Berita sana sini


Jika ada yang perasan sejak kebelakangan ini bila kita ‘log in’ facebook akan keluar berita:

"Baru tadi sepupu saya meninggal dunia."
"Dapat berita housemate yang paling baik pernah aku jumpa meninggal kemalangan."
"Tinggal beberapa hari lagi result SPM 2013 akan keluar. Dia telah dijemput Ilahi."
"Al-Fatihah buat adik aku."

Inna lillahi wa inna ilahi rojiu’n

Boleh dikatakan setiap minggu atau mungkin saban hari berita kematian. Mungkin kita sahaja yang tidak tahu kerana pengetahuan dan ilmu kita yang terhad. Walaupun sekarang merupakan era globalisasi dengan penggunaan Internet tanpa had tetapi masih tidak semua berita akan kita peroleh jika tanpa keizinan dan kehendak dari Pencipta Alam.

Di kala kita sibuk mengendalikan atau menghadiri program. Di kala kita sedang menghadapi peperiksaan. Di kala kita sedang menjalani ujian memandu atau kelas memandu. Berita ini akan tersebar tanpa mengira keadaan mahupun waktu. Boleh jadi juga perkara ini terjadi pada ahli keluarga, kawan, jiran, sultan, mahupun perdana menteri. Ia akan berlaku pada sesiapa walaupun kita kenal orang tersebut seorang yang sehat wal afiat dan cergas. Perkara ini tidak boleh dilewatkan mahupun dipercepatkan.

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan. Maka apabila datang tempohnya tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan." (Surah al-A’raf: 34)

Bila sebut soal kematian segelintir manusia menunjukkan muka gerun.sedih.belum bersedia. Seolah-olah mereka ‘ada kuasa’ untuk menentukan ajal mereka dan ‘mampu’ menahannya. Inilah yang dibimbangkan apabila dalam hati manusia yang diselaputi dengan rasa ‘WAHAN’ iaitu cintakan dunia takutkan mati. Cintakan harta takutkan mati. Cintakan pangkat takutkan mati. Cintakan orang tersayang takutkan mati. Apa yang lebih menyedihkan lagi soal jodoh,cinta, pasangan lebih dikuatiri dari soal ajal maut.

"Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan. Dan semi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu berfikir?" (Surah Al-An’am: 32)

Segelintir manusia sibuk mencari rezeki, mengumpul duit untuk kesenangan keluarga dan diri sendiri. Itu semua tidak salah. Malah islam menggalakkan penganutnya berusaha mencari rezeki. Tetapi yang menjadi persoalannya. Kita mencari rezeki seumpama harta tersebut boleh dibawa masuk kubur sekali. Dengan solat yang ditinggalkan. Dengan Al-Quran jarang sekali malah kadang-kadang dibaca. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila mereka mendakwa yang mereka sering melakukan amal jariah,sedekah serta bina masjid, justeru mereka tidak perlu menunaikan solat.

Lupakah kita bahawa pemimpin umat akhir zaman, Rasulullah S.A.W. juga merupakan the superb business man. Dermawan. Maksum. Malah baginda tidak pernah sekelumit untuk rasa sombong dengan tidak menunaikan solat. Malah ditambahkan lagi dengan menunaikan solat-solat sunat hingga bengkak tumit dan kaki baginda. Walaupun Allah telah menjanjikan baginda syurga dan dibenarkan untuk memberi syafaat kepada sesiapa yang layak pada hari kiamat, baginda tidak penah lupa untuk bersyukur. Bersyukur bukan sekadar meniti dibibir dengan ucapan, "Syukur, Alhamdulillah..."

Syukur juga perlu dizahirkan serta dilaksana dengan perbuatan sepertimana yang telah Rasulullah S.A.W. tunjukkan.

"Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)

Berbalik pada topik asal. Mengingati kematian merupakan guru yang terbaik. Agak melucukan apabila terdapat masyarakat suka-suki melabelkan seseorang apabila melihat bagaimana cara seseorang meninggal dunia.

"Ish, ish, ish… mati kena sambar petir? Mesti anak derhaka ni..."
"Huh? Mati dalam konsert hiburan? Tu lah padahnya buat maksiat..."
"Hah... Mati lemas? Hmm kes tak beritahu mak nak mandi di sungai la ni..."

Siapalah kita untuk mengatakan kematian orang itu begitu dan begini. Boleh jadi dia mati kena petir kerana dalam perjalanan ingin ke masjid untuk solat. Mungkin juga dia ke konsert hiburan untuk mencari adiknya di situ untuk di bawa pulang ke rumah. Boleh jadi dia mati kelemasan sebab nak tolong orang yang hampir nak lemas. Husnu zhon, syeikh. Bersangka baik la, cik kak. Bagaimana cara seseorang meninggal itu adalah ketentuan dan takdir yang telah ditetapkan Allah. Layakkah kita untuk mempersoal kerja Allah? Bahkan kita sendiri tidak tahu bagaimana cara kita akan mati. Adakah husnul khotimah (berakhir dengan baik) ataupun suul khotimah (berakhir dengan buruk). Adakah kita sempat melafazkan kalimah LA ILAAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH sebelum malaikat Izrail mencabut nyawa?


Aimi Nabilah Sukor
JK PEMBINA UniSZA

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?