Suburkah tawakkal di hatiku?


Ketika Khubaib bin Adi hendak dijatuhkan hukuman setelah ditangkap bersama pasukan pengintip yang dihantar Rasulullah ke Mekah, beliau meminta kepada Algojo untuk solat dua rakaat dahulu. Dalam ratib terakhir Khubaib, beliau tetap meminta setelah dia gugur, dia berharap Allah memberkahi jasadnya yang dirobek-robek kaum Quraisy, bukan meminta agar Allah menyelamatkannya daripada saat-saat getir tersebut. Jernihkan hatinya?

Begitu menakjubkan sekali sifat tawakal yang ditonjolkan oleh Khubaib. Ketika berhadapan dengan garis pemisah antara hidup dan mati sekalipun, dia tetap tenang, pasrah dan berupaya khusyuk dalam solatnya.

Saudaraku sekalian,

Tawakkal adalah sebuah perasaan dan suasana hati yang indah dianugerahkan oleh Allah swt kepada jiwa-jiwa yang suci mengesakan-Nya. Tawakkal bergerak seiring dengan keimanan seseorang. Sejauh mana dia meletakkan keimanannya kepada Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, maka semanis itulah tawakkal yang akan dia rasa. Jiwanya akan merasa cukup dan senang dengan segala keputusan yang dibuat, tiada rasa gusar, gelisah, paranoid, sehingga mengancam keadaan mental dan jiwanya. Dia membulatkan tekad, berasa senang dengan ujian atau ganjaran yang menimpa. Allah S.W.T. berfirman dalam Al-Quran,

“… Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…” (At-Talaq : 3)

Dalam kehidupan seharian, kita selalu berhadapan dengan situasi yang akan menguji rasa tawakkal kita kepada Allah. Meninggalkan rumah tanpa penghuni, memandu kereta ke tempat kerja, melaksanakan tugas-tugas pejabat, meninggalkan anak-anak di pusat asuhan, meletakkan kereta di tempat parkir dan banyak lagi. Apatah lagi bagi ndividu yang pekerjaannya berkait rapat dengan keselamatan nyawa baik individu mahupun masyarakat.

Sebagai contoh, seorang arkitek harus meletakkan tawakkalnya kepada Allah setelah bersusah-payah melukis garis-garis senibina sesebuah bangunan. Bayangkan sekiranya terdapat kesilapan satu sentimeter sekalipun, ianya memberikan kesan yang buruk jika disalah terjemah dalam struktur binaan yang sebenar. Bangunan mungkin tidak kukuh dan boleh roboh seterusnya mengorbankan banyak nyawa.

Begitu juga dengan kerjaya seorang doktor, sehebat mana pun usaha diagnostik yang dilakukan oleh seorang doktor, sifat tawakal ini harus wujud kerana keadaan jasad tubuh badan manusia itu tetap misteri dan bukan seratus peratus boleh dijelaskan dengan teori. Salah penawar untuk penyakit, boleh menjadi racun kepada tubuh badan pesakit.

Saudaraku,

Dalam kitab Mukhtasar Minhajul Qasidin, Imam Ahmad ada menceritakan ada dua perkara yang boleh mengganggu rasa tawakkal kita kepada Allah iaitu:

  1. Keyakinan yang lemah bahawa Allah bersifat Maha Sempurna ilmu. Maksudnya, kita perlu yakin dengan ilmu Allah yang tiada pengawal dan pengakhiran. Setiap musibah atau rahmat yang telah, sedang dan akan berlaku adalah dalam kekuasaan ilmu Allah S.W.T.
  2. Hati yang lemah kerana dikuasai oleh sifat pengecut serta terganggu dengan sangkaan-sangkaan negatif yang menguasai diri. Walaupun keyakinannya kepada Allah swt telah ada, namun sifat pengecut natijah daripada sangkaan negatif merencat usahanya untuk mendapatkan sesuatu.

Sebagai contoh, ada sesetengah orang berasa takut melihat mayat walaupun mereka yakin seratus-peratus bahawa mayat itu kaku dan tidak mampu berbuat apa-apa. Kaku seperti objek kaku yang lain seperti meja, kerusi dan pasu bunga. Justeru, tawakkal tidak akan sempurna kecuali dengan keyakinan yang jitu dan jiwa yang kental.

Tawakkal yang sempurna tidak akan berlaku tanpa usaha yang keras. Tiada tawakkal tanpa usaha. Ibarat tidak akan kenyang seseorang jika tangannya tidak menyuapkan nasi ke mulut. Manusia yang hanya melihat makanan berada di atas meja kemudian dia bertawakal untuk kenyang adalah songsang dari konsep tawakkal yang sebenar. Mata harus melihat, tangan harus menyuap dan mulut harus mengunyah makanan untuk dicerna dan hanya selepas itu kita akan merasa kenyang.

Barah dan parah, kerana sebilangan daripada kita meletakkan tawakkal dahulu mendahului usaha. Dengan itu popularlah slogan, ‘apa nak jadi, jadilah’ atau ‘biarkanlah, tak apa’. Slogan ini menggambarkan sifat tawakkal yang disertai dengan usaha yang tidak bersungguh-sungguh. Individu seperti ini seperti sudah lemah azam dan enggan menghilangkan musibah yang bakal menimpa sebaik mungkin.

Ada juga manusia yang takbur. Bagaimana? Dengan meninggalkan tawakkal. Dia merasakan dirinya seratus-peratus sempurna dan hasil kerjanya tiada kecacatan langsung. Tiada langsung dari sudut jiwanya untuk mendoakan hasil yang akan menimpa sesuatu yang baik. Dia megah dengan usahanya, dia yakin dia akan berjaya tanpa bantuan daripada Allah S.W.T. Dia bangga menceritakan bahawa kejayaanya adalah kerana usaha kerasnya selama ini. Pernahkah kita mendengar kisah orang yang jatuh miskin di akhirat dan dibentengi dari memasuki syurga Allah? Merekalah orang yang beranggapan bahawa mereka memasuki syurga adalah kerana usaha keras mereka dan bukan atas keredhaan, kasih sayang dan rahmat yang Allah berikan, hasil dari secebis tawakkal di dunia.

Sedarlah kita ketika Nabi S.A.W. berdoa:

“Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku pohon taufiq-Mu kearah amalan yang Engkau redhai, tawakkal yang benar kepada-Mu serta bersangka baik dengan-Mu.”

Nabi yang dijanjikan kejayaan untuk berada di syurga oleh Allah S.W.T. pun masih bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah agar amalannya diterima beserta tawakkal yang benar, lalu di manakah letaknya diri kita yang acap kali melupai jalan-jalan keredhaan Allah S.W.T. Semoga kita dapat mendalami sifat tawakkal, kerana hati yang bertawakkal, dikurniakan rasa tenang, syukur dan dekat dengan Allah S.W.T.

Wallahu’alam.


Mohammed Rasheedan b Ellin
Biro Dakwah ISMA Samarahan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?