Dandelion dan daie?


Setiap daie pasti meletakkan harapan pada setiap usahanya dalam menyeru manusia untuk kembali mentaati Allah dan menjauhi laranganNya. Pasti ada sekelumit perasaan dalam hati untuk merasakan betapa indahnya jika seseorang itu mendapat kebaikan melalui diri kita. Sehingga kadang-kadang kita terlalu obses dan taksub dengan hasil dakwah kita. Jika hasil yang kita peroleh itu positif maka mula timbul perasaan riak dan bangga diri, kononnya kita adalah punca orang yang didakwah mendapat hidayah. Jika hasilnya negatif maka mulalah timbul perasaan tidak puas hati, putus asa malah sehingga menyalahkan Allah atas ketidakberhasilan usaha dakwah kita. Tanpa kita sedar, kita mula lupa bahawasanya hak memberi hidayah itu milik kekal Allah dan kita manusia hanya mampu berusaha. Itulah yang membuatkan penulis berfikir tatkala melihat biji benih Dandelion yang terbang dengan riang gembiranya tatkala ditiup angin petang di bumi Amerika. Sebelum itu mari kita berkenalan dengan makhluk hebat ciptaan Allah ini.

Subhanallah. Indah bukan? Dandelion bererti “lion’s tooth” dalam Bahasa Perancis merupakan salah satu tumbuhan liar yang sering terdapat di negara yang mengalami empat musim. Kebiasaannya, ia akan tumbuh sekitar musim bunga dan mula untuk menyebarkan biji benih sewaktu musim panas. Seringkali penulis akan melihat manusia dengan riang dan gembiranya meniup-niup bunga Dandelion ini kerana kemampuannya untuk terbang apabila ditiup angin. Secara saintifiknya mahupun logiknya, Dandelion mempunyai mekanisme yang cukup unik, ideal malah efisien bagi menyebarkan biji benihnya ke tempat lain yang berpotensi untuk tumbuhan itu tumbuh. Apa yang lebih menakjubkan para daie sekalian, mekanisme yang digunakan ini merupakan mekanisme yang sama digunakan untuk payung terjun! Wah, sungguh hebat kerana sekecil-kecil biji benih sesuatu tumbuhan mampu memaparkan dan menjelaskan pelbagai konsep sains fizikal seperti fizik mekanikal. Memang benar segala apa yang ada di alam semesta ini tidak dicipta Allah dengan sia-sia, hatta sebiji biji benih bunga sekalipun. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Imran ayat 191.

Orang-orang yang mengingat Allah sambIl berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka”.

Bukan sekadar itu sahaja, terdapatnya ibrah yang boleh kita belajar dari kisah Dandelion yang boleh diaplikasi dalam kehidupan kita sebagai seorang daie. Pertamanya para daie sekalian, ayuh kita merenung kepada usaha tumbuhan ini untuk menyebarkan biji benihnya. Tatkala penulis melihat biji benih ini terbang dengan gembiranya, apa yang menghairankan penulis adalah  bagaimana dan kenapa biji benih Dandelion ini masih terbang dengan penuh harapan akan ada tanah yang sudi menerimanya. Sedangkan ketika itu hanya jalan tar dan bangunan konkrit yang berada di sekitarnya. Mana mungkin akan ada tanah untuk ia tumbuh. Mana mungkin. Namun ia masih terbang, malah terbang lebih laju dan tinggi apabila ditiup angin dengan berbekalkan harapan akan ada tanah untuk ia hidup. Begitulah kita wahai daie, sekalipun masyarakat di sekeliling kita bergelumang dengan jahiliyah dan seakan-akan tidak mungkin menemui jalan kebenaran, janganlah pernah kita berhenti untuk berusaha. Malah berusahalah dengan lebih gigih dan lebih kuat apabila diuji dengan mehnah yang menjadi asam garam rencah kehidupan seorang daie. Jangan pernah takut untuk menyatakan kebenaran dan yang paling penting jangan pernah takut untuk berada di jalan kebenaran hatta semua manusia memilih jalan kesesatan. Sekalipun kita sudah berusaha sedaya upaya, jangan pernah risau dan khuatir akan hasilnya. Sesungguhnya kita manusia hanya mampu berusaha dan merancang. Jadilah seperti Dandelion yang penulis saksikan yang masih terbang dengan penuh harapan akan ada tanah yang sudi menerimanya tanpa ragu-ragu akan pengakhirannya.

Ibrah yang kedua yang dapat penulis kongsikan ialah betapa pentingnya strategi dalam berdakwah. Sedangkan bunga Dandelion mempunyai strategi untuk hidup, mana mungkin kita sebagai seorang daie dapat berdakwah tanpa strategi. Jika kita berbicara mengenai strategi dalam berdakwah, penulis tidak dapat menyangkal bahawa ia merupakan topik yang cukup luas dan untuk penulisan kali ini cukuplah penulis menekankan betapa pentingnya untuk kita mengatur strategi untuk menghambat hati-hati mad’u di luar sana. Janganlah kita berdakwah membuta tuli dan hanya mengikut telunjuk orang atasan. Jadilah seorang daie yang kreatif, kritis malah mampu berdikari dalam menjalankan dakwah. Lain orang lain caranya. Jadi jangan takut untuk melakukan cara penyampaian dakwah yang di luar norma dunia dakwah asalkan masih berada dalam batasan syara’. Malah, medan dakwah ini harus dilihat sebagai medan yang penuh dengan peluang. Peluang untuk menjadi kreatif, peluang untuk berinovasi, peluang untuk memimpin, malah peluang untuk mencungkil bakat, dan yang paling penting sekali peluang untuk melakukan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Cukup sampai di sini perkongsian dari penulis. Akhir kata, sebagai seorang daie lihatlah dunia dari sudut mata seorang hamba Allah yang sentiasa mencari dan menanti mesej cinta dari Penciptanya. Boleh jadi mesej cinta itu datangnya dari semut yang menghurung makanan kita. Boleh jadi mesej cinta itu datang dari nyamuk yang menggigit kita. Yang pastinya hakikat mesej cinta itu ada di mana-mana, sepertimana Dandelion yang terbang dengan gembiranya untuk menghantar mesej cinta dari Sang Pencipta.


Daie Bumi Amerika
Aktivis ISMA US Canada

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?