Islam jamin hak dan kebebasan wanita


BANGI, 17 November – Aktivis Wanita ISMA, Hanan Othaman berkata, wanita muslim perlu berasa bangga kerana Islam sentiasa menjamin hak dan kebebasan mereka.

Justeru, kita tidak lagi perlu terikut-ikut dengan budaya barat yang memperjuangkan hak wanita.

“Orang barat bersusah payah menuntut dan memperjuangkan hak wanita kerana mereka tidak pernah ada sistem yang melindungi hak wanita.

“Ini berbeza dengan Islam, kerana Islam hadir memberikan hak dan penghormatan kepada wanita.

“Kalau dahulunya wanita hanya sekadar objek seks, tiada nilai malah anak-anak perempuan dibunuh kerana dianggap sesuatu yang hina, Islam hadir menghapuskan semua fahaman ini dan meletakkan wanita di tempat yang istimewa dan terpelihara”, ujarnya di Dewan Hang Tuah Ayer Keroh Country Resort sempena ‘Hari Beliawanis’ peringkat negeri Melaka, semalam.

Menurut Hanan yang merupakan mantan Ketua Media Wanita ISMA, kumpulan feminist ‘Islam’ di Malaysia tidak memahami Islam yang sebenar, lantas mereka meniru-niru perjuangan Barat.

“Seandainya mereka memahami dan melaksanakan Islam yang sebenar, pasti mereka akan sedar bahawa Islam sudah pun menjamin hak dan kebebasan wanita.

“Hatta di zaman Rasulullah, wanita boleh berniaga, boleh menuntut dan mengajar ilmu malah boleh turut serta berkhidmat sebagai jururawat di medan peperangan, jadi mengapa kita hendak mencari-cari kemuliaan pada selain Islam?,” katanya.

Tambahnya beliau lagi, kemerdekaan dan kebebasan yang diperlukan manusia bukanlah kebebasan hakiki.

“Kebebasan hakiki tanpa sebarang undang-undang, peraturan dan prinsip untuk memandu kehidupan manusia akan menyebabkan manusia merosakkan diri mereka sendiri dan akan menyebabkan banyak pertelingkahan di kalangan manusia.

“Bagi menjamin kehidupan yang harmoni dan manusia dapat mengeluarkan potensi diri di tahap maksima, maka peraturan dan prinsip itu perlu.

“Itulah fungsi peraturan-peraturan dalam Islam, bukan untuk menyekat kebebasan sebaliknya ia untuk menjaga dan melonjakkan potensi dan harga diri setiap manusia”, jelasnya.

Beliau yang berucap dihadapan 110 beliawanis ketika sesi forum ‘Aku Perempuan Merdeka’ seterusnya menyeru kesemua hadirin untuk berpegang teguh dengan Islam untuk mencapai kemuliaan dan kemerdekaan yang sebenar.

Hari Beliawanis ini adalah anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan tujuan memberi pendedahan kepada para beliawanis tentang bahaya feminisme terhadap jati diri muslimah, perkongsian mengenai penampilan diri dan ketrampilan yang sesuai dengan syariat Islam di samping memberi kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan dan kecergasan kepada beliawanis.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?