Kedudukan bukan Islam dan bukan Melayu dalam konteks perjuangan ISMA
Pertamanya, saya mahu sebut bahawa risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah risalah untuk semua umat, kaum dan bangsa. Berbeza dengan risalah nabi-nabi dan rasul terdahulu yang mana hanya diutuskan untuk kaum mereka sahaja. Ini merupakan pelajaran yang sangat asas dalam aqidah Islam yang sepatutnya tidak ada siapa yang boleh keliru dengan isu adakah Islam untuk satu bangsa sahaja. Itu soal yang sangat asas dan ‘simple’ dalam aqidah Islam.
Cuma apabila Islam diutuskan kepada semua manusia, bangsa dan kaum, maka setiap kaum mempunyai peranan masing-masing dalam menyebarkan Islam. Arab di waktu mana datangnya Rasulullah S.A.W., bangsa Arab adalah bangsa pertama yang menerima Islam. Mereka telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan Islam.
Begitu juga Turki apabila mereka menerima Islam, mereka telah menjadi bangsa yang hebat yang telah mengembangkan Islam sehingga digeruni di Eropah dan sebagainya. Begitu juga dengan bangsa Melayu apabila Islam datang ke Tanah Melayu pada abad ke-7, bangsa Melayu telah menerima Islam dan telah terbentuk kerajaan Islam, pemerintahan Islam dan juga telah memainkan peranan yang penting dalam penyebaran Islam di benua Sunda, di Asia Tenggara dan alam Melayu memainkan peranan penting menyumbang kepada ekonomi Islam, perdagangan antarabangsa.
Bahkan sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantara dan penting dalam penyebaran agama Islam sampai ke Kemboja, Champa, Filipina dan sebagainya. Jadi setiap kaum yang memeluk Islam telah memainkan peranan masing-masing.
Kenapa kita menyeru kepada Melayu supaya bangkit semula dan bangkit memberi penekanan? Ini kerana peranan Melayu pada suatu masa dulu telah pudar. Melayu hari ini tidak lagi dapat memainkan peranan sebgaimana yang telah dimainkan datuk nenek mereka dalam mempertahan dan membangunkan Islam di rantau ini. Oleh kerana banyak faktor, salah satunya adalah perpecahan. Sebab itu kita menyeru kepada perpaduan kerana mahu orang Melayu bersatu.
Kenapa mahu Melayu bersatu? Kerana kesatuan dapat mengembalikan kekuatan pada diri mereka dan memainkan peranan yang pernah dimainkan suatu masa dulu.
ISMA melancarkan slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’, maknanya kita menyeru orang Melayu supaya bersatu dan bersepakat. Dengan itu, baru mereka dapat mendaulatkan Islam. Dengan permaufakatan itu kita harap akan menjadi cara atau kaedah mereka mengembalikan peranan mereka di rantau ini untuk menjadi tonggak pengembangan agama Islam.
2. Jadi bagaimana pula dengan orang bukan Islam?
Semua orang boleh main peranan atas kesedaran yang ada. Tidak ada masalah untuk mereka menyumbang dan main peranan dalam membantu membangunkan Islam. Kita lihat Cina dan India muslim turut memainkan peranan yang sama atas kesedaran untuk membangunkan Islam. Ia tidak timbul pemikiran dan soal bahawa kita sahaja yang berjuang. Tetapi semua pihak yang merasakan kesedaran dan merasakan bahawa mereka ada peranan untuk dimainkan, maka mereka boleh mainkan.
3. Adakah ISMA sebenarnya mengalu-alukan muallaf dan yang bukan Islam untuk sertai ISMA? Atau ISMA hanya tertumpu kepada Melayu sahaja?
Itu tidak timbul. Itu soal dakwah. Soal sampaikan risalah. Sebagaimana saya sebutkan tadi, dakwah umum untuk semua. Kadang-kadang berlaku salah faham. Topik perbincangan kita tentang Melayu adalah berkaitan dengan peranan kita dalam sejarah yang kita nak kembalikan semula. Itu tidak boleh merujuk pada muallaf. Sebab itu peranan orang Melayu dulu mereka telah memainkan peranan penting dalam mempertahan dan menyebarkan Islam di rantau ini. Jadi apabila Melayu lemah, kita mahu Melayu membina balik kekuatan dan peranan yang pernah dimainkan dahulu. Itu bukan soal dakwah kepada Islam. Itu bukan dakwah menyeru orang masuk Islam. Jangan keliru dengan dua perkara yang berbeza.
