Bantahan Mujahid terhadap pengekalan Akta Hasutan – Apa komen peguam?
Seperti yang dijangka, Pakatan Rakyat adalah antara pihak yang kecewa dan membantah pendirian Perdana Menteri untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi Akta Hasutan.
ISMAweb telah menghubungi beberapa orang peguam untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung isu ini:
Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Gabungan Peguam-peguam ISMA (iPeguam)
Ada suatu yang tidak kena pada pembangkang apabila mempertikaikan sebarang perubahan polisi atau dasar yang tidak menyebelahi mereka atau menguntungkan agenda mereka. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu contoh bagaimana tekanan pihak pembangkang dan pihak-pihak yang sekepentingan dengan mereka telah “memaksa” dan “mendesak” pihak Kerajaan supaya tunduk kepada tekanan hingga akhirnya membawa kepada pemansuhan Akta ini.
Hari ini, semakin ramai yang mempersalahkan pihak Kerajaan kerana telah tunduk kepada tuntutan untuk memansuhkan ISA yang pada hakikatnya hanya membawa kesan buruk yang lebih membimbangkan kepada keselamatan negara.
Justeru, tidak perlu dikesalkan kenapa Perdana Menteri mengambil keputusan yang tepat pada masanya untuk mengekalkan Akta Hasutan dengan beberapa langkah pengukuhan. Pemansuhan ISA adalah salah satu sebab mengapa Akta Hasutan ini perlu dikekalkan. Lebih-lebih lagi apabila diambilkira insiden dan perkembangan semasa yang semakin menjurus kepada elemen-elemen anarkis dan anti-Perlembagaan yang sebahagiannya digerakkan oleh pihak-pihak yang rapat dengan pembangkang.
Untuk makluman dan pembetulan juga, Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) tidak diberi mandat untuk menggubal rang undang-undang. Ia hanyalah satu jawatankuasa yang antara lain berfungsi untuk memberi input kepada kerajaan dalam urusan memperkasakan agenda perpaduan nasional. MKPN (melalui beberapa ahli majlisnya) malah telah melangkaui bidangkuasanya dengan menggubal satu rang undang-undang (yang otoriti sebenar terletak pada Jabatan Peguam Negara) kononnya untuk menggantikan Akta Hasutan.
Adalah tidak tepat bagi Mujahid Rawa untuk mendakwa bahawa siri rundingan awam telah diadakan bagi membincang atau menyediakan draf awal (yang mereka tidak berotoritipun untuk berbuat demikian). Beliau tidak mendedahkan siapakah pihak “awam” tersebut dan adakah pihak awam itu merangkumi SEMUA pihak, agensi, institusi dan organisasi yang menjadi “stakeholder” yang akan menerima kesan langsung daripada pemansuhan Akta Hasutan ini.
Mujahid secara sinis barangkali telah merujuk kepada Akta Hasutan ini sebagai satu undang-undang penjajah, tidak relevan dan menepati zaman. Justeru ia perlu dimansuhkan. Kita ingin bertanya: Mengapakah ia perlu dimansuhkan hanya kerana ia undang-undang warisan penjajah, sedangkan ia sangat berkesan untuk menangani ancaman-ancaman terhadap keharmonian kaum dan keselamatan negara selama ini?
Apa yang Mujahid cuba sembunyikan daripada pengetahuan umum ialah betapa besar kesan dan implikasi pemansuhan Akta Hasutan ini ke atas kedudukan Islam, institusi Raja, institusi agama dan Majlis Fatwa, keistimewaan Melayu dan hampir semua elemen perlindungan untuk struktur yang disebut di atas di dalam Perlembagaan. Secara tidak langsung, ia bakal menghancurkan struktur Kontrak Sosial juga sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan.
Salah satu helah dan kegemaran pihak pembangkang ialah menuduh pihak lain yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai ekstremis, pelampau, anti-Nasional, anti-Kerajaan, anti-perpaduan dan rasis. Meneliti tindak-tanduk dan aktiviti-aktiviti yang semakin gencar dilakukan oleh pihak pembangkang terkini, termasuk yang dianjurkan oleh gerakan-gerakan sivil yang sealiran dengan mereka, rakyat Malaysia semakin faham tentang pihak manakah yang lebih sesuai digelar sebagai ekstremis, pelampau, rasis, anarkis dan anti-Nasional.
Ferman Hadi
Pengamal Undang-undang
YB Mujahid Yusof Rawa telah pada 27 November 2014 menyuarakan pendapatnya bahawa Presiden UMNO, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya mungkir janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang telah dibuat pada 11 Julai 2012 lalu.
Namun demikian, apa yang gagal dihayati oleh YB PAS ini adalah senario politik negara pada tahun 2012 amat berbeza dengan senario politik yang dihadapi rakyat pada tahun 2014 kini.
Hakikatnya pada tahun 2012, Perdana Menteri kita masih menekankan konsep 1Malaysia di mana semua rakyat berbilang kaum boleh bersatu sebumbung dan bermuafakat mengenai perbezaan mereka, tanpa mengira agama dan bangsa. Beliau benar-benar percaya yang rakyat Malaysia tidak seperti zaman dahulu, telah dewasa, dan bersedia menerima perbezaan dengan cara yang terbuka.
Namun yang kita lihat sejak dua tahun lalu adalah sebaliknya. Rakyat Malaysia, khususnya yang bukan Melayu, telah semakin lantang dan berani mempersoalkan perkara-perkara yang telah dipersetujui nenek moyang mereka dahulu, iaitu kedudukan Islam sebagai agama negara, hak bangsa Melayu dan bangsa peribumi yang lain, kedudukan raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Berdepan dengan situasi sebegini, apakah wajar Perdana Menteri mengotakan janjinya sedangkan bukti menujukkan bahawa keadaan semasa bukan seperti yang dijangkakannya? Sudah tentu jawapannya adalah tidak.
Perlu diingatkan bahawa pada masa janjinya dibuat, beliau juga telah berjanji akan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 juga dan telah pun mengotakan janjinya memansuhkan undang-undang preventif ini.
Kesan langsung daripada pemansuhan undang-undang tersebut tiada baiknya malah telah memberikan padah yang buruk pada rakyat. Umpamanya peningkatan jenayah secara mendadak dalam negara kita berikutan tiadanya Ordinan Darurat bagi pencegahannya. Nasib baik Akta Pencegahan Jenayah 1959 sudah ada dan hanya perlu dipinda bagi memasukkan elemen-elemen preventif yang telah wujud dalam Ordinan Darurat berkenaan. Akta ini juga telah ditambahbaik dengan memperuntukkan kuasa penahanan penjenayah bukan di tangan Menteri malah di badan bebas yang dikenali sebagai Badan Pencegahan Jenayah.
Pemansuhan ISA dan penggantinya iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ternyata tidak dapat membendung gejala keganasan dan ini terbukti dengan apa yang berlaku di Lahad Datu, Sabah pada tahun lalu. Kini dengan adanya ramai anak muda kita tertarik dengan ideologi ekstrem ISIS, YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi telah mencadangkan penggubalan undang-undang baru iaitu Akta Anti-Keganasan yang akan mengembalikan elemen preventif ISA. Namun hakikatnya, istilah “keganasan” mempunyai takrifan yang lebih sempit berbanding “keselamatan dalam negeri” yang dipakai ISA.
Keganasan termasuk dalam takrifan ancaman pada keselamatan dalam negeri. Istilah keselamatan dalam negeri turut merangkumi ancaman lain, seperti subversi. Meminjam istilah Bahasa Inggeris, ia bukan sains roket (“rocket science”) untuk menyimpulkan bahawa ISA seharusnya juga dikekalkan dan penambahbaikan yang telah dibuat pada Akta Pencegahan Jenayah 1959 turut diperkenalkan dalam ISA! Namun ISA telah terhapus dan nasi telah menjadi bubur.
Kini, saya percaya bahawa YAB Perdana Menteri kita telah sedar dan belajar daripada kesilapannya yang lalu. Beliau tidak lagi akan berlaku naif dengan kepercayaan bahawa pemansuhan Akta Hasutan 1948, serta akta-akta yang mempunyai elemen preventif yang lain, akan mendatangkan kesan yang baik selepas melihat apa yang berlaku. Sekiranya ini memerlukan Perdana Menteri mungkir janjinya yang lalu, yang telah dibuat pada konteks yang tidak lagi wujud kini, maka mungkirlah.
