Semua pelajar IPT wajib ambil kursus peradaban Melayu dan Malaysia
TANJUNG MALIM, 31 Oktpber – Institut Peradaban Melayu (IPM) mengesyorkan supaya semua pelajar termasuk pelajar asing di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini harus diwajibkan mengikuti kursus peradaban Melayu dan Malaysia.
Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar berkata, pelajar IPT wajib mengikut kursus peradaban terutama mata pelajaran bahasa, kebudayaan, kesusasteraan Melayu dan sejarah masyarakat negara ini.
Katanya, kursus berkaitan peradaban seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) perlu diperkasakan bagi melahirkan pelajar yang berkualiti, modal insan yang bermutu, berdisiplin, mengikut ajaran Islam dan taat kepada perlembagaan dan warisan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada syarahan perdana bertajuk ‘Gagasan dan Cabaran Dalam Memartabatkan Peradaban Melayu’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Bagi memperkasa dan memartabatkan warisan peradaban Melayu dan Malaysia, Abdul Latif mencadangkan supaya IPT menubuhkan institut atau pusat bertaraf fakulti bagi memperkenalkan kursus berkaitan peradaban.
Beliau berkata IPTA boleh memperkenalkan kursus peringkat sarjana dan doktor falsafah serta menjalankan penyelidikan tentang peradaban dengan mengutamakan mata pelajaran bahasa, kesusateraan, kebudayaan, agama Islam serta sains dan teknologi.
Selain itu, katanya bahasa Melayu hendaklah dihayati oleh semua pihak terutama kepemimpinan kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan melaksanakannya di semua peringkat seperti bahasa kebangsaan yang diamalkan oleh negara maju seperti China, Jepun, Jerman dan Itali. — BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan