ismakualaterengganu

Hijrah petunjuk kemuliaan dan kemenangan

Firman Allah Taala bermaksud: “Mereka-mereka yang berhijrah di jalan Allah setelah mereka dizalimi, nescaya Allah sediakan mereka, kebaha...


Firman Allah Taala bermaksud: “Mereka-mereka yang berhijrah di jalan Allah setelah mereka dizalimi, nescaya Allah sediakan mereka, kebahagiaan di dunia dan ganjaran akhirat yang lebih besar, sekiranya mereka mengetahui.” Surah An-Nahl ayat 41.

Hijrah ialah meninggalkan segala bentuk jahiliyah dari sudut kefahaman, tingkah laku, muamalat dan seluruh cara hidup kepada mengabdikan diri dan kepatuhan mutlak hanya Allah Taala yang Esa.

Bagaimana untuk berhijrah?

Gambaran Saidina Abu Bakar ketika berhijrah hanya berbekal 6 ribu daripada 100 ribu dirham yang beliau telah infaqkan untuk perjuangan Islam, begitu juga tokoh muda Musab bin Umair telah meninggalkan segala pangkat dan kehidupan yang mewah semata-mata untuk menjadi pengikut setia nabi Muhammad SAW bagi menegakkan Al-Hak di atas muka bumi Allah.

Kita dapat saksikan peristiwa perit dan kesengsaraan yang berlaku pada generasi awal “Ta’sis” yang telah ditarbiyah oleh Rasullulah SAW, bagaimana mereka mampu untuk terus membawa panji Islam di setiap pelusuk dunia.

Ketika hendak dikafankan Mus’ab bin Umair, diriwayatkan “Apabila ditarik kainnya di atas maka akan ternampak bahagian tubuh bawahnya, apabila ditarik ke bawah maka akan ternampak bahagian badannya di atas.

Demikianlah pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh para sahabat ketika peristiwa Hijrah sehingga dikenali dengan golongan Muhajirin dan pengorbanan sahabat di Madinah digelar dengan Al-Ansar. Tiada matlamat yang lain hanyalah semata-mata untuk menegakkan Al-Hak di atas muka bumi ini.

Apakah rahsia besar golongan Muhajirin?

Jawapannya ialah kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap perubahan itu mestilah dimulai dengan hati yang bersih daripada sebarang kesyirikan terhadap Allah, Barulah ianya akan melonjak berubah menjadi bentuk amalan serta untuk mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

Mengapa perlu berubah?

Adakah mereka generasi awal berhijrah kerana menuntut kekayaan kerana sebelum ini mereka adalah golongan tertindas? Atau mencari kerehatan setelah diseksa di Makkah? Atau mencari pangkat dan kuasa? Adakah perjalanan dari Mekah ke Madinah itu satu perjalanan yang begitu mudah untuk ditempuhi?

Kesemua ini menjadi penanda aras kepada generasi hari ini untuk berubah dan ianya menuntut kepada pengorbanan yang amat besar. Khususnya generasi muda Islam hari ini yang telah hanyut dengan nikmat-nikmat dan keseronokan dunia yang bersifat hanya sementara, sekiranya mereka menyedari dan menginsafinya.

Pengorbanan yang tiada tolok bandingnya daripada seorang wanita yang telah sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anaknya, sanggup mempertaruhkan nyawa beliau dan anak yang dikandungnya semata-mata untuk melihat perjuangan Islam dapat diteruskan di bumi yang baru iaitu Madinah Al- Munawwarah. Asma bt Abu Bakar mempunyai satu prinsip yang jelas iaitu pengorbanan amat diperlukan dari setiap umat Islam tidak kira keadaan apa pun mereka sedang alami dan individu muslim ini mesti membantu penghijrahan ke Madinah agar Rasulullah dan ayahandanya berjaya sampai di bumi yang subur dengan sebahagian penduduknya yang telah rela dan berbaiah dan berjanji untuk memelihara Islam dan menerima tarbiyah dari Rasullullah SAW.

Apakah keadaan kita sama seperti Asma’ bt Abu Bakar yang sarat mengandung, atau Bilal bin Rabah yang diheret di tengah padang pasir yang terik atau Amir bin Fuhairah dan ramai lagi generasi kaedah pembentukan sulbah?

Di padang Mahysar, Allah pasti akan mempersoalkan dan membalas setiap individu atas amalannya dengan seadil-adilnya. Seorang pemimpin akan ditanya tentang kuasa, dan amanah-amanah yang telah diberi kepercayaan penuh oleh orang ramai terhadapnya. Begitu juga bagi para suami, bagaimana beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab, tatkala beliau mula menerima lafaz ijab qabul pada awal pernikahannya.

Para isteri juga akan dihitung dan tidak ada seorang pun dari kita yang akan terkecuali. Kerana sifat Allah Yang Maha Adil itu akan mengatasi segala perundangan dan mahkamah yang dikatakan adil yang telah dicipta oleh manusia semasa kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

Bagaimana untuk berubah?

Jangan tunggu dapat hidayah baru nak berubah. Malaikat Izrail tidak pernah menangguh walaupun sesaat untuk mencabut nyawa kita.

Bermula daripada tolakan dalaman yang begitu kuat, tentunya hati akan senantiasa berusaha mencari Al-Hak “Dengan penuh yakin anda akan berubah”.

Tanpa toleh kebelakang, tanpa menghiraukan persekitaran yang sentiasa dihiasi dengan kenikmatan oleh syaitan dan hawa nafsu, menjadikan hidup penuh  “relaks”, budaya hedonisme, hidup tanpa sekatan, peduli apa pandangan ulama’. Maka jadilah dagang, sesungguhnya Islam itu datang dalam bentuk asing( dagang ) Maka beruntunglah kita menjadi asing (dagang). Orang sekeliling akan selalu perlekehkan anda. Kalau kita yakin kita telah berada di jalan Allah, jangan sekali-kali anda lupa untuk selalu berdoa dan bermunajat kepada Allah. Nabi Muhammad SAW sentiasa beristighfar bukan sebab dosa baginda tetapi takutnya baginda akan kekurangannya bersyukur dengan nikmat pemberian Allah yang terlalu banyak sehingga tidak terhitung. “Apakah kita yakin kita tiada dosa?”

Kalau anda seorang Muslim, paksi rukun Iman kepercayaan dan keyakinan terhadap hari pembalasan, pasti akan bergetar jiwa untuk kita sama-sama bersegera untuk membuat perubahan dan pengislahan pada individu muslim, masyarakat dan seterusnya negara, agar kita semua mendapat keampunan dan rahmat Ilahi.

Justeru mengingati peristiwa hijrah Rasulullah bersama Saidina Abu Bakar dan sahabat yang lain merupakan lonjakan kepada individu-individu muslim dan khususnya kepada golongan pendakwah, sesungguhnya penghijrahan dan perubahan yang akan kita sama-sama laksanakan ini akan meruntuhkan segala bentuk kebatilan yang telah sedia ada di sekeliling umat Islam yang telah diasak oleh gerakan musuh Islam dan telah menjadi budaya hidup.

Kebathilan ini akan diruntuhkan oleh kita dan kita juga akan sama-sama membangunkan al-Hak atas bumi milik Allah ini, tanpa ada ganjaran yang diharapkan selain yang lebih kekal abadi iaitu syurga Allah Taala.


Ustazah Norakilah Baharin
Ketua Wanita ISMA Seri Iskandar

Sumber

Related

ARTIKEL 2193878590365501107
item