Berlumba dalam melakukan kebaikan
"Eh kenapa awak baik sangat dengan orang macam tu? Awak bukannya kenal sangat pun."
Itu adalah dialog yang biasa kita dengar setiap kali melakukan kebaikan ke atas orang yang tidak berapa kenal. Tanpa sedar, sebahagian daripada kita telah meletakkan had, untuk hanya melakukan kebaikan kepada segolongan manusia yang kita rapat dan betul-betul kenal sahaja. Tidak. Melakukan kebaikan itu universal. Menyeluruh.
Manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Sudah menjadi fitrah kita dari kecil untuk sukakan kebaikan. Biarpun kebaikan itu bersifat kecil, biarpun hanya kita sahaja yang tahu kebaikan apa yang telah kita lakukan, asalkan kita tahu dan mengerti bahawa kebaikan yang kita lakukan itu suatu perkara yang mulia dan tidak dilarang, tiada apa yang mampu menyekat kita dalam berbuat baik.
“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang dia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan di mana sahaja kamu berada, pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [2:148]
Ikhlas
Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu pada waktu malam. Kehadirannya tidak dapat dilihat, tetapi ia ada, dapat dirasa. Begitulah ikhlas. Hanya antara kita dan Allah yang tahu akan perkara kebajikan yang kita lakukan. Biar hati kita menjadi saksi tentang keikhlasan yang selama ini kita lakukan di padang mahsyar nanti. Pernah juga terkadang kita lalai dan lupa, bahawa tanpa sifat ikhlas, sia-sialah amalan yang kita lakukan. Tajdid semula niat kita, agar amalan yang kita lakukan itu diredhai Allah S.W.T.
Ikhlaskan segala amalan kita, hanya kerana Allah, dan bukannya untuk mendapatkan perhatian. Senyum mungkin merupakan satu amalan jariah yang paling mudah untuk kita lakukan. Tanpa perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan. Tanpa penat lelah. Hanya memerlukan otot zygomaticus major untuk bekerja, dan pahala demi pahala dikreditkan ke dalam akaun kita.
Istiqamah
Melakukan sesuatu perkara secara berterusan itu, istiqamah. Sungguh, sebaik-baik amalan itu adalah yang dilakukan secara berterusan. Meskipun amalan yang kita lakukan itu kelihatan kecil, namun jangan kita lupa bahawa walau sekecil zarah sekalipun, Allah masih memberikan ganjaran pahala buat si pelakunya.
Mengajak ke arah kebaikan
Dalam kita sibuk mengejar melakukan kebajikan, adalah sebaiknya andai kebajikan itu dilakukan bersama-sama orang lain. Kita saling mengajak ke arah kebaikan, dan sama-sama mencegah kemungkaran.
“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari pada yang mungkar. Mereka itulah orang yang beruntung ” [3:104]
Sebagai kesimpulan, untuk berbuat baik itu sangat mudah. Saling menegur sesama kita, bersedekah, mendoakan sahabat yang lain, antara contoh mudah yang mampu kita amalkan. Ganjarannya? Biarlah Allah sahaja yang menjadi hakim.
Syazwan Hazim Bin Abd Ghani
Pelajar Perubatan Tahun 2,
USM-KLE Belgaum,
Aktivis ISMA India Zon-Utara
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan