Ummu Salamah, wanita mulia antara dua hijrah

Gambar penulis bersama suami berlatarbelakangkan Bukit Thur.

Tahun lepas, beberapa hari sebelum jamaah haji mula bergerak ke padang Arafah untuk wukuf, mutawif haji saya membawa rombongan kami meninjau ke kawasan-kawasan di sekitar Mekah al-Mukarramah. Tempat persinggahan pertama kami ialah Jabal Thur atau Bukit Thur, di mana di atasnya terletak Gua Thur lokasi Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar radiyallahuanhu (R.A.) berlindung daripada ancaman kaum Quraisy yang ingin membunuh baginda S.A.W.
Saya ketika itu, memandang panorama bukit dari sudut sejarah yang ringkas, menghargai susah payah pendakian bukit berbatu oleh dua lelaki mulia berusia 50-an. Rasulullah S.A.W. ketika itu berumur 53 tahun, dan Abu Bakar R.A. hanya dua tahun lebih muda daripada sahabat baiknya. Saya mengamati dari sudut ini, sehinggalah mutawif saya berkata:
“Di atas bukit itulah, pemisahan yang haq dan batil berlaku. Bukit itulah ‘turning point’ bagi yang haq dan batil.”
Kata-katanya ringkas, namun menusuk jauh ke dalam jiwa. Betapa susah dan payahnya Rasulullah S.A.W. dan para sahabat baginda, berhijrah meninggalkan kampung halaman tercinta, membina Islam di tempat yang baru, menjadikan Islam suatu agama yang menjadi asas dalam setiap sendi kehidupan, Islam yang bernegara dan berkerajaan, tidak terpisah sedikit pun dengan seruan tauhid mengajak setiap manusia menyembah Allah yang Esa. Tiada pemisahan agama dan pemerintahan.
Lantas saya teringat wanita-wanita yang berhijrah. Saya mencari semula kisah-kisah mereka. Saya teringat pengorbanan mereka menumpahkan keringat, mencabar daya kudrat mereka yang tidak seberapa dan melawan emosi dalam mereka berjuang bersama Rasulullah S.A.W. membina Islam yang kita nikmati hari ini. Di antara mereka yang tersimpan kemas di lipatan sejarah ialah Ruqayyah binti Rasulullah S.A.W., Sahlah binti Suhail bin Amr, Asma binti Umays dan Ummu Salamah. Dalam ruang terbatas ini, marilah kita mengenali hijrah Ummu Salamah.
HIJRAH UMMU SALAMAH KE HABSYAH
Dilahirkan sebagai Hind binti Huhayfah ibn al-Mugheerah al-Makhzoomi, berasal daripada kabilah yang mulia dan terkenal iaitu Makhzoom, Ummu Salamah mengahwini ‘Abdullah ibn ‘Abdul-Asad juga dikenali sebagai Abu Salamah. Pasangan bahagia ini adalah antara kumpulan pertama memeluk Islam dan dikatakan wanita yang pertama berhijrah ke Habsyah.
Apabila penentangan ke atas kaum Muslimin di Mekah meningkat, Rasulullah S.A.W. mengizinkan sahabat-sahabat baginda berhijrah ke Habsyah agar mereka tidak terus-menerus digasak keimanan mereka.
Bagi seorang wanita, bukanlah sesuatu yang mudah mengembara ke tempat baru, asing dari tempat asal dan sanak saudara. Tambahan pula ketika itu, terlalu sedikit maklumat yang diketahui tentang Habsyah dan keadaan perjalanan yang bakal ditempuhi.
Ummu Salamah bersama suaminya, berhijrah ke Habsyah dengan bergerak dari Mekah ke kawasan persisiran pantai yang kini dikenali sebagai Jeddah. Dari situ mereka terpaksa menggunakan kapal laut belayar ke Habsyah, berlabuh di persisiran pantainya, sebelum meneruskan perjalanan menuju ke ibu kota Habsyah yang lebih jauh ke dalam pedalaman. Pendek kata, penghijrahan pertama ini memaksa kaum Muslimin merentasi padang pasir di dua negara, di bawah panahan matahari terik, melalui lautan luas terbentang dan menyeberangi hutan-hutan Afrika sebelum sampai ke Kota Habsyah di mana Raja Najasyi bersemayam. Perjalanan yang amat memeritkan. Bukan perjalanan  percutian, sebaliknya sebuah perjalanan memohon perlindungan sementara bagi meneguhkan iman ke atas agama yang baru berkembang.
PULANG KE MEKAH
Bertahun Ummu Salamah menetap sebagai imigran di Habsyah sehinggalah berita pengislaman Umar bin Al-Khattab dan Hamzah bin ‘Abdul Muttalib tiba kepada mereka dan menggembirakan mereka. Kerinduan yang menggamit kepada tanah air memaksa Ummu Salamah dan suaminya mengambil keputusan pulang ke Mekah dengan harapan pengislaman dua tokoh utama kaum Quraisy berjaya mengurangkan kezaliman Abu Jahal dan konco-konconya ke atas Islam.
Apabila sampai di Mekah, rupa-rupanya kaum musyrikin Quraisy tidak sedikit pun mengurangkan penentangan mereka. Ummu Salamah ketika ini sudah mempunyai seorang cahaya mata bernama Salamah.
Rasulullah SAW kemudiannya menandatangani Perjanjian ‘Aqabah bersama kaum Ansar yang menjemput kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Kaum Muslimin diseru Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Madinah.
Maka di sinilah bermula penghijrahan kali kedua buat Ummu Salamah. Ketabahannya dalam menyahut seruan hijrah demi mempertahankan iman, tidak dapat kita gambarkan dengan kata-kata. Emosi seorang wanita, ibu dan isteri yang dipisahkan daripada keluarga kerana agama yang dipertahankannya.
Ummu Salamah menceritakan:
“Apabila suamiku Abu Salamah mengambil keputusan berhijrah bersama-sama Rasulullah S.A.W., dia menyediakan unta buatku dan anak lelakiku Salamah. Dia keluar mengepalai kami (keluar dari Kota Mekah). Apabila kaum lelaki dari Banu al-Mugheerah (kabilah keluarga Ummu Salamah) melihat suamiku, mereka menghalangnya dan berkata kepadanya “Kami tak boleh menghalang engkau pergi ke mana jua engkau mahu, tetapi tinggalkan saudara wanita kami (Ummu Salamah) ini di sini, kami tak boleh membenarkan dia di tanah asing.” Mereka mengambil tali unta dari suamiku dan membawaku pergi darinya.
Apabila Banu ‘Abdul-Asad (kabilah keluarga Abu Salamah) pula mendengar akan hal ini, mereka menjadi marah dan berkata “Demi Allah, kami tidak akan benarkan anak lelaki Abu Salamah bersama Ummu Salamah kerana Banu al-Mugheerah telah merampas Ummu Salamah dari saudara lelaki kami. Mereka mengambil secara paksa anakku Salamah dariku.
Begitulah Banu ‘Abdul-Asad pergi membawa Salamah, Banu al-Mugheerah menjadikanku tawanan, dan suamiku meneruskan penghijrahannya kerana patuh kepada Rasulullah S.A.W. Begitulah mereka memisahkan aku, suamiku dan anakku.”
Tidak dapat digambarkan keperitan dan emosi bagi seorang wanita yang dipisah-pisahkan daripada keluarganya yang tercinta. Dipisahkan daripada anak yang kecil kerana tekanan kaum yang menentang Islam ketika itu.
Ia perpisahan yang paling perit dalam perjuangan menuju kepada Allah tetapi Allah tidak akan mensia-sia mereka yang berjuang di jalan-Nya melalui Surah al Kahfi ayat 30:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu, Kami tidak akan menghilangkan (mensia-siakan) pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.”
Apakah kebenaran yang lebih besar daripada mengorbankan diri ke jalan Allah dalam apa jua bentuk yang kita mampu? Adakah kita telah mengambil pengajaran daripada kisah Abu dan Ummu Salamah? Adakah kita dapat merenung dan mengaitkan perasaan dan pengorbanan mereka dengan apa yang kita kecapi sekarang, atau adakah bila kita memandang penceritaan sejarah mereka, ia tidak lebih daripada penceritaan sejarah siapa, apa dan di mana.
Kering.
Itulah perasaan yang meruntun saya ketika saya memandang Bukit Thur, dengan suatu pandangan baru. Pandangan yang merasai keperitan dan susah payah generasi terdahulu membina Islam, sedangkan kita merungkaikan Islam satu demi satu dengan kejahilan kita, dengan kealpaan kita, dengan keterpanaan kita kepada hawa nafsu berpandukan kepada apa yang dihajati oleh musuh-musuh Islam.
Ummu Salamah R.A. seterusnya menceritakan :
“Aku keluar setiap pagi dan duduk di Al-Abtah (Al-Abtah adalah sebuah bukit di Mekah, di mana beliau dipisahkan daripada suami dan anaknya, bermakna beliau menggagahkan diri keluar dari Kota mekah melihat ke arah Madinah), dan aku akan menangis sehingga petang.
Aku berkeadaan begini selama tujuh hari sehinggalah seorang sepupuku datang dan melihat air mataku berlinangan. Dia kemudiannya pergi kepada Banu al-Mugheerah (kabilahku) dan berkata “Tidakkah kamu sekalian mahu melepaskan wanita malang ini pergi? Kamu sekalian telah memisahkan dia daripada anak dan suaminya! Banu Al-Mugheerah kemudiannya berkata “Pergilah Ummu Salamah dan sertailah suamimu”.
Banu ‘Abdul-Asad kemudiannya menyerahkan semula anak lelakiku kepadaku.
Aku kemudiannya menyediakan kelengkapan untaku sendiri, memegang erat anak lelakiku dalam dakapan dadaku dan bersiap untuk ke Madinah. Tiada seorang pun bersamaku dan itulah saat yang paling sukar yang aku hadapi.
Apabila aku sampai ke Tan’eem (sebuah tempat di luar Kota Mekah) aku terserempak dengan ‘Uthman ibn Talhah dari Banu Ad-Dar. Dia bertanya kepadaku “Ke manakah kamu hendak pergi wahai anak perempuan Abu Umayyah?” Aku menjawab, “Aku ingin menyertai suamiku di Madinah.” Lantas dia bertanya lagi “Ada sesiapakah yang bersamamu?” Kujawab, tiada. Demi Allah, hanya Allah dan anakku sahaja yang bersama ku.”
Dia, ‘Uthman ibn Talhah berkata, “Demi Allah, kamu tidak akan pergi berseorangan.”
Dia memegang cemeti untaku, dan menuntunnya. Demi Allah, aku tidak pernah berada dalam perlindungan seorang lelaki Arab sebaiknya. Apabila sampai ke tempat tertentu, dia akan menghentikan unta agar aku boleh berehat, dan dia akan pergi jauh dari ku berteduh di bawah pokok. Apabila masa untuk berangkat tiba, dia akan membawa unta kepadaku, beranjak sedikit dan memerintahkan ku “Naik!”.
Apabila aku naik ke atas unta dan telah berasa selesa, dia sekali lagi akan memegang cemeti dan menuntun untaku. Begitulah keadaannya sehinggalah kami sampai ke Madinah. Apabila dia melihat perkampungan Banu ‘Amr bin Awf di Quba, dia mengatakan “Suamimu di kampung ini.” Dan benarlah, Abu Salamah berada di situ.”
Begitulah keluarga bertiga itu disatukan dengan ketabahan seorang wanita bernama Ummu Salamah. Keluarga itu kecil, tapi jihadnya terlalu besar dan bagaimana ia menjadi simbol kepada unit-unit kecil yang menjayakan hijrah, hijrah dari Mekah ke Madinah, berhijrah dari kejahilan kepada keimanan yang seterusnya berkembang ke seluruh pelusuk alam.
Ummu Salamah, wanita di antara dua hijrah itu, keluar dari Mekah berseorangan, hanya ditemani anaknya yang masih kecil. Kepercayaan dan ketaqwaan beliau kepada Allah, adalah dalam skala yang sukar kita gambarkan. Dan Allah telah membalas kepercayaannya itu, dengan menemukan beliau kepada seorang pemandu yang berakhlak,  ‘Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam ketika itu, di Tan’eem, sebelum Ummu Salamah pergi lebih jauh ke tengah padang pasir yang kaya dengan bukit bukau dan lembah serta bukit pasir (sandunes) juga haiwan buas dan reptilia yang sentiasa menunggu mangsa.
Benarlah janji Allah dalam Surah At-Talaq ayat 2 dan 3:
Maksudnya: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikannya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Maka jika kita masih di Mekah atau Madinah, atau jika kita akan ke sana suatu hari nanti menunaikan ibadat haji dan umrah, pandanglah Bukit Thur itu dengan suatu pandangan yang lebih bermakna. Itulah, titik tolak penghijrahan kita daripada yang batil kepada yang haq. Dan seinci pun, kita tidak akan berganjak ke belakang!
Rujukan: Muhammad Ali Qutb. Women Around The Messenger. 2008. International Islamic Publishing House (IIPH). Riyadh.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita ISMA

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?