Lagipun ini selari dengan apa yang dipegang PAS, parti yang dianggotai YB Mujahid sendiri. Seperti kata rakan sejawatnya, YB Khalid Samad dulu semasa berlakunya kemelut MB Selangor, iaitu Taghayyur Al-Ahkam Bi Taghaiyuril Azminah Wal Amkinah Wal Ahwal (berubahnya hukum dengan peredaran masa, suasana dan kesesuaian zaman).
Aidil Khalid
Ahli iPeguam
Adalah tidak tepat untuk Dr. Mujahid mengatakan bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang penjajah, dan oleh itu perlu dimansuhkan. Ini adalah satu falasi yang berentangan dengan sikap amanah dalam menyampaikan kebenaran.
Sungguhpun Akta Hasutan mula-mula berkuatkuasa di bawah pemerintahan British sebagai enakmen dan kemudiannya ordinan pada tahun 1948, tetapi selepas merdeka, berikutan pristiwa berdarah tahun 1969, Ordinan tersebut telah dirombak dan diluluskan sebagai Akta Hasutan yang ada pada hari ini. Bahkan dalam rombakan tersebut, seksyen 3(1)(f) telah dimasukkan, yang menjadi benteng bagi mempertahankan tiang-tiang asas Perlembagaan Persekutuan.
Draf Rang Undang-Undang Harmoni yang dicadangkan oleh MPKN bukanlah draf undang-undang yang boleh diharapkan dapat menggantikan Akta Hasutan. Hal ini kerana Draf Undang-Undang Harmoni tersebut, kalaupun diluluskan, tidak menjadikan sikap biadap sesetengah pihak mempersoalkan tiang-tiang asas Perlembagaan Persekutuan sebagai suatu jenayah. Hal ini terutamanya sekiranya diucapkan dalam Parlimen, kerana ahli-ahli Parlimen akan ada kekebalan daripada didakwa.
Hal ini tidak berlaku di bawah Akta Hasutan, kerana Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas memperuntukkan bahawa kekebalan ahli parlimen tidak terpakai sekiranya apa yang diungkapkan itu merupakan kesalahan di bawah Akta Hasutan. Justeru ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak tidak dapat tidak, terpaksa akur dan tidak boleh mempersoalkan tiang-tiang utama Perlembagaan Persekutuan, yang terdiri daripada:- (i) kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; (ii) kedaulatan Raja-Raja Melayu; (iii) hak orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak; dan (iv) kewarganegaraan.
Lukman Sheriff
Ahli iPeguam
Saya merujuk kepada pernyataan YB Dr Mujahid berkenaan bantahan beliau ke atas pengekalan Akta Hasutan di atas alasan bahawa MPKN telah menyediakan satu undang-undang gantian yang lebih baik di dalam bentuk rang undang-undang harmoni.
Kenyataan YB Dr Mujahid ini dengan jelas menunjukkan YB dengan sengaja secara tidak jujur dan selektif menerangkan kesan rang undang harmoni dan penerimaannya.
YB Dr Mujahid dengan sengaja tidak menerangkan bahawa rang undang-undang harmoni bertujuan mengesahkan (legalise) segala bentuk hasutan berkenaan agama dan bangsa dan membenarkan segala bentuk pernyataan rasis dibuat selagi mana ia tidak mengancam kecederaan fizikal. Ini bermakna di bawah rang undang-undang harmoni, seseorang itu boleh mencerca Islam, Nabi Muhammad SAW, agama Kristian dan mana-mana agama lain, ataupun mencaci mana-mana bangsa selagi mana pernyataan tersebut tidak mengancam kecederaan fizikal.
Ini jelas bertentangan dengan budaya dan nilai kita di Malaysia. Malah penyokong setia Dr Mujahid, Lim Guan Eng, seorang pemimpin DAP yang berbangsa Tiong Hua dan pihak Kristian (Christian Federation Of Malaysia) telah berkali-kali meminta dan memfailkan laporan polis agar tindakan diambil ke atas ISMA dan Ibrahim Ali ke atas pernyataan mereka yang jelas di bawah rang undang-undang harmoni bukan merupakan kesalahan hasutan.
Dr Mujahid tahu atau sepatutnya tahu tentang perkara ini tetapi dengan secara tidak jujur menerangkan dengan selektif bantahan tentang rang undang-undang harmoni. Sebagai wakil rakyat, YB Mujahid seharusnya jujur dengan menyatakan perkara yang sebenar.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan