DAP terjejas jika Anwar dipenjara
BANGI, 7 November – Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menjangkakan bahawa parti DAP akan terjejas jika sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara.
Bercakap kepada ISMAweb, jelasnya ini berikutan perjuangan liberalisme dan pluralisme Anwar selama ini memberi kelebihan kepada golongan minoriti bukan Islam.
“Tema-tema kebebasan, kesamarataan telah memberi ruang yang luas kepada puak cauvinis dan ultra kiasu untuk membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan tidak munasabah.
“Begitu juga dengan pluralisme dan hak asasi, ianya telah memberikan ruang kepada agenda Kristian, Yahudi atau Evangelis mengembangkan amalan songsang, gerakan kristianisasi dan kegiatan anti agama dalam masyarakat di Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Justeru tambah Ustaz Abdullah, dengan ketiadaan Anwar sebagai ikon Islam liberal atau muslim moderat kelak, ia turut akan memberi kesan kepada puak-puak Islam liberal yang menyokong DAP Evangelis ini.
Beliau berkata demikian memberi respon kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa Pakatan Rakyat hidup atau mati bukan kerana Anwar, tetapi bergantung kepada ketiga-tiga parti iaitu DAP, PKR dan PAS dalam berpegang kepada janji dan komitmen.
Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan kesalahan meliwat dan hukuman penjara lima tahun, ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel lima hakim berkata panel memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan