JAKIM digesa lakukan penyiasatan menyeluruh terhadap semua yang terlibat dalam ‘I Want To Touch A Dog’
BANGI, 23 Oktober – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa untuk melakukan penyiasatan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat dengan program “I Want To Touch A Dog”.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Jakim perlu membuat siasatan secara menyeluruh dan terpeinci.
“Siasat siapa Syed Azmi Alhabshi dan apa latar belakangnya. Siasat siapa yang menaja dan membiyai program itu. Siapa yang membekalkan anjing pada program tersebut dan apa hubungan Syed Azmi dengan pembekal anjing itu.
“Siasat juga media-media yang mempromosikan program ini sehingga telah menarik ramai orang untuk hadir,” tegas beliau kepada ISMAweb.
Untuk rekod, acara ‘I Want To Touch a Dog’ (Saya ingin sentuh anjing) itu telah diadakan di Central Park, Bandar Utama Ahad lalu kononnya bertujuan membantu orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing
Jelas Ustaz Abdullah, dalam kes ini, ia bukan soal isu feqah kerana semua orang sudah maklum tentang hukum menyentuh anjing dengan sengaja.
“Ia juga bukan soal penganiyaan terhadap anjing atau masalah orang Islam tidak boleh memegang anjing.
“Tetapi ini soal meniru dan mempromosi budaya asing. Perlakuan memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja seperti yang berlaku pada hari tersebut sebenarnya adalah tindakan meniru budaya barat,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan