan-Nya ketika menghadapi zaman kesukaran. Dipanjangkan lagi zaman fitnah dan lemah supaya kita sentiasa ber’ibadat’ kepada-Nya. Menggantung harapan yang tinggi kepada-Nya. Orang yang sedang sakit hampir dengan Allah S.W.T. Sementara orang yang sihat walafiat selalu kecundang dengan maksiat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?