Amaran angin kencang di perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 November - Amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Terengganu dijangka berterusan sehingga esok dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.
Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah berkata, keadaan itu juga dijangka membawa angin timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam.
"Mengikut bacaan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), keseluruhan ramalan hujan bagi tahun ini ialah sebanyak 3,400mm di mana dari tempoh 1 Januari hingga 5 November lepas, sebanyak 2,495mm hujan sudah direkodkan.
"Stesen data taburan hujan negeri Terengganu menunjukkan purata hujan antara satu hingga tiga milimeter (mm) setakat ini dan paras air sungai juga dilaporkan berada dalam paras normal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tiada amaran banjir dikeluarkan setakat ini dan semua jabatan dan agensi di peringkat negeri dan daerah yang terlibat dengan persediaan banjir telah dimaklumkan untuk terus bersiap sedia, katanya. - Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan