Perjuangan Anwar akan diteruskan sekalipun ambil masa 20 tahun lagi
PUTRAJAYA, 28 Oktober – Penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul dengan penuh semangat di perkarangan Istana Kehakiman sambil melaungkan sorakan slogan reformasi.
Para penyokongnya tidak berganjak sambil memegang sepanduk tertera perkataan ‘Bebaskan Institusi Kehakiman’, ‘Justice for Anwar’ dan ‘Rakyat Hakim Negara’.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam ucapannya berkata, hari ini kita ada pelbagai masyarakat, pelbagai kaum, kita disatukan dengan satu tujuan iaitu cinta kita kepada keadilan dan benci kita kepada kezaliman.
“Ini bermakna jika sekiranya selama ini kita mengambil masa 16 tahun untuk membina Datuk Seri Anwar, maka kita akan terus kekal.
“Jika kita perlu 20 tahun lagi untuk menjatuhkan UMNO bagi memastikan institusi kehakiman kita tidak lagi dipijak dan dicampur oleh pemerintah, maka 20 tahun lagi kita akan kekal di jalan ini,” laungnya.
Begitu juga dengan Naib Presiden PKR, Tian Chua, katanya, ini adalah suara dari rakyat, amaran dari rakyat dan ini adalah pendirian dari rakyat.
“Datuk Seri Anwar membuat keputusan untuk berdepan dengan kezaliman dan penindasan ini. Beliau tidak ada pilihan lain untuk cari jalan yang lebih mudah yang tidak ada risiko.
“Tetapi beliau memilih untuk berada dalam mahkamah ini sungguh pun kita tahu ia tidak akan membawa keadilan untuk beliau. Tetapi atas semangat pejuangan dan prihatin dengan politik tetap bersama dengan rakyat.
“Jadi saat ini mungkin adalah 24 jam terakhir untuk bernafas udara yang bebas. Esok mungkin keputusan akan diumumkan bahawa beliau akan hilang kebebasan untuk 5 tahun lagi,” kata beliau.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ini merupakan kes liwat kedua yang melibatkan Datuk Seri Anwar. Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Anwar tidak bersalah meliwat pembantunya Saiful Bukhari. Pada 7 Mac 2014 pula, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Anwar bersalah.
Dalam kes liwat pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan