Aurat: Wanita ISMA sanggah SIS
Wanita ISMA menyokong tindakan Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang bertegas dalam penguatkuasaan tatacara berpakaian di kalangan peniaga.
Wanita ISMA difahamkan peraturan dan syarat sudah dijelaskan kepada para peniaga melalui kursus “perniagaan mengikut perspektif Islam” seawal penghujung tahun 2013, yang telah diadakan secara berperingkat bagi memaklumkan kepada mereka mengenai Undang-Undang Kecil MPKB sebelum peniaga-peniaga ini mendapatkan lesen perniagaan daripada MPKB-BRI.
Wanita ISMA memuji langkah pendidikan yang telah diadakan terlebih dahulu, dengan itu tidak timbul soal kekerasan.
Penguatkuasaan ke atas premis perniagaan juga dapat mencegah eksploitasi pekerja wanita yang sering diarahkan majikan yang tidak bertanggungjawab untuk memakai pakaian menjolok mata demi menarik pelanggan. Majikan-majikan sebegini yang seharusnya turut menjadi sasaran penguatkuasaan.
Sehubungan dengan tindakan Sisters In Islam (SIS) yang dilaporkan media menentang keras usaha ini dengan alasan tuntutan menutup aurat tiada dalam Al-Quran, ini menimbulkan tanda tanya kepada kita, adakah SIS tidak mempercayai hadis dan tafsiran ulama?
HUJAH LITERAL YANG SILAP
Antara hujah yang biasa digunapakai oleh golongan yang mempertikaikan pensyariatan hijab adalah Surah An-Nur ayat 30-31 yang dikatakan hanya memerintahkan lelaki dan wanita bersopan, tetapi tidak tidak secara spesifik menentukan aurat.
Hujah lain adalah perkataan “khumur” yang terkandung dalam sebahagian Surah An-Nur ayat 31:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala (khumur) mereka.”
Mentafsir secara literal, adalah jelas SIS cenderung untuk mengenepikan hadis, seerah dan tafsiran ulama muktabar dalam menentukan kewajiban berhijab.
HURAIAN HADITH BAGI SURAH AN-NUR
Ayat di atas telah dihuraikan secara jelas melalui beberapa hadis dan ulasan ulama muktabar:
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah r.a. menceritakan:
“Semoga Allah mengurniakan rahmat kasih sayang kepada wanita-wanita Muhajirin yang awal. Tatkala turun ayat وَلْيَضْرِبْ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِن yang bermaksud: “Hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada-dada mereka”, mereka memotong kain-kain bulu mereka, lalu mereka bertudung dengannya.” (Tafsir Ibnu Kathir)
Daripada Aisyah r.a. ia berkata bahawasanya Asma binti Abu Bakar masuk ke tempat Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang tipis, maka Rasulullah SAW berpaling daripadanya seraya bersabda, “Hai Asma! Sesungguhnya perempuan itu apabila ia telah dewasa (sampai umur), maka tidak patut menampakkan sesuatu dari dirinya, melainkan ini dan ini. Sambil Rasulullah menunjukkan muka dan kedua telapak tangan hingga pergelangannya sendiri. (HR. Imam Abu Dawud).
KESEPAKATAN ULAMA
Para ulama tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini. Mereka hanya berselisih mengenai wajah dan tapak tangan. Sebahagian mengatakan wajib menutup wajah dan sebahagian lagi mengatakan wajah harus dibuka.
Tidak ada perbezaan di antara ulama mengenai wajibnya menutup aurat di bahagian lain wanita seperti rambut dan dada.
Syeikh Yusuf Qardhawi menegaskan di kalangan ulama telah ada kesepakatan tentang aurat wanita yang boleh dinampakkan iaitu muka dan tapak tangan. Beliau mengatakan bahawa seluruh tubuh wanita adalah wajib ditutupi kecuali muka dan tapak tangan.
Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ Sharah al Muhadhab menyebut mazhab ulama mengenai aurat adalah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan. Demikian yang masyhur dari mazhab As – Syafi’i, Maliki, al-Awza dan Abu Thawr.
DARI ASPEK SEJARAH MEMAHAMI PENURUNAN NAS
Dari aspek sejarah pula, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur sesuai dengan amalan umat Islam yang awal sewaktu itu. Perkataan khumur sering dibahaskan kerana golongan literal ini kerana mereka tidak mahu menerima suatu kaedah yang sangat saintifik daripada para mufassirin dan muhadditheen dalam membahaskan tafsir di dalam ayat Al-Quran iaitu menghuraikan sejarah dan istilah bahasa.
Khumur adalah kata ganda atau plural atau jamak bagi khimar iaitu kain yang menutupi kepala, dan juyub adalah kata plural dari kata jayb yaitu butang pembuka di hujung atas baju yang ada di sekitar leher dan di atas dada. Dengan kata lain khimar adalah kain yang menutupi kepala tanpa menutupi wajah, yang diperintahkan agar dilabuhkan sehingga menutupi hujung atas baju (butang kancing) di bahagian dada. Ini diterangkan antaranya oleh:
Imam Al-Qurtubi, seorang mufassireen yang muktabar mengatakan bahawa wanita di zaman Jahiliyah, biasa menutup rambut mereka dengan kain khimar yang diselempangkan ke belakang. Ini membiarkan leher dan bahagian atas dada terdedah, termasuk telinga, serupa seperti pemakaian wanita Kristian. Allah kemudian memerintahkan mereka turut menutup bahagian terdedah itu dengan melabuhkan khimar.
Ayat-ayat di atas adalah secara ringkas dalil-dalil pensyariatan Hijab, bahkan terdapat banyak lagi huraian yang lebih jelas dan terperinci.
Wanita ISMA komited dalam memberi pendidikan kewajipan menutup aurat kepada remaja dan wanita. Sepanjang tahun 2014 misalnya Wanita ISMA menganjurkan Kempen Tutup Aurat di seluruh negara sebagai usaha berterusan dakwah kepada masyarakat.
WANITA ISMA
www.wanitaisma.net
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan