Keputusan kes liwat Anwar: Adakah bawa implikasi besar kepada masa depan politik negara?
PUTRAJAYA, 28 Oktober – Perbicaraan mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlarutan bertahun lamanya menimbulkan pelbagai persoalan terutama berkaitan iklim politik di Malaysia.
Adakah keputusan mahkamah penting untuk masa depan politik Anwar atau adakah Anwar sudah sememangnya tidak ‘laku’ lagi?
Adakah rakyat Malaysia masih mengharapkan Anwar untuk perubahan masa depan yang baharu atau adakah ia hanya igauan segelintir kecil penyokong fanatiknya sahaja?
Menurut ramalan penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd Noor Mat Yazid, apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pasti tiada lagi masa depan buatnya dalam arena politik selepas ini.
Katanya, fasa politik sudah berubah. Jadi mungkin sekali perjuangan Anwar dalam politik turut akan berubah.
“Saya berpendapat masa depannya dalam politik akan lebih malap berbanding sebelum-sebelum ini,” kata beliau ketika dihubungi wartawan ISMAweb.
Jelasnya, ini kerana ketika mula-mula kebangkitan PKR dulu, masyarakat memahami perjuangannya adalah untuk memperjuangkan Melayu Islam.
“Tetapi sejak akhir-akhir ini terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU13), nampak sangat perjuangannya bersifat ke arah liberal.
“Dia tidak lagi meletakkan Melayu Islam sebagai tonggak (perjuangan) hanya semata-mata mahu menarik sokongan bukan Islam terutamanya kelompok DAP,” katanya.
Begitu juga menurut Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Salawati Mat Basir, katanya zaman Anwar sudah berlalu.
Jika dahulu isu sebegini mendapat sambutan hangat tetapi kini rakyat mula memahami permainan politik beliau.
Dalam hal ini semua pengikut fanatik Anwar perlu menerima hakikat bahawa Anwar sudah tidak boleh mengheret rakyat dalam setiap permasalahannya.
“Saya lihat sokongan terhadap Anwar mula pudar tetapi beliau tetap tidak mahu mengalah dan saya pasti dia tetap akan melakukan apa sahaja untuk terus popular,” ujar Dr. Salawati.
Namun begitu bagi pengikutnya, Zamri yang datang dari Kapar berkata, kita akan terus menyokong perjuangan Anwar.
Dia yang ditemui di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya berkata, selama ini Anwar adalah mangsa politik.
Puncanya kerana pemerintah takut jika beliau masuk Kajang sebelum ini dan saya merasakan pemerintah merasakan mereka tidak selamat.
“Jadi kita berkumpul hari ini sebab kita mahu memperjuangkan keadilan. Satu dunia memerlukan dia. Ketua Ulama dunia pun hormat padanya, kenapa kita tidak?
“Kenapa kerajaan buat Anwar sebegitu? Sedangkan Anwar adalah satu permata yang menaikkan nama negara selama ini,” ujarnya.
Fuzaimah dari Kota Bharu, Kelantan pula berkata, sebagai rakyat beliau menyokong dan bersetuju bahawa rakyat adalah hakim negara.
“Sekarang ini suara rakyat langsung tidak didengari. Jadi kali ini wajar untuk rakyat bangkit agar pihak pemerintah mendengar suara rakyat bagi untuk mengeakkan keadilan,” katanya ketika ditemui.
Walaupun begitu hakikatnya, menurut Ketua Pengarang portal Malaysiakini, Fathi Aris Omar, penyokong pakatan rakyat harus meninggalkan Datuk Seri Anwar dan belajar untuk hidup sendiri.
Katanya dalam entri Facebooknya, kepada mereka yang memuja dan mengagumi Anwar perlu mengambil risiko untuk hidup sendiri sekiranya masih terus relevan dalam perjuangan reformasi bangsa.
“Semua harus akur bahawa tiada guna bergayut pada sentimentaliti tokoh bernama Anwar,” tulisnya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi berkata, baginya isu Anwar ini adalah isu peribadi yang telah dipolitikkan hanya untuk kepentingan mereka bagi meraih simpati rakyat.
“Ini isu peribadi, tetapi terlalu dipolitikkan sehingga membuatkan semua orang rasa bersalah.
“Cukup-cukuplah, biarlah undang-undang menentukan segalanya,” kata beliau.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan