Rebutlah kebaikan di bulan Ramadhan


KUALA TERENGGANU, 1 Julai – “Bulan Ramadhan adalah peluang yang diberikan Allah S.W.T kepada hamba-Nya untuk membuat sebanyak-banyaknya amal kebaikan, sebaliknya menutup segala pintu kejahatan.

“Namun, ia memerlukan kesungguhan dan terbuka kepada sesiapa yang ingin mendapatkannya,” ujar Ustaz Kamarudin bin Awang Mat, Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuala Terengganu.

Beliau menyampaikan tazkirah puasa bertajuk ‘Ramadhan daripada dua sudut’ dalam program perjumpaan ramah mesra ISMA bersama ahli-ahli baru itu membawa para hadirin kepada penghayatan Ramadhan yang bakal dilalui.

Ramadhan daripada dua sudut yang dimaksudkan ialah daripada sudut kelebihan bulan Ramadhan dan persediaan serta keazaman yang perlu dilakukan untuk menghadapinya agar sebulan yang dilalui itu menatijahkan ketaqwaan.

“Bulan Ramadhan sangat mulia sehingga diturunkan al-Quran yang menjadi pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita.

“Justeru, rasailah kelebihan tersebut daripada sudut intipatinya dan kewajipan untuk berinteraksi dengan al-Quran serta tuntutan untuk mengaitkannya dengan bulan Ramadhan,” jelas Ustaz Kamarudin.

“Terdapat dua jenis manusia pada bulan Ramadhan iaitu berpuasa hanya dengan memenuhi syarat puasa seperti tidak makan, tidak minum serta berniat.

“Manakala yang kedua ialah mereka yang bukan hanya berusaha memenuhi syarat puasa, bahkan menggunakan sepenuhnya waktu siang dan malamnya dengan aktiviti-aktiviti untuk menambahnilai kualiti puasanya”, lanjut beliau.

Justeru, keazaman yang kuat beserta persediaan yang sempurna perlu dilakukan terutamanya dari aspek kualiti solat. Sebagai contoh, berazam untuk menunaikan solat berjemaah, solat dalam waktunya serta solat pada awal waktu.

Program yang berlangsung di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman itu bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dan saling berkenalan serta beramah mesra sesama ahli baru dan lama. Diharap program sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap demi mewujudkan kasih-sayang dan mengeratkan persaudaraan yang lebih jitu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?