Ustaz Fauzi nyah dakwaan Tan Lai Soon


Berikut merupakan wawancara wartawan ISMAweb bersama Naib Presiden 1 ISMA Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, membicarakan isu siapakah pendatang di Tanah Melayu.

Soalan: Boleh Ustaz ceritakan asal usul orang Melayu di tanah ini.

Pertamanya apabila kita melihat kenyataan (ahli Gerakan Tan Lai Soon) bahawa bangsa Melayu juga adalah pendatang, saya rasa kenyataan tersebut adalah kenyataan yang tidak wajar untuk disebut sebab ia amat bercanggah dengan segala fakta dalam sejarah sebagaimana yang dimaklumi oleh sesiapa pun.

Saya tidak pasti sama ada perwakilan Gerakan tersebut merujuk kepada mana-mana kajian untuk mengaitkan atau menyimpulkan bangsa Melayu adalah pendatang. Jika dia merujuk bahawa orang Melayu yang duduk di Malaysia sekarang ini datang dari Sumatera, Kepulauan Sulawesi, Kepulauan Borneo, maka dalam sejarah, ia tidak dipanggil bangsa pendatang. Orang Melayu yang berhijrah dari kawasan tadi, kita gunakan istilah sebagai perantau. Sebabnya, bila kita sebut Tanah Melayu, Tanah Melayu bukan merujuk kepada Malaysia sahaja. Tanah Melayu merupakan satu wilayah yang cukup luas.

Sekiranya kita melihat utaranya itu bermula dari Champa yang sekarang ini dikenali sebagai Vietnam, terus turun sampai ke Ayutthaya, Langkasuka yang sekarang ini dah jadi Thailand, terus sampai ke negara kita, sampai ke Singapura, turun lagi sampai ke Kepulauan Riau Lingga. Kemudian di sebelah baratnya, Sumatera keseluruhannya, turun lagi ke bawah Kepulauan Jawa, kemudian naik semula ke atas Kepulauan Sulawesi, Borneo dan Filipina.

Jadi itu merupakan rantau yang dipanggil sebagai rantau Melayu. Kenapa dipanggil rantau Melayu? Kerana mereka bertutur dalam bahasa Melayu dan mereka mengamalkan adat istiadat dan budaya Melayu secara saksama. Kalau kita lihat orang di Borneo, di Filipina, Maguindanao, Luzon dan sebagainya. Begitu juga jika di Sumatera, Jawa, mereka menggunakan nama-nama Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi itu dipanggilnya rantau Melayu. Rantau Melayu ini adalah rantau yang mana orang berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi. Ia tidak dipanggil sebagai pendatang. Ia dipanggil sebagai perantau. Istilah itu lebih tepat.

Jadi bila kita kata bahawa orang selain Melayu adalah pendatang, mungkin mereka akan sensitif dengan perkataan ‘pendatang’. Tetapi kalau mereka nak tukar, mereka tukarlah. Yang penting untuk kita katakan di sini ialah orang selain bangsa Melayu itu sebenarnya mereka ada tempat asalnya. Jadi bermakna mereka bukan berasal dari rantau ini. Orang Cina berasal dari Tanah Besar China, orang India berasal dari tanah besar India. Kalau ada di sini saki baki keturunan orang Portugis, Belanda, mereka berasal dari Eropah. Jadi mereka ada tanah asal mereka, dan mereka datang ke sini. Kalau sensitif gunakan perkataan pendatang, gunalah apa-apa istilah pun. Tetapi mesti menunjukkan bahawa mereka itu datang dari tanah asal mereka dan masuk ke sini (Tanah Melayu).

Manakala Melayu tidak boleh disebut sebagai pendatang sebab telah bertapak lama di sini dan kemudian ini merupakan rantau di mana mereka berpindah randah dan itu dinamakan sebagai adat merantau. Jika kita mengambil teori yang sekarang ini dipopularkan oleh pakar-pakar arkeologis dan pengkaji DNA dan seumpamanya, mereka mengatakan orang Melayu sudah bertapak di sini sejak penghijrahan awal manusia lebih kurang 35,000 tahun Sebelum Masihi lagi. Maknanya dia bukan datang dari satu tempat seperti ada satu teori mengatakan datang dari Yunan utara turun ke sebelah Selatan. Teori ini mudah disanggah dengan teori baru ini kerana apa, kerana penghijrahan yang dikatakan turun dari Yunan ke sebelah selatan Tanah Melayu ini, bila dikaji DNA, penduduk di Yunan tidak ada yang memiliki DNA Melayu. Jadi adakah dikatakan semua di Yunan itu berhijrah ke sini? Tidak masuk akal.

Kemudian penghijrahan yang dikatakan dari Yunan ke Tanah Melayu ini dikatakan merujuk kepada satu tempoh antara 1500-2500 tahun Sebelum Masihi, sedangkan bukti sudah ada menunjukkan bahawa sudah ada manusia-manusia moden yang duduk di sini sekitar 15,000 tahun ke 35,000 tahun yang lepas. Sudah ada tamadun, artifak djumpai. Sudah ada tulang yang berusia puluhan ribu tahun.

Jadi maknanya, penghijrahan manusia awal sudah berlaku sebelum penghijrahan dari Yunan. Ini menunjukkan bahawa penduduk di sini yang dipanggil Melayu, dia telah datang daripada sama ada dari Timur Tengah atau dari Afrika, dia bergerak terus menuju ke timur, duduk di suatu selat atau kepulauan yang dipanggil Pulau Sunda. Jadi Pentas Sunda itu menjadi tempat untuk orang Melayu duduk. Jadi ia adalah penempatan awal, bukannya datang dalam 200 tahun lepas, 300 tahun lepas, tetapi dah puluhan ribu tahun telah bertapak di sini. Maknanya teori mengatakan Melayu penduduk asal adalah satu teori yang cukup kuat.

Jadi apabila pemimpin Gerakan itu mengatakan bahawa Melayu juga adalah pendatang, kita kena tanya semula kepada beliau, apa maklumat yang dia ada sampai dia sebut begitu? Sebab saya tidak nampak dia merujuk kepada mana-mana fakta ilmiah.

Soalan: Bagaimanakah sejarah kedatangan bangsa Cina dan India ke Tanah Melayu?

Cina dan India datang berperingkat-peringkat. Jika dilihat pada sejarah, Cina ada yang datang sejak zaman Portugis lagi. Kemudian mereka datang dengan begitu pesat pada kurun ke-18, setelah masuknya British. Di zaman Portugis, mereka masuk begitu ramai duduk di Melaka dan beranak pinak. Di zaman Belanda, mereka tidak masuk begitu ramai, tetapi di zaman Inggeris mereka masuk begitu ramai. Apabila Francis Light datang, berlaku peristiwa pajakan Pulau Pinang 1786, Perjanjian Pangkor 1874, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Perjanjian Stamford Raffles dan Temenggung Johor 1819, Perjanjian Inggeris dengan Pahang 1887. Semua siri perjanjian ini adalah disusuli dengan usaha British membawa masuk Cina dan India untuk membantu mereka. Pada kita, Cina dan India adalah penduduk yang asalnya dari tempat lain datang ke sini dibawa oleh British untuk membantu British dalam segala maslahah dan kepentingan British di Tanah Melayu.

Satu persoalan yang harus kita faham, sebelum penjajahan ini berlaku, sebenarnya dunia Melayu ini telah berubah menjadi dunia Islam. Ada sistem, ada kerajaan. Contohnya jika kita kata kerajaan Melayu Champa, ia sudah ada sejak kurun ke-10 atau ke-11. Selain itu kerajaan Perlak, kerajaan Acheh, kerajaan Samudera Pasai, itu sudah ada pada kurun ke-10 dan 11 dan seumpamanya. Campur lagi dengan teori bahawa kerajaan Melaka diasaskan pada 1262, maknanya di Tanah Melayu ini sudah ada kerajaan bermula sejak pertengahan kurun ke-13.

Ditambah lagi dengan sejarah kerajaan Islam di Borneo, Brunei, sejarah Islam di Filipina. Dan Manila itu, Pulau Luzon itu sebenarnya adalah wilayah kekuasaan Islam. Di mana di sana ada sultan dan nama Manila itu sendiri berasal daripada Fi Amanillah, bandar di bawah naungan Allah. Campur lagi dengan Sulawesi. Jadi maknanya, dari Champa sampai terus ke Riau Lingga, Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Filipina, Brunei, dan semua ini adalah merupakan satu kerajaan Islam. Ia telah diisytiharkan sebagai kerajaan Islam untuk berkurun-kurun. Dengan erti kata rajanya memerintah dengan sistem Islam, undang-undang Islam, budaya yang diamalkan budaya Islam, ulamanya ramai, adat istiadat Islam.

Apabila datang penjajahan, penjajah mula mengubah sedikit demi sedikit. Kemudian apabila merdeka, orang mula lupa sejarah, terutamanya sebahagian daripada kaum Cina dan India. Mereka menuntut supaya kita lupakan sejarah dan mulakan sejarah baru bermula dengan kemerdekaan. Jadi mereka kata, selepas merdeka, mereka sudah duduk di sini, jadi sepatutnya kita bina negara baru.

Saya tidak setuju dengan cadangan itu kerana sepatutnya kita perlu lihat kembali kita punya sejarah. Sejarah kita adalah negara Islam. Siapa yang duduk di sini, orang Islam, orang bukan Islam mesti akur untuk duduk dengan konsep negara yang asal. Sebab itu bila kita kata Tanah Melayu merupakan tanah Islam, bumi ini bumi Islam Melayu, itu adalah konsep negara yang sudah bertapak berkurun-kurun sebelum penjajahan. Bahkan semasa penjajahan pun, pejuang Islam masih memperjuangkan konsep itu sampai kepada perjuangan dalam membentuk perlembagaan pun, mereka cuba memasukkan perkara-perkara yang berkait dengan kedudukan Islam dan Melayu supaya generasi seterusnya (selepas kemerdekaan dengan menggunakan perlembagaan itu), mereka boleh bina balik negara berdasarkan kepada konsep asal negara sebelum zaman penjajahan.

Jadi bila kita bercakap mengenai bangsa luar yang datang ke Malaysia yang menuntut ubah konsep, minta sama rata dan seumpamanya, mereka sebenarnya tidak faham tentang konsep negara asal. Contoh, jika kita beramai-ramai pergi ke negara China dan menuntut mengubah konsep negara tersebut, pasti mereka tidak akan bersetuju. Mana-mana negara pun tidak bersetuju. Jika kita pergi ke Amerika, Amerika telah bertapak dengan konsep sekarang sejak pertengahan kurun ke-18. Jadi adakah satu cadangan daripada sesuatu pihak dengan mudah boleh diterima oleh Amerika untuk mengubah konsep negara mereka? Mereka tidak akan ubah. Australia ke, Eropah ke, India ke, China ke, mereka sudah ada konsep yang digunakan sejak berkurun-kurun. Walaupun orang datang duduk di situ 100 tahun dan meminta untuk mengubah dan melupakan sejarah dan bina konsep baru, adakah mereka akan bersetuju?

Jadi logiknya, orang Islam Melayu di sini untuk tidak bersetuju terhadap beberapa tuntutan yang dituntut. Sebab itu dalam isu ini kita mahu pertegaskan konsep bahawa negeri ini, negara ini adalah merupakan Tanah Melayu dan negeri ini adalah tanah Islam. Semua orang perlu bersetuju dengan konsep ini dan konsep ini telah pun dipersetujui oleh datuk nenek moyang mereka ketika kemerdekaan dulu. Jadi itulah hakikat kedatangan bangsa China, India dan bangsa lain ke Tanah Melayu.

Soalan: Apabila hakikat ini difahami oleh semua orang, adakah negara ini akan harmoni?

Sebenarnya, kita pernah hidup dalam keadaan harmoni. Kita juga pernah hidup dalam keadaan huru hara, pernah bergaduh. Pergaduhan antara kaum pernah berlaku, rusuhan kaum pernah berlaku. Bukan 13 Mei sahaja, pada 1945 berlaku interragnum, pembunuhan antara Cina dan Melayu berlaku, selepas Bristish keluar dan Jepun masuk, selepas itu pernah juga berlaku pergaduhan di Lombong Larut, pergaduhan di Lombong Lukut, tapi akhirnya selepas kemerdekaan, apabila kita telah bersetuju dengan beberapa konsep tertentu, bersetuju dengan kontrak sosial, kita hidup aman dalam puluhan tahun. Punca keamanan apabila semua orang menghormati perlembagaan dan kontrak sosial.

Orang faham sejarah lepas dan orang tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama. Sebab itu bila ada seruan supaya ubah kontrak sosial, perlembagaan, bagi kita, itu mencabar suatu doktrin negara yang telah menyebabkan keadaan harmoni selama ini. Kita tidak pernah halang orang yang luar yang sudah menjadi warganegara atau yang belum menjadi warganegara untuk mencari rezeki. Siapa jutawan paling kaya di Malaysia?

Berapa ramai Cina berbanding Melayu? Jadi apa lagi yang mereka mahu? Sekolah Cina ada, sekolah India pun ada. Semua itu mereka kecapi yang mungkin mereka tidak kecapi jika mereka berada di negara asal mereka.

Jadi maknanya jika kita faham konsep syukur dan faham konsep berterima kasih, kita akan berterima kasih dengan ucapan yang sungguh-sungguh dengan ikhlas. Sebabnya dari segi sejarah, kita lihat contoh, bangsa luar apabila masuk ke mana-mana negara adakah akan diterima sebagai warganegara dengan mudah? Tidak akan diterima dengan mudah. Tetapi sejarah membuktikan orang Melayu dengan toleransi yang tinggi, pada tahun 1957, memberikan kewarganegaraan kepada lebih sejuta orang dengan pemberian yang mudah. Jadi jangan lupa sejarah itu.

Kita ok, tidak ada masalah, hidup mereka tidak diganggu. Oleh itu, jangan sesekali menyentuh semula perjanjian semasa kemerdekaan yang sebenarnya telah mengharmonikan hubungan antara kaum. Sekali mereka sentuh, orang Melayu pun akan sentuh juga.

Tetapi sekarang ini orang Melayu tidak sentuh pun hak mereka, mereka berniaga, mereka buka pasaraya, mereka buka kedai makan, mereka bergerak dengan aman, mereka bebas mengamalkan apa yang mereka mahu, mereka boleh bina kuil, bina tempat ibadat mereka, boleh berkumpul segalanya mereka boleh lakukan dengan bebas.

Sebagai seorang manusia, sebagai warganegara, saya rasa sudah cukup dengan apa yang mereka kecapi, sudah amat memadai dan sepatutnya diucapkan dengan ucapan terima kasih. Tetapi akhirnya sebahagian mereka menghasut supaya mereka dapat lebih sampai nak ubah konsep negara. Mereka cuba mahu runtuhkan perlembagaan, jadi macam mana Melayu tidak respon. Melayu akan respon dan membalas jika merasakan haknya terancam.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?