Relevansi Konsep Negara Islam: Pelaksanaannya Dalam Sistem Demokrasi Malaysia
Relevansi Konsep Negara Islam:
Pelaksanaannya Dalam Sistem Demokrasi Malaysia[1]
Mohd Hazizi bin Ab. Rahman[2]
Mukadimah
1. Agama dan negara tidak boleh dipisahkan; agama adalah asas, negara adalah penjaganya, seperti kata Imam al-Ghazali. Maqasid Syariah Asliah ialah menjaga perkara-perkara yang dharuri; agama, jiwa, akal, nasab dan harta. Negara adalah fardhu kifayah bagi menyempurnakan fardhu ain setiap mukallaf untuk menjaga kelima-lima perkara itu.
Bagaimanapun, Islam hanya menetapkan asas-asas dan prinsip-prinsip umum pemerintahan, manakala pengurusan sesebuah negara sifatnya adalah berubah, bersesuaian dengan masa, tempat, keperluan dan pencapaian manusia yang berbeza-beza. Medan yang luas inilah dinamakan sebagai Siyasah Syariyah.
Ibnu Aqil mendefinisikan Siyasah Syariyah:
السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح وأبعد عن الفساد وإن لم يضعه الرسول ولا نزل به وحي. فإن أردت بقولك إلا ما وافق الشرع أي لم يخالف ما نطق به الشرع فصحيح ، وإن أردت لا سياسة إلا ما نطق به الشرع فغلط وتغليط للصحابة
“Tindakan yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan dan lebih jauh daripada kerosakan, walaupun Rasulullah tidak pernah melakukannya dan tiada wahyu yang turun mengenainya. Jika kamu maksudkan dengan katamu “kecuali yang menepati syarak” ialah tidak menyalahi apa yang dituturkan syarak maka betul, jika engkau maksudkan tiada siyasah kecuali yang dituturkan syarak maka ia salah dan menyalahkan para sahabat”
Berdasarkan pemahaman di atas, model negara Islam yang pertama di Madinah tidak seharunya dilihat secara baku dan kaku. Terdapat kalangan yang mengatakan model negara Rasulullah S.A.W. tidak boleh diambil kira untuk kegunaan masa kini, kerana terdapat banyak perbezaan dari segi watak, zaman, tempat dan pencapaian manusia sejak beribu tahun lampau.
Menurut al-Allamah Ibnu Asyur, seseorang yang mengkaji Maqasid Syariah amat perlu meneliti sifat Baginda ketika bersabda dan melakukan sesuatu perbuatan, sama ada Baginda bertindak sebagai pemerintah atau qadhi atau mufti yang menyampaikan ajaran Islam. Setiap kategori sifat itu mempunyai implikasinya yang tersendiri dalam syariat. Justeru pengkajian terhadap model negara Islam Rasulullah S.A.W. dan para Khulafak ar-Rasyidin mestilah diletakkan dalam kerangkanya yang betul, agar dapat dibezakan antara thawabit dan mutaghaiyirat. Kebijaksanaan ini dapat menghindarkan daripada tindakan mencairkan perkara prinsip dan asas, serta dapat mengelakkan daripada tasawur yang kaku dan menyukarkan.
Menelusuri ciri-ciri negara Islam yang digariskan oleh para ulamak silam, kita akan mendapati kebanyakannya tidak mengambil kira keadaan syarak tidak lagi dipertuankan seperti keadaan di kebanyakan negara Islam selepas era penjajahan Barat, termasuk Malaysia. Ini disebabkan kebanyakan para ulamak mengarang kitab mengenai sistem pemerintahan pada zaman Islam dipertuankan dan kedaulatan syarak masih berkuasa.
Konsep Negara Islam
Berdasarkan noktah-noktah di atas, penulis memilih untuk memetik ciri-ciri asas yang menyeluruh bagi sebuah pemerintahan Islam seperti yang diperkatakan oleh Prof. Dr Solah as-Sowy dalam buku karangannya yang bertajuk “Pluralisme Politik Dalam Negara Islam”. Ciri-ciri tersebut menyentuh soal dasar dan konsep negara Islam secara menyeluruh, yang boleh dijadikan panduan untuk menganalisis kewujudannya dalam negara kita Malaysia.
Ciri-ciri tersebut ialah:
1) Ketuanan syarak:
Ketuanan syarak bermaksud kehendak Allah S.W.T. adalah hukum dan kata pemutus tertinggi. Tiada satu kuasa yang lebih tinggi atau menyamai ketinggian kehendak syarak. Sebarang keputusan dan undang-undang yang bertentangan dengan kehendak syarak maka ia terbatal dengan sendirinya. Tiada qias untuk sesuatu yang mempunyai nas. Maslahat yang bertentangan dengan syarak adalah tidak dikira pakai. Tiada syura kecuali dalam perkara yang diharuskan dan diizinkan oleh syarak, yang medannya terlalu luas.
Berikut adalah beberapa ayat al-Quran yang menjadi sandaran mengenai ketuanan syarak:-
“Sebenarnya hukum hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf ayat 40)
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab ayat 36)
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’ ayat 65)
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Syura ayat 21)
Hakikat ketuanan syarak inilah intipati Islam. Inilah agama Islam yang Allah tidak terima agama selainnya.
2) Kuasa umat
Ketuanan syarak tidak bermakna negara teokratik seperti yang dinamakan oleh orang-orang Barat. Perlu dibezakan antara punca kuasa politik dan sumber perundangan dalam manhaj Islam. Punca kuasa politik adalah umat. Sistem perundangan pula, sumbernya yang tertinggi adalah syarak.
Kuasa umat bermaksud umat memegang kuasa untuk melantik, memantau dan memecat pemerintah. Perkara ini jelas dalam kata-kata para Khulafak ar-Rasyidin.
Abu Bakr R.A. berkata sebelum kewafatannya, “Sesungguhnya Allah telah memulangkan urusan kamu kepada kamu, maka lantiklah (pemimpin) di kalangan yang kamu suka”.
Umar R.A. berkata di atas mimbar Rasulullah S.A.W., “Sesiapa yang memberi baiah kepada seseorang tanpa bersyura dengan muslimin, maka dia mendedahkan dirinya dan orang yang dibaiahnya itu kepada pembunuhan”
Ketika berhimpun sekumpulan manusia di rumah Ali R.A. untuk memberi baiah kepada beliau, Ali R.A. berkata, “Sesungguhnya baiahku tidak mungkin secara tersembunyi. Tidak mungkin melainkan di dalam masjid.” Maka hadirlah manusia ke masjid, kemudian datanglah Ali lalu ia naik ke atas mimbar dan berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya urusan kamu bukan milik sesiapa selain orang yang kamu lantik. Sesungguhnya kita telah berpisah semalam atas satu keputusan sedangkan aku tidak suka untuk mengetuai kamu, tetapi kamu enggan kecuali mahukan aku menjadi ketua kamu. Ketahuilah bahawa tiada sesuatu pun bagiku tanpa kamu, melainkan anak-anak kunci harta kamu bersamaku, namun aku tidak berhak mengambil walaupun satu dirham tanpa (persetujuan) kamu. Oleh itu jika kamu setuju, aku akan duduk (menerima jawatan khalifah) kerana kamu. Jika sebaliknya, aku tidak akan bersedih ke atas sesiapapun. Mereka menjawab: “Kami tetap berpegang dengan apa yang telah kami bentangkan kepadamu (melantikmu sebagai khalifah) semasa kami berpisah denganmu semalam.”
Diriwayatkan Umar bin Abdul Aziz naik ke atas mimbar, selepas menerima perlantikan secara warisan daripada Sulaiman bin Abdul Malik, lalu berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya aku tidak membuat sesuatu yang baru, aku hanya mengikut, dan sesungguhnya orang-orang di sekeliling kamu di pelbagai kawasan dan bandar jika mereka taat seperti mana kamu taat, maka aku menjadi pemerintah kamu. Jika mereka enggan, maka aku bukan pemerintah kamu.” Kemudian mereka turun.
3) Kedaulatan undang-undang
Kehakiman dalam sistem pemerintahan Islam mempunyai kedaulatan yang istimewa. Sejarah Islam membuktikan betapa para hakim bebas dan tiada kuasa yang mempengaruhi mereka kecuali syarak. Tiada mana-mana pemerintah atau sesiapa sahaja yang boleh mencampuri urusan kehakiman. Setiap orang sama tarafnya di hadapan undang-undang. Umat bertanggungjawab untuk memastikan pemerintah memberi jaminan tentang kebebasan kehakiman.
4) Jaminan hak dan kebebasan
Hukum syarak diturunkan untuk menjaga maslahat umat manusia, di dunia dan akhirat. Tujuan hukum-hukum itu ialah untuk menjaga agama, nyawa, akal, nasab dan harta. Sesungguhnya kalimah tauhid merupakan perisytiharan pembebasan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah. Syariat Islam telah berjaya menghapuskan sistem perhambaan sesama manusia secara aman damai beratus tahun lebih awal daripada Amerika yang terpaksa mengharungi proses itu menerusi peperangan yang mengorbankan jiwa yang tidak berdosa.
Kata-kata Umar bin al-Khattab yang masyhur ketika memarahi Amru ibnul As merupakan lambang jaminan kebebasan dan kemuliaan sejati untuk umat manusia:
“Sejak bila engkau memperhambakan manusia sedangkan mereka telah dilahirkan oleh para ibu mereka selaku orang yang merdeka?!”
Menurut al-Allamah Ibnu Asyur, kebebasan kepercayaan yang diasaskan oleh Islam ialah dengan membatalkan iktikad sesat yang dipaksakan oleh penyerunya ke atas pengikut-pengikut mereka tanpa faham, petunjuk dan kitab yang menerangi, dengan seruan agar dinyatakan bukti ke atas akidah yang benar, kemudian arahan agar berhujah dengan baik terhadap orang-orang yang membangkang dan mengembalikan mereka kepada kebenaran dengan penuh kebijaksaan, nasihat dan sebaik-baik hujah, kemudian dengan penafian paksaan dalam beragama. Adapun kebebasan bersuara maka ia bermaksud menyatakan pandangan dan iktikad dalam lingkungan yang diizinkan oleh syarak.
5) Kewajiban syura
Syura merupakan satu asas yang amat penting dalam pemerintahan Islam. Ini kerana umat adalah sumber kuasa dan menuruti pendapatnya merupakan kelebihan. Bahkan syariat Islam meletakkan syura sebagai satu asas yang diamalkan dalam setiap perkara dan urusan sehingga menjadi sifat zahir jamaah muslimin.
Firman Allah:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya” (Surah Syura ayat 38)
Syura dalam Islam bukan sekadar satu sistem pemerintahan, lebih-lebih lagi ayat di atas merupakan ayat Makkiah ketika belum ada negara Islam.
Firman Allah:
“Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Surah Ali Imran ayat 159)
Sebahagian ulamak menaqalkan ijmak bahawa seseorang pemerintah yang tidak bersyura dengan ahli ilmu dan agama maka pemecatannya adalah wajib. Perkara ini amat difahami oleh Khulafak Rasyidin. Mereka amat memberi perhatian dan mengamalkan syura. Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakr R.A. apabila berlaku sesuatu perkara, beliau melihat dalam kitab Allah. Jika didapatinya dalam kitab Allah maka ia mengambil keputusan berdasarkan itu. Jika ia tahu tentang sunnah Rasulullah berkaitan perkara tersebut, maka ia berhukum dengan sunnah itu. Jika beliau tidak tahu, maka beliau akan keluar dan bertanya orang ramai tentang sunnah. Jika tidak diketemui jawapan, maka beliau panggil kepala-kepala muslimin dan para ulamak lalu beliau bersyura.
6) Hisbah
Hisbah adalah amar makruf apabila telah zahir peninggalannya dan nahi mungkar apabila zahir perlakuannya. Ia merupakan bidang kuasa asasi bagi pemerintahan Islam. Hisbah bertujuan menjaga agama dan memastikan hukum-hakamnya dihormati. Tugas menjaga agama ini merupakan tugas pertama yang dipertanggungjawab ke atas negara Islam, bahkan tidak disebut definisi Khilafah Islam kecuali dengan menyebut tugasan itu, sebagai mengganti tugas kenabian iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya.
Hisbah tidak berlaku dalam perkara-perkara yang diperselisihkan oleh para ulamak. Sebaliknya ia berlaku pada perkara-perkara yang Ijmak, yang sabit dengan nas yang sahih atau Ijmak yang “sarih”.
Sistem Demokrasi
Demokrasi merupakan satu sistem politik yang lahir daripada evolusi fahaman liberalisme yang mengutamakan kebebasan individu mengatasi kuasa kerajaan dan hukum agama. Demokrasi secara mudah merujuk kepada kuasa rakyat. Ia dikatakan berasal daripada pengamalan orang-orang Yunani-Greek, kemudiannya diambil oleh negara-negara Barat bagi menggantikan kuasa pemerintahan mutlak gereja dan raja. Pada hari ini, demokrasi sudah menjadi satu anutan oleh kebanyakan negara sebagai satu sistem pemerintahan yang dikatakan berjaya membawa keadilan kepada semua lapisan masyarakat dan membawa kepada kemajuan.
Menurut Dr. Solah as-Sowy dalam bukunya “Pluralisme politik dalam negara Islam”, asas pemikiran bagi sistem demokrasi ialah ketuanan rakyat, kedaulatan undang-undang dan perlindungan hak dan kebebasan.
Ketuanan rakyat bermaksud kehendak rakyat adalah kuasa tertinggi yang mesti dipatuhi oleh semua orang. Fahaman ini lahir hasil daripada pengalaman pahit orang-orang Eropah pada kurun pertengahan selepas mereka diperintah oleh kuasa mutlak gereja yang menjadikan arahannya adalah arahan Tuhan. Sebarang kebijaksanaan yang tidak bersumberkan gereja, maka ia dianggap sebagai was-was syaitan dan diperangi. Dari tahun 1481 hingga 1499 (selama 18 tahun sahaja), kira-kira 90 ribu ilmuwan dihukum bunuh di Eropah, atas tuduhan memiliki ilmu / sains.
Oleh kerana tidak tahan dengan cengkaman pihak gereja, orang-orang Eropah bangkit menentang gereja dan raja sehingga mengakibatkan revolusi Perancis 1789. Mereka membuang ketuanan gereja dan raja, lalu menggantikannya dengan ketuanan rakyat.
Kedaulatan undang-undang menghendaki pemisahan antara tiga badan utama dalam sistem demokrasi; badan perundangan, badan kehakiman dan badan eksekutif. Perlembagaan yang sukar dipinda juga merupakan salah satu usaha manusia untuk membenteras campur tangan pemerintah ke atas badan kehakiman dan perundangan.
Perlindungan hak dan kebebasan individu merupakan matlamat di sisi sistem demokrasi. Deklarasi Hak Asasi Manusia adalah ibarat Injil Politik yang suci. Sejarahnya kembali kepada falsafah Locke, Hobbes, Rousseau, Montesquieu yang menjadikan kehendak individu dan kebebasannya sebagai matlamat hidup insan. Kerajaan bertanggungjawab menjamin hak itu dan mengawalnya agar tidak bertembung antara satu sama lain. Hak dan kebebasan individu adalah keadaan asal yang tidak boleh disekat atau ditahan oleh kerajaan selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat umum dan negara. Kuasa kerajaan dalam sebuah negara demokrasi libeal adalah kuasa yang terbatas; hanya berkaitan keselamatan, kehakiman dan kemudahan awam. Keterbatasan kuasa itu agar menjamin hak dan kebebasan individu tidak digugat.
Pluralisme politik adalah elemen yang fundamental bagi sistem demokrasi. Ia berkenaan persaingan bebas antara kumpulan-kumpulan untuk memaksa pengaruh ke atas keputusan yang diambil oleh kerajaan. Kumpulan-kumpulan itu boleh terdiri daripada parti-parti politik dan juga bukan parti politik. Walaupun persaingan dan pertentangan yang wujud antara kumpulan-kumpulan itu sengit, tiada siapa yang boleh menafikan hak wujud bagi mana-mana kumpulan dalam pluralime politik.
Demokrasi di Malaysia
Secara mudah, sesebuah negara boleh digelar sebagai negara demokrasi jika menonjolkan citi-ciri berikut; kebebasan bersuara, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, kebebasan berpersatuan, kerajaan majoriti, hak kumpulan minoriti dihormati, kebebasan media massa dan kebebasan badan kehakiman. Berdasarkan ciri-ciri di atas, Malaysia dikira sebuah negara demokrasi kerana kesemua ciri-ciri tersebut wujud secara asasnya.
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.
Kuasa undi digunakan oleh rakyat Malaysia untuk memilih pemerintah melalui pemilihan anggota-anggota Dewan Rakyat di peringkat persekutuan dan ahli-ahli Dewangan Undangan Negeri di peringkat negeri. Jika rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintah, mereka boleh menjatuhkannya dan menggantikan dengan orang lain menerusi proses pilihanraya. Kuasa memilih ini merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan kepada setiap rakyat Malaysia yang memenuhi syarat yang ditetapkan tanpa mengira agama dan bangsa.
Kuasa rakyat bukan sahaja diterjemahkan melalui undi, malah ia boleh berbentuk tekanan dan desakan yang berterusan yang mempengaruhi keputusan kerajaan. Perlembagaan Malaysia memberikan hak bersuara sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Pelaksanaan Islam di Malaysia amat bergantung pada kuasa desakan umat Islam ke atas kerajaan, terutamanya ketika berdepan dengan desakan rakyat bukan Islam dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Islam di negara ini.
Berdasarkan konsep negara Islam di atas, serta sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, berikut adalah beberapa analisa dalam konteks menilai relevansi konsep negara Islam dalam sistem demokrasi di negara ini:
1. Kedudukan Islam dilindungi, bukan ketuanan syarak: Kedudukan Islam dalam negara boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya ialah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Terdapat perbahasan yang panjang mengenai tafsiran dan implikasi Perkara 3 (1). Begitu juga dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan yang memberikan keistimewaan kepada agama Islam. Namun kesemua peruntukan itu sebenarnya hanyalah bertujuan bagi melindungi kedudukan agama Islam dan institusi- institusi yang berkaitan dengannya di Malaysia. Perlindungan dalam bentuk keistimewaan itu tidak sekali-kali membawa maksud ketuanan syarak atau undang-undang syariah sebagai sumber perundangan tertinggi negara.
2. Secebis kuasa “budi bicara”: Namun dari sudut bidang kuasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Perlembagaan Negara memperuntukkan kepada baginda dan Raja-Raja memiliki “budi bicara” yang boleh digunakan menurut prerogatif Raja Pemerintah meski tertakluk kepada batasan tertentu. Budi bicara Raja Pemerintah yang dimaksudkan ialah kuasa melantik Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan melantik Menteri Besar di peringkat negeri. Keempat-empat mazhab fiqah bersepakat bahawa ciri minimum bagi menentukan sesebuah negara itu sebagai negara Islam atau sebaliknya ialah sebuah negara yang dipimpin dan ditadbir oleh orang Islam. Pada pandangan penulis, “budi bicara” Seri Paduka Baginda dan Raja-raja dalam soal ini adalah lapisan nipis benteng terakhir ketuanan syarak yang masih berbaki dalam sistem pemerintahan yang dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Negara.
3. Peranan pemimpin Islam: Selain daripada peruntukan-peruntukan yang lebih bersifat melindungi berbanding kuasa berdaulat, ketuanan syarak di negara ini amat bergantung pada pegangan dan pendirian Raja-raja dan para pemimpin politik yang beragama Islam dalam mengurustadbir negara. Apabila perundangan tidak memberikan ruang mencukupi untuk ketuanan syarak, maka siyasah syariyah memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan kedaulatan syarak. Peranan itu hanya dapat dijayakan oleh peribadi yang faham, komited, bijak bersiyasah dan mengutamakan kepentingan agama.
4. Pengaruh agama dalam hidup orang Melayu: Identiti orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan diikat dengan agama Islam. Oleh itu seseorang yang berketurunan Melayu adalah bukan Melayu jika tidak beragama Islam. Selain daripada memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Melayu, Islam juga menjadi unsur penting dalam peraturan hidup bermasyarakat dan berpolitik orang-orang Melayu. Hal ini sama sekali bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi sekular yang menghendaki agama berada dalam lingkungan kehidupan peribadi semata-mata.
5. Pengaruh bangsa ke atas kedudukan Islam: Pluralisme politik di Malaysia sebenarnya banyak dicorakkan oleh faktor agama. Bagaimanapun, elemen agama itu sering diletakkan di sebalik semangat perkauman, disebabkan identiti kaum yang begitu terikat dengan agama. Oleh yang demikian, demokrasi liberal sekular tidak akan mendapat tempat di tanahair ini selagi ras-ras sedia ada masih kekal kuat jatidirinya berasaskan agama masing-masing. Justeru masa depan ketuanan syarak di negara ini amat bergantung pada kekukuhan jatidiri orang Melayu berasaskan Islam, selaku penduduk majoriti.
6. Kedaulatan Islam dan kuasa undi: Kedudukan agama Islam yang diletakkan di bawah bidang kuasa Raja-raja, tidak menjadi taruhan bagi proses pengundian yang melibatkan pemilih-pemilih daripada pelbagai agama dan bangsa. Namun ia hanya bersifat melindungi, tidak terbuka kepada persaingan sihat yang memungkinkan desakan kepada perubahan ke arah memartabatkan ketuanan syarak, kecuali kembali kepada sistem pemilihan pilihanraya yang terbuka kepada persaingan desakan pelbagai kumpulan daripada pelbagai aliran, kepercayaan dan agama, yang diamalkan selama ini.
7. Kuasa umat dalam negara majmuk: Pelaksanaan kuasa umat dalam konteks Malaysia dibayangi oleh dasar jaminan hak bersuara dan hak memilih oleh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Umat Islam mesti bersaing dengan rakyat bukan Islam dalam proses pemilihan pemimpin dan proses desakan bagi mempengaruhi keputusan kerajaan. Di sinilah letaknya peranan penting kecelikan siyasah syariyah bagi rakyat beragama Islam dalam menentukan masa depan kedudukan Islam di negara ini, dengan mengambil langkah-langkah bijak yang membawa keuntungan kepada agama Islam.
8. Kesamarataan hak warganegara dalam menentukan corak pemerintahan: Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan, bersuara, dan berpersatuan kepada semua rakyat negara ini tanpa mengambil kira latarbelakang agama dan kepercayaan kecuali dalam perkara-perkara yang dinyatakan sebaliknya seperti dalam Perkara 8 (5), Perkara 10 (4), Perkara 11 (4), Perkara 12 (2), (3) dan (4), Perkara 89 dan lain-lain. Perkara-perkara yang dikecualikan ini merupakan kaedah untuk melindungi hak dan kedaulatan Islam sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ia merupakan satu keadaan minima setelah rakyat berkompromi menerima kontrak sosial sebagai syarat untuk mencapai kemerdekaan, bukan keadaan asal yang memberikan kedaulatan penuh kepada penduduk asal orang-orang Melayu yang beragama Islam.
9. Kesamarataan hak berpolitik: Dari segi hak berpolitik, adalah amat jelas bahawa tidak terdapat perbezaan antara hak politik warganegara Islam dan bukan Islam di dalam peruntukan Perlembagaan. Ini kerana hak politik di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tidak didasarkan kepada ras dan agama. Setiap warganegara yang cukup syarat berhak untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Faktor agama dan kepercayaan juga bukan merupakan asas kepada penerimaan dan penolakan kepada setiap warganegara Malaysia untuk menjawat apa saja jawatan dalam sistem pentadbiran negara, kecuali yang membabitkan Perkara 8 (5) (b) dan yang melibatkan kuota Bumiputera. Jawatan Perdana Menteri tidak dinyatakan mesti beragama Islam. Ia hanya bergantung pada “budi bicara” Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong seperti yang telah dinyatakan di atas.
10. Badan Perundangan: Struktur pentadbiran negara Malaysia meletakkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai badan perundangan tertinggi negara yang boleh dikategorikan sebagai badan syura bagi pemerintah, selain daripada Majlis Raja-raja dan Majlis Agama Negeri-negeri. Sebagai badan perundangan tertinggi, tiada batas syarak secara jelas dinyatakan yang menghadkan bidang kuasa Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam menjalankan tugasnya, kecuali beberapa peruntukan berkenaan Islam, Melayu dan Institusi Raja yang dijadikan benteng perlindungan bagi kedudukan Islam.
11. Hisbah: Analisa sejarah telah membuktikan bahawa undang-undang Islam yang ada di Malaysia pada hari ini sebenarnya telah lama wujud dengan bertapaknya Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-13 lagi. Bagaimanapun, selepas era penjajahan sehingga ke saat ini, peruntukan bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam hal berkaitan dengan agama Islam adalah sangat terhad dan hanyalah tertumpu kepada undang-undang diri (personal law) dan kesalahan- kesalahan agama sahaja. Perkara-perkara yang diperuntukkan secara khusus sahaja seperti kawalan pengembangan ajaran agama; dan hal-hal mengenai fatwa yang akan tertakluk kepada undang-undang Islam dan selainnya tertakluk kepada undang-undang sivil.
Selain masalah keterbatasan bidang kuasa, penguatkuasaan undang-undang syariah sekarang mendapat tentang terang-terangan daripada parti-parti politik dan pihak yang mewakili agama lain terutamanya agama Kristian, seperti bantahan terhadap tindakan rampasan Bible berbahasa Melayu oleh JAIS. Tindakan menangkap muslimah yang meminum arak di khalayak ramai juga telah disensasikan oleh organisasi fahaman liberal sebagai melanggar hak asasi manusia.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pentadbiran undang-undang syariah telah mengalami kemajuan berbanding zaman dahulu dengan perkembangan terkini hasrat kerajaan untuk menaik taraf sistem perundangan syariah di negara ini dengan menambah peringkat mahkamah itu daripada tiga kepada lima. Kedudukan undang-undang syariah di antara keterbatasan bidang kuasa, sumber manusia dan usaha pemajuan taraf oleh kerajaan sebenarnya masih dikira belum dapat memainkan peranan hisbah seperti yang sepatutnya.
12. Penyesuaian dalam kerangka pluralisme politik: Menurut Prof Dr Solah as-Sowy, Fekah Siyasi Islami telah memperkenalkan sistem Wizarah. Ia mula diperkenalkan ketika zaman Khilafah Abbasiyah, berfungsi membantu Khalifah menjalankan tugas-tugas pemerintahan. al-Mawardi telah membicarakan tentang dua jenis Wizarah, iaitu Wizarah Tafwidh dan Wizarah Tanfiz. Wizarah Tafwidh mendapat mandat daripada Khalifah untuk menjalankan tugas pemerintahan menurut ijtihad dan pandangannya. Manakala Wizarah Tanfiz pula hanya menjalankan arahan-arahan Khalifah berkaitan urusan pentadbiran tanpa kuasa seperti Wizarah Tafwidh. Wizarah Tanfiz hanya bertindak sebagai wakil Khalifah sahaja di depan rakyat.
Secara perbandingan masa kini, Wizarah Tafwidh adalah kementerian-kementerian yang diketuai oleh Perdana Menteri yang menjalankan tugas pentadbiran negara dengan kuasa penuh, manakala Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengambil tempat al-Imam iaitu Ketua Negara. Wizarah Tanfiz boleh disamakan dengan Jabatan-jabatan Kerajaan yang diketuai oleh Ketua-ketua Pengarah yang menjalankan tugas berdasarkan arahan daripada kementerian masing-masing.
Berdepan kemelut persaingan parti-parti politik dan badan-badan sosial dalam kerangka pluralisme politik di negara ini, para politikus muslim dan parti-parti orang Melayu perlu menjaga beberapa perkara pokok berikut:
1) Memastikan kepelbagaian parti dan aliran itu berada dalam kerangka Islam; tidak membawa dasar dan pendekatan perjuangan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan yang menyesatkan umat Islam.
2) Mengutamakan kepentingan dan maslahat tertinggi Islam dan negara sebagai noktah persepakatan antara parti-parti yang berbeza-beza.
3) Meletakkan kebenaran sebagai paksi komitmen mengatasi paksi kepartian; menghindarkan ketaksuban parti sebagai neraca dalam membuat keputusan.
4) Kesetiaan pada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai simbol penyatu bagi seluruh rakyat dan negara. Kedudukan Baginda yang berada jauh daripada pertelingkahan dalam pluralisme politik merupakan status yang sesuai sebagai tempat rujuk di ketika berlaku krisis politik yang memuncak.
Penutup
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan adalah jelas sekali Malaysia bukan negara sekular, sebaliknya negara ini adalah negara beragama dan agamanya ialah Islam. Bagaimanapun ia adalah negara beragama yang mempunyai banyak kelemahan. Bukan sekadar kelemahan dari sudut pelaksanaan konsep negara Islam yang sebenar, bahkan lebih kritikal lagi ialah kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan yang hanyalah sekadar melindungi agama suci itu kini sudah mula dicabar oleh rakyat bukan Islam terutamanya pertubuhan-pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina dan Kristian.
Justeru umat Islam, terutamanya para pemimpin politik beragama Islam, khususnya mereka yang masih ingin memperjuangkan konsep negara Islam digesa agar segera sedar dengan senario politik negara dan tidak mudah terperangkap dalam peperangan persepsi yang dilancarkan oleh Barat dan agen-agennya dalam negara ini yang melemparkan pelbagai imej buruk dan hodoh terhadap konsep negara Islam. Di samping itu, para pemimpin ini juga diseru agar tidak terperangkap dalam persaingan pluralisme politik yang tidak mengenal hak dan batil, yang akhirnya membawa kerugian dan mengakibatkan projek mendirikan sebuah negara Islam yang sempurna terbengkalai ditelan kerakusan politik kepartian.
Rujukan
Muhammad at-Tohir Ibnu Asyur. 2014. Maqasid Syariah Islamiah. Kaherah: Darus Salam.
Solah as-Sowy. 2010. Taadudiah Siyasiyah Fi Daulah Islamiah. Kaherah: Daru Iĺam Dauli.
Ali Jabir al-Abdul Syarud. 2011. Taadudiah Hizbiyah Fi Zil Daulah Islamiah. Kaherah: Daru Salam.
Al-Imam As-Syatibi. 2011. al-Muwafaqat. Beirut: Resalah Publishers.
Mujibu Abd Muis, Zaliha Hj. Hussin & Badrul Azmier Mohamed@ Bakar. 2010. Perubahan Generasi dan Perkembangan Demokrasi di Malaysia Pasca Pilihan Raya Umum ke-12. Sintok: Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia.
Raja Nazrin Shah. 2012. TITAH DIRAJA: INSTITUSI RAJA BERPERLEMBAGAAN; KELANGSUNGAN NEGARA BANGSA. Kuala Lumpur: http://www.isis.org.my/attachments/1280_Raja_Nazrin_Syarahan_Perdana_Bu daya_07Nov2012.pdf dilayari pada 15hb Okt. 2014.
Nazri Muslim & Ahmad Hidayat Buang. Jurnal Kemanusiaan Bil. 20, Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif Hubungan Etnik Di Malaysia. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
MOHD IZHAR ARIFF MOHD KASHIM et al. 2012. PENENTUAN CIRI NEGARA ISLAM MENURUT PEMIKIRAN EMPAT MAZHAB FIQAH. Bangi: Institut Islam Hadhari
Alias Azhar & Mohamad Azam Hussain. 2012. PERLUASAN SKOP UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA: APLIKASI DAN IMPLIKASINYA. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Badrul Azmier Mohamed et al. 2010. Sejauh Mana Peranan Agama Dalam Politik Malaysia. Sintok: Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia.
Raja Nazrin Shah. 2008. TITAH DIRAJA: INSTITUSI BERAJA. Kuala Lumpur: INTAN. https://openlibrary.org/books/OL23537739M/Institusi_Beraja dilayari pada 16 Okt. 2014
Thomas B. Pepinsky. 2013. Pluralism and Political Conflict In Indonesia. New York: Cornell University
Abdul Al Ahmad Atwah. 1993. Madkhal Ila Siyasah Syariyah. Riyadh: Imam Muhammad Ibn Saud University.
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/penafian/1201-demokrasi-berparlimen.html
[1]Dibentangkan pada 25 Oktober 2014 di Simposium Pemikiran Politik Islam, anjuran Majlis Ulama Isma, bertempat di Auditorium Abu Zarim, ILSAS UNITEN.
[2]Ahli Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia.
——————————–
Softcopy semua kertas kerja Simposium Pemikiran Politik Islam anjuran Majlis Ulama ISMA (MUIS): http://bit.ly/kertaskerjasppi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan