Fungsi dan toleransi suami isteri dalam rumah tangga


Allah menjadikan lelaki dan wanita untuk saling melengkapi. Wujudnya daya tarikan antara kedua jantina ini merupakan satu Rahmah Ilahi apabila ianya terpandu dengan baik dalam sebuah ikatan perkahwinan. Berasa senang dengan kewujudan isteri atau suami dan dorongan rasa romantik merupakan salah satu landasan dalam kehidupan rumah tangga.
Walaubagaimanapun, kehidupan rumah tangga bukanlah sekadar bermain dengan perasaan (senang dan romantik) tetapi di sana juga wujud tanggungjawab dan beban kehidupan yang harus diuruskan dengan baik. Malah apabila rumah tangga tersebut dibina atas dasar dakwah yang mulia, dakwah juga menjadi satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh rumah tangga tersebut.
Hakikat ini terangkum dalam kata-kata penuh makna Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, dalam Hadith Tsulasa’, halaman 629:  “Kehidupan rumah tangga adalah hayatul amal. Ia diwarnai oleh beban-beban dan kewajipan. Landasan kehidupan rumah tangga bukan semata-mata kesenangan dan romantik, melainkan tolong-menolong dalam memikul beban kehidupan dan beban dakwah.”
Beban dan kewajipan dalam sesebuah rumah tangga dakwah merupakan tanggungjawab bersama. Beban dan kewajipan adalah sesuatu yang pasti dan tidak mampu dihapus atau dielak, tetapi ianya boleh diurus. Kejayaan sesebuah rumah tangga dalam pengurusan mampu membuatkan ahlinya fokus dan berupaya melonjakkan potensinya dalam berdakwah. Sebuah rumah tangga dakwah yang berjaya bukan sahaja dapat menjadi contoh kepada masyarakat tetapi berupaya untuk menggerakkan kehidupan masyarakat di sekitarnya ke arah kehidupan berlandaskan syariat Allah.
Antara konsep yang harus difahami dalam sesebuah pengurusan rumah tangga ialah kejelasan dan toleransi fungsi. Suami dan isteri perlu memahami dengan jelas fungsi masing-masing. Fungsi seorang isteri terhadap rumah tangganya adalah menguruskan hal-ehwal dalaman rumah tangga. Manakala seorang suami berfungsi mengemudi hala tuju rumah tangga tersebut dengan memastikan keselamatan dan keperluan kehidupan ahli rumah tangganya dipenuhi dengan sepenuhnya. Walaubagaimanapun acuan perjalanan hidup yang berbeza dengan hambatan keperluan yang berbeza membuka ruang toleransi pada fungsi asal suami dan isteri.
Toleransi merujuk kepada tolong-menolong dalam melaksanakan fungsi yang bukan milik kita. Sebagai contoh, tugas menjaga anak-anak merupakan tugas isteri, tetapi suami juga boleh bertoleransi untuk menjalankan tugas isterinya ketika isteri memerlukan sedikit ruang melepaskan lelah atau melangsaikan tugasannya yang lain. Atas dasar toleransi juga suami mengizinkan isteri untuk menyerahkan sebahagian tugas menjaga anak-anak kepada pusat penjagaan kanak-kanak. Hakikatnya ruang toleransi inilah yang banyak membuka pintu-pintu hormat dan kasih-sayang di antara suami isteri dalam sesebuah keluarga.
Untuk merealisasikan toleransi, komunikasi yang baik diperlukan antara suami dan isteri. Sebagai contoh sekiranya suami memerlukan isteri untuk bekerja bagi menampung keperluan kehidupan keluarga, suami perlu menjelaskan keperluan tersebut kepada isteri dengan jelas dan baik. Ianya tidak boleh berlaku secara tidak sengaja atau secara berandaian bahawa masing-masing faham mengenainya.
Walau seluas mana pun ruang toleransi ini dibuka, fungsi asal suami dan isteri tetap tidak boleh berubah atau dipindah milik. Isteri tidak boleh menjadi ketua keluarga manakala suami bertukar menjadi pengurus rumah tangga. Justeru isteri tidak boleh selama-lamanya bekerja untuk mendominasi dalam urusan mencukupkan keperluan kehidupan sedangkan suami berada dalam keadaan sempurna untuk terus berusaha menampung keperluan kehidupan keluarga. Hal ini kerana, perubahan fungsi sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada perkembangan sesebuah rumah tangga. Apabila fungsi berubah, dikhuatiri isteri hilang hormat pada suami manakala suami dan anak-anak pula tercari-cari sentuhan kasih sayang seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
Konsep kejelasan fungsi dan toleransi ini wujud sebagai garis panduan dalam pelaksanaan realiti kehidupan berumahtangga. Aplikasinya bersifat subjektif, bergantung kepada karakter suami isteri dan perjalanan kehidupan mereka.  Justeru, para suami isteri seharusnya tidak berputus asa dalam mencari cara terbaik dalam mengurus rumah tangga. Berdoalah pada Allah supaya sentiasa dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah sepanjang mengurus ehwal rumah tangga. Semoga berjaya!

Siti Balqis Syed Mohamad Noor
Aktivis ISMA Kuantan

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?