Jadi seruan kita pada Melayu dalam konteks mahu mereka kembali kepada Islam dan bina balik kekuatan mereka. Kalau kata nak seru orang masuk Islam, itu kena kepada semua orang, iaitu kepada orang Cina, India dan sesiapa sahaja yang belum Islam. Itu tidak ada had. Kita berbicara tentang isu Melayu, bukan bermakna kita menghadkan dakwah pada bukan Melayu, itu salah faham dan persoalan sebegitu timbul kerana mereka tidak paham konteks.
4. ISMA memperjuangkan Melayu Islam. Jadi adakah perlu menjadi Melayu dan Islam terlebih dahulu baru boleh sertai ISMA?
Dalam konteks penggunaan istilah, apabila orang Arab bercakap tentang negara Arab, dia akan sebut ‘negara Arab dan Islam’(perkataan Arab dan Islam disekalikan). Ini satu bentuk pengucapan. Satu poin penting yang jarang orang faham dan bawa kekeliruan di Malaysia ialah mereka fikir bila masuk Islam akan bubar bangsa, identiti kebangsaan. Sedangkan mereka dalam masa yang sama, begitu prihatin dan komited untuk pertahankan bangsa dia.
Hari ini kalau Cina masuk Islam, mereka tetap akan pertahankan bangsa mereka. Tetapi bila orang Melayu pertahan Melayu, Islam, dia akan sensitif, akan kata itu rasis. Itu silap kerana memandang dengan dua neraca yang berbeza.
Bila dia (bukan Islam) pandang orang Melayu, dia mahu orang Melayu lebur, jangan sebut Melayu, tetapi sebut Islam sahaja. Tetapi kalau orang lain, bangsa lain yang memeluk Islam, mereka akan kekalkan bangsa mereka. Cina Islam. India muslim. Kalau mahu ikut logik, semua tidak mahu sebut bangsa kalau masuk Islam, hanya jadi muslim sahaja. Tidak payah sebut Melayu, Cina, India. Jadi tidak ada Cina muslim, India muslim, Melayu muslim. Itu tidak praktikal, tetapi mereka pun tidak terima begitu.
Sebab itu bila kita sebut Melayu yang Islam, takkan kita nak sebut Cina Islam, India Islam, Arab Islam, satu persatu. Jadi bila saya bercakap berkenaan Melayu dan Islam dalam konteks di Malaysia, macam orang Arab sebut Arab dan Islam, ia meliputi semua. Tidak perlu sebut Cina Islam, India Islam. Itu satu aspek.
Aspek kedua kenapa sebut Melayu dan Islam? Satu hakikat yang dah dicapai dalam sejarah, identiti negara pada umat ini pada suatu masa dulu tidak kira ia etnik apa, Bugis atau apa sahaja etnik yang ada di kalangan masyarakat Melayu, semua bersetuju dengan identiti Melayu. Mereka disatukan dengan identiti Melayu. Sebagaimana Nabi S.A.W. sebut Arab itu ialah lisan. Begitu juga Melayu adalah lisan. Melayu adalah bahasa. Makna kata siapa yang bercakap bahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu, telah menjadi Melayu walaupun mereka ialah Minangkabau, Bugis, Bajau, atau apa sahaja etniknya. Tetapi akhirnya bila berkomunikasi dia berkomunikasi bahasa Melayu.
Kalau antara Jawa dan Tanah Melayu, kita disatukan juga dengan bahasa Melayu. Ini menjadi identiti, di mana bahasa Melayu itu adalah merujuk kepada agama Islam, bahasa, adat resam dan sebagainya.
Adat Melayu yang dimaksudkan ialah adat yang diasimilasikan dengan ajaran syariat Islam. Misalnya berkhatan, majlis kahwin yang sejajar dengan syariat Islam. Ini semua menjadi identiti. Bila Cina berkahwin dengan orang Melayu, lahir generasi yang dianggap Melayu. Dari dulu India kahwin dengan orang Melayu, anaknya akan dikategorikan Melayu. Jadi itu satu pencapaian sejarah yang kita tidak boleh nafikan, kecuali jika kita berniat buruk terhadap Melayu ataupun telah dipengaruhi oleh pemikiran songsang yang menyebabkan kita alergik, rasa taboo untuk mengaku Melayu.
Sedangkan ini adalah fakta sejarah. Dari dulu perkembangan Islam, terbentuknya pemerintahan, raja-raja memeluk Islam, berlakunya peradaban berasaskan Islam, pembentukan undang-undang, hukum hakam ikut Islam dan akhirnya terbentuk kumpulan manusia berasimilasi, perubahan dalam masyarakat kepada satu identiti Melayu yang terasnya Islam. Jadi ini yang ditulis dalam perlembagaan sebagai warisan zaman dahulu yang harus dipertahankan generasi akan datang.
Ulasan
Catat Ulasan