Kes lelaki transgender – Kerajaan Negeri Sembilan digesa fail rayuan ke Mahkamah Persekutuan
BANGI, 7 November – Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) digesa segera memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan rayuan tiga orang lelaki Islam transgender.
Pengerusi Gabungan Peguam-peguam ISMA (iPeguam) Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid berkata, rayuan ini penting kerana ia melibatkan isu Perlembagaan dan kewibawaan institusi agama Islam Negeri Sembilan yang menjadi pemelihara kepada kepentingan umat Islam.
Ujarnya, jika tiada rayuan dibuat, keputusan ini akan menjadi satu precedent (keputusan yang mengikat) terhadap mana-mana isu serupa yang mungkin timbul pada masa akan datang.
Selain Kerajaan Negeri Sembilan dan JHEAINS, pihak yang turut menjadi responden ialah Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Ketua Pegawai Penguatkuasa, Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Ketua Pendakwa Syari’e Negeri Sembilan.
“Keputusan ini juga akan menjadi rujukan bagi negeri-negeri lain dan juga di dalam Wilayah Persekutuan sendiri sekiranya kes yang serupa berulang. Ini kerana pihak berkuasa agama Islam negeri tidak ada pilihan melainkan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini,” kata Luttfi kepada ISMAweb.
Tambahnya, rayuan ini juga penting bagi menjunjung ketegasan pihak berkuasa ugama Islam negeri untuk membendung aktiviti yang cenderung kepada amalan LGBT di kalangan masyarakat Islam.
“Oleh kerana kes ini melibatkan isu Perlembagaan, rayuan ini sangat penting sebagai satu ikhtiar tertinggi dan pemutus terhadap bidang penguatkuasaan enakmen agama Islam negeri, sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Seksyen 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya lagi.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa sudah sewajarnya umat Islam di negara ini melahirkan kebimbangan dan keprihatinan mereka terhadap sebarang usaha untuk mempertikaikan kewibawaan institusi agama Islam negeri.
Hari ini Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah bercanggah dengan Perlembagaan.
Kesan daripada keputusan Mahkamah Rayuan ini, ketiga-tiga pemohon iaitu Muhammad Juzaili Mohd Khamis, Shukor Jani dan Wan Kay Yusof dibenarkan berpakaian transgender.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan