PEMBELA buat laporan polis terhadap perwakilan Gerakan
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini membuat laporan polis ke atas seorang ahli Gerakan Batu Pahat Johor, Tan Lai Soon kerana mengeluarkan kenyataan biadap dan menghasut apabila mengatakan Melayu juga adalah pendatang di negara ini.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Daerah Dang Wangi, di sini kira-kira jam 10.00 pagi ini.
Timbalan Pengerusi PEMBELA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Tan itu adalah jelas salah dari aspek sejarah Melayu dan jiwa budaya Melayu di nusantara ini.
“Kami mengutuk keras kenyataan yang bersifat menghasut kerana ia boleh menimbulkan ketegangan dan mencetuskan kemarahan orang Melayu.
“Bahkan kenyataannya itu secara tidak langsung telah menghina kedudukan Kesultanan Raja Melayu,” tegasnya kepada pemberita di hadapan balai polis itu.
Tan dalam mesyuarat agung tahunan parti Gerakan semalam telah mengingatkan pemimpin UMNO untuk tidak menggunakan kenyataan ‘pendatang’ kepada bangsa lain kerana menurutnya orang Melayu juga sebenarnya pendatang di negara ini.
“Biar saya jelaskan, Melayu, Cina, India semua pendatang, kecuali Orang Asli, orang Sabah dan orang Sarawak yang menjadi bumiputera asal,” kata Tan.
Untuk itu tambah Tuan Haji Aminuddin, PEMBELA mendesak supaya Presiden Gerakan Malaysia memecat Tan Lai Soon berikutan kenyataannya itu.
“Ini adalah selaras dengan kenyataan Presiden Gerakan sendiri yang akan memecat mana-mana ahli beliau yang membuat kenyataan berbaur mengahasut dan perkauman.
“Dalam pada itu, PEMBELA juga meminta pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan mendesak agar pihak pendakwaraya mendakwa Tan Lai Soon di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Aminuddin yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, dalam masa terdekat, sahabat-sahabatnya yang terdiri dari ahli sejarawan akan membuat ‘roadshow’ bagi menyatakan bahawa Melayu ini sebenarnya bukan pendatang.
“Bumi ini, kepulauan ini termasuk Indonesia, Malaysia, Brunei Singapura, Sabah Sarawak, sekalipun Selatan Thailand asalnya adalah kepulauan Melayu.
“Maka kenyataan yang menyatakan bahawa orang Melayu adalah pendatang merupakan satu kenyataan yang salah dan menghina kaum Melayu itu sendiri,” tegasnya.
Sementara itu, aktivis Persatuan Pegguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi juga berkata, kenyataan Tan itu boleh membawa kepada pergaduhan kaum.
“Kita hidup berbilang kaum, jadi kenapa harus mengucapkan perkara yang tidak harus diperkatakan?
“Saya rasa Gerakan perlu pecat beliau dan pendakwaraya perlu mendakwa beliau supaya individu lain tidak akan membuat kenyataan yang sama.
“Jika tidak, dia boleh duduk di luar negara, dan duduk di negara yang boleh menerima dia.
“Sepatutnya dia perlu bersyukur duduk di tanah Melayu di negara Malaysia ini,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan