ISMA sangkal laporan Free Malaysia Today


BANGI, 18 Oktober – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyangkal laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT) kelmarin apabila mendakwa ISMA menyeru supaya Sabah dan Sarawak dipisahkan dari Malaysia.

Menurut Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, FMT memutarbelit kenyataannya untuk menyatakan sesuatu yang hakikatnya adalah agenda yang mereka perjuangkan.

“Saya sama sekali tidak menyentuh hubungan semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dalam kenyataan sebelum ini.

“Bahkan saya langsung tidak menyeru Sabah dan Sarawak berpisah dengan Semenanjung.

“Jadi saya fikir ini adalah agenda dan strategi mereka. Tujuan mereka hanya mahu menanamkan kebencian antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta mengambil kesempatan daripada suasana keruh ini untuk kepentingan mereka,” jelasnya.

Free Malaysia Today telah menyiarkan laporan bahawa pelawaan ISMA menyeru Sabah dan Sarawak dikeluarkan dari Semenanjung disambut baik oleh rata-rata penduduk Sabah dan Sarawak yang ingin menyatakan hasrat untuk keluar dari Malaysia.

“Saya tidak berkata sedemikian. Sebaliknya saya menyeru kepada kerukunan hidup bernegara berasaskan penerimaan terhadap asas-asas kenegaran seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Antaranya Islam sebagai agama persekutuan, menjamin hak kepentingan Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dan juga Sultan sebagai ketua negara dan negeri yang juga merupakan ketua agama Islam di negeri dan wilayah persekutuan,” ujarnya kepada wartawan.

Sehubungan itu, Ustaz Abdullah hari ini menyeru kepada rakan bumiputera di Sabah dan Sarawak agar sama-sama mempertahankan perpaduan dan kerukunan hidup bernegara yang dinikmati sebelum ini

Beliau juga menyeru agar mereka tidak terpengaruh oleh dakyah pihak tertentu terutama dari kalangan evangelis Kristian yang ingin mengambil kesempatan mengeruhkan hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tambahnya lagi, dalam hal ini adalah penting bagi kita untuk menilai sebarang kegiatan politik atau dakyah agama oleh pihak-pihak tertentu dalam kerangka perlembagaan negara.

“Hal ini kerana amat malang jika rakyat Malaysia membenarkan kegiatan pihak tertentu di luar kerangka tersebut kerana lambat laun akan menghumban negara kepada krisis politik agama dan perkauman yang akan memusnahkan negara.

“Justeru, kita perlu persoalkan adakah golongan itu mendokong kontrak sosial sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara?

“Atau mereka ada agenda lain melangkaui perkara tersebut?” soalnya.

Pautan asal kenyataan Ustaz Abdullah Zaik

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?