Fokus ISMA 2014: Dakwah dan tarbiyah
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – “Fokus ISMA pada tahun 2014 ialah usaha dakwah dan tarbiyah, di mana dua pendekatan akan diberi penekanan iaitu membangunkan kesedaran ummah melalui Kempen Selamatkan Ummah (KSU) dan pembangunan jati diri ummah dengan mengislahkan persekitaran dakwah,” kata Ustaz Annuar Salleh selaku Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA dalam ucapannya semasa Program Kepimpinan ISMA (NADI) Zon Timur yang diadakan di Dewan Batu Bersurat, Muzium Terengganu.
Menurutnya lagi, dalam membangunkan agenda perjuangan, seseorang pendakwah atau gerakan dakwah perlu mengambil kira struktur taburan kaum dalam sesuatu masyarakat dan mengenal pasti golongan sasar, sejarah, permasalahan serta realiti masyarakat tersebut.
Selain itu, antara agenda penting dalam usaha dakwah adalah mengambil kira tabiat perkauman serta memberi penekanan dalam berdakwah kepada golongan majoriti. Inilah sebenarnya asas lahirnya slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” yang menjadi tunjang agenda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
“Urusan dakwah kita, urusan perubahan masyarakat bukan sekadar mahu mengajak manusia beribadat di masjid semata-mata, tapi ia adalah proses untuk membangunkan semula pemerintahan islam dan mengesani masyarakat dengan manhaj kita,” tegas Ustaz Annuar.
Tambah beliau lagi, masyarakat kini menghadapi dua arus iaitu liberal multirasial dan nasionalis Melayu sekular yang mana memberi impak kepada projek Islam serta status quo.
Sebagai contoh, gerakan Freemason yang bersandarkan slogan kebebasan, kesamarataan, keadilan sejagat, persaudaraan insan serta kasih-sayang kemanusiaan yang nampak manis tetapi di sebaliknya bertujuan untuk mencairkan pegangan manusia kepada Allah S.W.T. kepada pegangan kemanusiaan berlandaskan neraca taghut.
“Hari ini berlaku pertembungan perjuangan antara dua tamadun iaitu peperangan survival antara Quran dan Talmud. Musuh-musuh Islam merancang, dan perancangan mereka dilihat begitu teliti dan berjaya. Sebaliknya, umat Islam yang memahami perancangan tidak memberi 100% tenaga dan pemikiran untuk dakwah, tidak serius dan tidak menganggap kerja ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang wajib dipikul,” jelasnya lagi.
Pelbagai isu dan persoalan yang timbul telah dibincangkan dalam program ini termasuk perkara berkaitan dengan isu semasa yang berlaku dalam dunia Islam kini seperti Mesir dan politik dalam negara.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan