Enam kapal Maritim dijadikan tukun
KUALA TERENGGANU, 11 November - Sebanyak enam buah kapal peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diserahkan kepada Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk dijadikan tukun rekreasi di pulau terpilih di negara ini.
Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Wagiman berkata, kesemua kapal berkenaan akan ditenggelamkan secara berperingkat iaitu setiap satu di perairan Pulau Perhentian, Pulau Redang di Terengganu; Perairan Pulau Payar di Langkawi; Perairan Port Dickson, Pulau Labuan dan Pulau Tinggi di Johor.
Kesemua kapal berkenaan sebelum ini telah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserahkan kepada APMM untuk tugas penguatkuasaan.
"Secara keseluruhannya kapal ronda itu telah berada di lautan selama 40 tahun sebelum diserahkan kepada Jabatan Taman Laut Malaysia untuk dijadian tukun tiruan dan kesemua kapal tersebut juga sudah tamat tempoh khidmatnya.
"Kapal ini ditenggelamkan di kawasan Taman Laut untuk pembiakan hidupan laut dan sudah pastinya kawasan itu akan menjadikan tarikan terbaru kepada penyelam dan pelancong yang berkunjung ke pulau itu nanti," katanya.
Sukarno berkata demikian kepada pemberita pada majlis penenggelaman Kapal Maritim KM Jarak di Perairan Taman Laut Pulau Redang, di sini hari ini.
Menurutnya projek kerjasama APMM dengan JTLM dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu sebagai peranti pemuliharaan biodiversiti marin dan mampu menjadi tarikan aktiviti selaman skuba di kapal karam.
"Ini merupakan kapal kedua milik APMM ditenggelamkan di kawasan Taman Laut kerana sebelum ini kita telahpun menenggelamkan di Pulau Tioman dan kini di Pulau Redang dan seterusnya di Pulau Perhentian dan diikuti pulau yang lain," katanya.
Sukarno memberitahu kos sebanyak RM30,000 diperlukan bagi membersihkan sebuah kapal berkenaan sebelum ditenggelamkan menjadi tukun rekreasi.
Jelasnya dari tahun 2012 hingga kini, pihaknya telah menerima sebanyak 14 buah kapal nelayan dari APMM untuk dijadikan tukun tiruan di seluruh negara. - Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan