Soalan tambahan untuk Dr. Dzul dan Mujahid
Alhamdulillah Dr. Dzul dan Mujahid akhirnya menyatakan bahawa mereka tidak sokong pluralisme agama.
Walaupun agak lewat memandangkan implikasi berat telah berlaku kepada politik PAS, kecelaruan faham generasi-generasi baru terhadap politik bahkan hala tuju politik Malaysia secara keseluruhan, namun saya kira masih positif.
Dengan pernyataan itu mereka telah mengumumkan bahawa mereka hanya menyokong pluraliti yakni situasi kepelbagaian agama dalam masyarakat dan tasamuh antara penganut agama.
Sejak awal saya tidak menganggap itu sebagai titik perbezaan walaupun saya masih ‘reserve’ dengan huraian mereka berdua. Bahkan saya juga menganggotai jawatankuasa keharmonian antara penganut agama JKMPKA.
Sebenarnya apabila kita berbicara tentang pendirian Islam terhadap liberalisme dan pluralisme agama dari awal kita tidak maksudkan pluraliti agama dalam masyarakat. Entah kenapa mereka berdua ini memberikan takrifan berbeza kepada pluralisme dan mempertahankan dasar pluralisme tapi dengan maksud yang lain.
Panjanglah hujjah Mujahid dengan ayat Al-Quran dan hadith untuk membuktikan bahawa Islam menerima pluraliti yang membuatkan ramai yang terpinga-pinga.
Tak apalah saya terima penjelasan itu setakat itu Alhamdulillah. Untuk itu saya ada soalan tambahan kepada Dr. Dzul, Mujahid dan rakan-rakan mereka.
Sebagaimana yang kita tahu pluralisme ini bukan sahaja kefahaman tetapi ia adalah akidah dalam politik.
Oleh kerana anda mengatakan bahawa anda menolak pluralisme dengan erti menyamakan semua agama adakah itu bermaksud bahawa anda juga menolak ia sebagai akidah/pendekatan dalam politik anda?
Saya percaya anda tahu sepenuhnya PR dan NGO yang berjuang bersama dengannya mendokong fahaman libralisme dan pluralisme sebagai akidah dalam politik mereka.
Jesteru mereka menuntut kesamarataan antara agama dan pihak berkuasa tidak boleh masuk campur dalam hal agama.
Dan dengan itu juga PR memperjuangkan negara sivil tanpa agama. Dan saya faham bahawa anda semua pendokong politik sivil tanpa agama tersebut dan sistem dua parti yang berdiri atas landasan itu.
Di samping itu anda juga dengan konsisten sentiasa memihak kepada puak liberal yang memperjuangkan kebebasan (walau di luar batas syarak) dan juga puak-puak evangelis dan persatuan agama yang mendokong kesamaan agama.
Sebagai ahli politik saya percaya anda tentunya jelas bahawa rakan-rakan anda dalam pakatan, DAP, PKR dan puak-puak evangelis, Comango, BERSIH, IFC, MCCBCHST dan seumpama dengannya semuanya memperjuangkan pluralisme agama bukan sekadar menerima kepelbagaian agama seperti yang anda terangkan.
Adakah anda masih menganggap bahawa kepelbagaian agama dan pluralisme agama yang diperjuangkan oleh rakan-rakan anda dalam PR dan NGO bersama dengannya membawa maksud dan implikasi yang sama sehingga anda telah berjaya membentuk satu pakatan dan tahaluf atas landasan yang sama?
Adakah negara sivil yang mengasingkan agama dengan politik yang lahir daripada akidah pluralisme agama selari dengan cita-cita menegakkan sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama negara?
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan