Bukan bumiputera digesa belajar sejarah
BANGI, 21 Oktober – Rakyat di negara ini terutamanya kaum bukan bumiputera digesa mempelajari dan menghayati sejarah negara bagi membantu menjaga keharmonian antara kaum, demikian ujar Naib Presiden 1 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Jika tidak katanya, ia akan terjadi seperti ahli Gerakan Batu Pahat Tan Lai Soon yang mengeluarkan kenyataan tanpa fakta bahawa Melayu adalah pendatang di negara ini.
“Kesilapan Tan itu adalah kerana beliau jahil sejarah. Tan gagal memahami bahawa rantau ini adalah rantau Melayu. Keluasannya merangkumi banyak negara hari ini termasuklah Vietnam, Kemboja, Filipina dan lain-lain.
“Yang menyatukan penduduk rantau ini di bawah rumpun Melayu adalah bahasa, agama dan budaya yang sama,” jelasnya.
Tan dalam perhimpunan parti Gerakan pada Ahad lalu mengatakan Melayu, Cina, India semuanya adalah pendatang, kecuali Orang Asli, orang Sabah dan orang Sarawak yang menjadi bumiputera asal.
Tegas Ustaz Fauzi, dalam perkara ini, Tan gagal membezakan antara pendatang dan perantau.
Orang Melayu yang berpindah di sekitar rantau Melayu adalah perantau dan bukannya pendatang.
Ulasan
Catat Ulasan