Ahli Parlimen muslim wajib sokong penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah
BANGI, 19 Nov – Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyeru kepada semua pimpinan umat Islam agar isu penaikan taraf Mahkamah Syariah dan penubuhan Mahkamah Persekutan Syariah dilihat dalam kerangka kepentingan Islam dan umatnya, bukan kepentingan politik.
Pengerusi MUIS, Prof Madya Dr Aznan Hasan berkata, menjadi kewajipan kesemua ahli Dewan Rakyat yang beragama Islam untuk menyokong sebarang usul yang berkaitan kepentingan Islam termasuklah berkaitan penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah jika dibentangkan di dalam dewan rakyat kelak.
Manakala kepada masyarakat dan pimpinan bukan Islam, MUIS memperingatkan dan menyeru mereka supaya menghormati Islam sebagai agama Negara seperti yang termaktub di dalam perkara (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Islam di Malaysia mempunyai kedudukan yang istimewa dan tersendiri maka perkara ini perlu disedari dan dihormati oleh semua pihak.
“Jadi sebarang usaha mempersoalkan kedudukan Islam di Malaysia pada hakikatnya adalah suatu usaha untuk menggugat keamanan yang telah lama kita kecapi,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan cadangan awal Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk memartabatkan perundangan syariah baru-baru ini telah ditentang golongan bukan Islam, antaranya MIC, MCA, DAP dan Gerakan.
Sebelum ini, Datuk Seri Jamil Khir menegaskan bahawa tahap bidang kuasa Mahkamah Persekutuan Syariah itu harus sama dengan Mahkamah Persekutuan Sivil.
Beliau dilaporkan berkata, lima peringkat mahkamah syariah itu turut melibatkan penubuhan Mahkamah Tengah Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.
Jelas Dr. Aznan, dalam isu ini MUIS menyokong sepenuhnya usaha ke arah penambahbaikan, pemerkasaan dan penaikan taraf mahkamah Syariah di Malaysia.
“Termasuk juga usaha ke arah penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah dan mempunyai tahap bidang kuasa yang sama dengan mahkamah sivil.
“Bagi saya, usaha tersebut merupakan salah satu langkah kearah mendaulatkan Islam khususnya pada sudut perundangan di Negara ini. Ia juga diharap dapat mengelakkan daripada keputusan-keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah daripada dicabar di Mahkamah Sivil,” ujarnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan