Hijrah: Berubah memahami Islam yang syumul
Peristiwa hijrah Nabi Muhammad S.A.W. merupakan permulaan perkiraan tahun hijrah. Sepertimana yang kita ketahui, hijrah mempunyai dua definisi. Pertama, ia membawa maksud perpindahan dari satu tempat ke suatu tempat yang lain. Kedua, ia bermaksud perubahan diri daripada keadaan atau sikap kurang baik kepada yang lebih baik. Justeru, masyarakat kebiasaannya akan membuat senarai semak di hujung tahun untuk mengenalpasti kesilapan dan berazam untuk membuka lembaran kehidupan baru menjelang tahun baru.
Sebagaimana hijrah Rasulullah S.A.W. ke Madinah untuk mengembang dan mengukuhkan dakwah Islam, iaitu setelah tertutup pintu dakwah di Makkah berikutan sekatan dan halangan oleh kaum kuffar, di samping berlakunya kewafatan Abu Talib dan Siti Khadijah R.A., begitu jugalah yang patut kita contohi. Berubah menjadi lebih baik. Kalau tidak mampu dalam semua aspek, mulakan dengan aspek yang paling penting dan prioriti dalam kehidupan seorang muslim, iaitu aspek kefahaman tentang Islam.
Alangkah baiknya jika kita semua memuhasabah diri sejauh mana kefahaman kita terhadap agama Islam. Rata-rata masyarakat Islam di Malaysia dilahirkan dalam keluarga muslim dan dibesarkan dalam suasana Islam. Hal ini menyebabkan kebanyakan muslim secara tidak sengaja memandang enteng isu kefahaman Islam secara menyeluruh.
Kebanyakan orang hanya memahami Islam cukup sekadar sembahyang, puasa, menunaikan haji dan memakai tudung. Seolah-olah Islam hanya berkaitan dengan isu ibadah semata-mata. Walhal masih banyak aspek lain yang sepatutnya turut menjadi isu keutamaan seperti akhlak muslim, kebudayaan, perniagaan, politik, kehakiman, akidah dan banyak lagi. Apabila kita meneliti Al-Quran dan sirah nabawi, kita akan dapati bahawa banyak ayat yang diturunkan adalah berkisar tentang ibadah, akidah, jihad, berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah seperti berjual beli, undang-undang, ikhtilat dan pelbagai lagi bidang kehidupan. Bahkan Allah mewasiatkan agar melaksanakan kesemua perkara tadi dengan sebaik-baiknya. Inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.” (Al-Qasas: 77)
Tetapi jika hanya Islam di sudut ibadat semata-mata dan meniru orang bukan Islam dalam sudut-sudut lain, maka mereka bukanlah umat Islam yang sebenar. Mereka samalah dengan umat yang disebut di dalam firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab siksa yang amat pedih.” (Al-Baqarah: 85)
Kesan daripada ketidakfahaman terhadap Islam secara menyeluruh menjadikan umat Islam tidak dapat hidup bersatu padu, melemahkan kekuatan umat Islam, bahkan membuka ruang yang sebesar-besarnya untuk musuh Islam menjalankan agenda jahat mereka. Bahkan pada hari ini, sangat jelas kecelaruan ideologi yang melanda umat Islam. Pluralisme, liberalism, sekularisme, humanism, feminisme, muslim moderate, hedonisme dan banyak lagi yang merupakan agenda jahat kuffar untuk meruntuhkan prinsip dan akidah umat Islam.
Semua muslim yang mengucapkan syahadah perlu sedar, bahawa orang kafir bukan hanya menjajah masyarakat Muslim dengan perluasan kuasa semata-mata. Bahkan yang paling menakutkan ialah apabila mereka berjaya menjajah pemikiran dan prinsip umat Islam! Maka pada ketika itu, hilanglah keizzahan seorang muslim.
Justeru, marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Berpegang teguhlah pada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. supaya kita tidak terselewang.
Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, terdapat sekumpulan manusia yang menyeleweng samada kerana jahil atau mengikut hawa nafsu, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka mengikut Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Ini adalah kerana mereka mentakwil nas-nas Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah secara memberat-beratkan atau membabi buta sehingga menjadi sesuai dengan kehendak hawa nafsu mereka. Mereka menjadikan Al-Quran sebagai pengikut, sedangkan merekalah yang sepatutnya mengikut Al-Quran.
Amirul mukminin ‘Umar bin Al-Khattab R.A. telah menyedari perkara ini lalu beliau menulis surat kepada qari-qari Al-Quran di setiap negeri:
“Ikutlah Al-Quran, bukannya Al-Quran yang mengikut kamu. Sesungguhnya sesiapa yang diikut oleh Al-Quran, Al-Quran akan menolak belakangnya sehingga jatuh ke dalam neraka, dan sesiapa yang mengikut Al-Quran, Al-Quran akan memimpinnya masuk ke dalam syurga Firdaus.”
Oleh itu, sempena kedatangan tahun baru hijrah, berusahalah untuk memahami dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar. Ketahuilah dengan membersih dan menyucikan hati, maka akan terpancarkan sinar kebenaran dalam tindak tanduk seharian kita.
Hati yang bersih akan memimpin manusia ke jalan yang lurus dan menegahnya daripada terbelenggu dengan hawa nafsu untuk berbuat kezaliman, kecuaian dan permusuhan.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Ingatlah bahawa pada jasad itu terdapat seketul daging, apabila daging itu baik maka baiklah jasad seluruhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah jasad seluruhnya, ingatlah bahawa itu adalah hati.”
Dr. Syarifah Aisyah Syed Abd Halim
Aktivis ISMA Gombak
(Dr. Aisyah merupakan ibu kepada dua orang anak, graduan Fakulti Perubatan Universiti Ain Shams Kaherah Mesir. Kini sedang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Felda Mempaga, Bentong. Beliau juga seorang aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan amat meminati bidang pendidikan kanak-kanak.)
Ulasan
Catat Ulasan