ISMA akan menghantar wakil ke PBB bincang isu tuntutan COMANGO


Bangi, 17 Oktober – Ikatan Muslimin Malaysia akan menghantar seorang wakil bagi menyertai delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) ke Geneva, Switzerland pada 24 Oktober ini.

Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau akan mewakili ISMA dalam delegasi tersebut dan akan bertolak pada 22 Oktober nanti.

“Kita akan memberi sokongan kepada Perwakilan Malaysia dalam persidangan ini. Sekiranya terdapat silap faham dalam semakan laporan yang berkaitan tuntutan Comango, kita akan menjelaskan bahawa tuntutan itu tidak mewakili keadaan sebenar Malaysia,” ujar beliau ketika dihubungi.

Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) yang diketuai oleh Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Azril Mohd Amin akan berada di Geneva sejak bermula proses semakan 24 Oktober sehingga ia tamat pada bulan November.

Tambah Tuan Haji Aminuddin, ISMA bersama-sama Muslim UPRo akan bertegas dengan tuntutan Comango dan bersedia mematahkan hujah mereka bagi memastikan kedaulatan Islam terpelihara di negara ini.

Comango (Coalition of Malaysian NGO) merupakan satu gabungan 54 NGO liberal pro barat yang hanya 12 daripadanya berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Mereka telah menyediakan beberapa laporan berkaitan hak asasi manusia di Malaysia dan isi kandung laporan itu tidak betul sepenuhnya.

Antara isi kandung laporan itu ialah mereka mendakwa penganut ajaran Syiah dan golongan LGBT didiskriminasi lalu mendesak agar kerajaan mengiktiraf golongan tersebut.

“Perwakilan Malaysia akan membentangkan laporan di proses UPR ini, termasuk juga SUHAKAM. Malangnya laporan Comango juga akan dibentangkan dan disemak.

“Oleh itu, kita akan berada di sana bagi memastikan semua pihak yang terlibat memahami bahawa pembentangan laporan mereka itu tidak betul dan berat sebelah, malah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Beliau juga memohon seluruh umat Islam berdoa agar keputusan berpihak kepada Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?